Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muhd Dhafer jadi anak Melayu/Islam ketiga terima Biasiswa Presiden yang berprestij

Seorang anak Melayu/Islam Singapura yang pernah mengikuti program pelajar bijak, menerima penghormatan besar menjadi salah seorang daripada hanya empat penerima Biasiswa Presiden tahun ini - iaitu biasiswa paling berprestij di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang anak Melayu/Islam Singapura yang pernah mengikuti program pelajar bijak, menerima penghormatan besar menjadi salah seorang daripada hanya empat penerima Biasiswa Presiden tahun ini - iaitu biasiswa paling berprestij di Singapura.

Muhammad Dhafer Muhammad Faishal, 19 tahun, sekali gus menjadi anak Melayu ketiga sahaja dalam sejarah yang dianugerahi biasiswa itu, dek pencapaiannya yang begitu cemerlang dalam bidang akademik dan Kegiatan Ko-kurikular (CCA) di samping menunjukkan iltizam kuat dalam mempertingkat mutu kehidupan rakyat Singapura.

Dhafer yang juga seorang penerima Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC), akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Stanford - institusi terkemuka Amerika Syarikat yang menduduki ranking ketiga terbaik dalam World University Rankings 2019. Beliau akan mendalami jurusan sastera kerana percaya ia membuka peluang untuknya memahami perspektif luas dalam meninjau pelbagai isu berkaitan pembangunan negara.

Presiden Halimah Yacob sendiri menyampaikan biasiswa itu kepada keempat-empat penerima dalam satu upacara di Istana lewat petang tadi (15 Ogos). Tiga penerima lain ialah Allison Tan Sue Min, John Chua Je En dan Siow Mein Yeak, Yue.

TIDAK SANGKA DIPILIH TERIMA BIASISWA PRESIDEN

Penerima Biasiswa Presiden lazimnya akan dipupuk untuk memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam atau pemerintah. Penerima masa lalu termasuklah Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing, serta tokoh-tokoh lain seperti Kishore Mahbubani dan Lim Siong Guan.

Perkembangan ini sememangnya membanggakan masyarakat Melayu/Islam Singapura. Bagi Dhafer sendiri, beliau memberitahu kami bahawa penghormatan menjadi penerima Biasiswa Presiden itu sebenarnya tidak dijangkakan. Namun beliau akur, sebagai penerima, ini suatu "tanggungjawab untuk mengharumkan nama bangsa dan negara". Dhafer menganggap pengiktirafan ini sebagai peluang untuknya menimba ilmu dan berbakti kepada masyarakat.

Dhafer turut berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa buat masa ini, beliau belum pasti akan berkhidmat di kementerian yang mana kelak. Yang pasti, beliau sangat berminat dalam penggubalan dasar negara.

"Saya berminat dalam tiga kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Negara, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat.

"Walaupun kementerian tersebut kelihatan amat berbeza, saya rasa mereka mempunyai persamaan dari segi isu-isu yang ditangani - semuanya berkaitan mutu kehidupan masyarakat," jelas Dhafer.

Anak Melayu/Islam pertama yang menerima biasiswa paling berprestij ini ialah Encik Mohamed Ismail Ibrahim pada 1968. Beliau ialah abang kepada mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Yaacob Ibrahim. Penerima kedua pula ialah Adil Hakeem Mohamad Rafee pada tahun 2012.

LATAR BELAKANG MUHAMMAD DHAFER SEBAGAI PELAJAR BIJAK

Muhammad Dhafer cemerlang dalam pelajaran sejak di bangku sekolah rendah. Semasa dalam Darjah 3 di Sekolah Rendah Nan Chiau, beliau ditawarkan untuk mengikuti Program Pelajar Bijak (GEP) setelah dikenal pasti sebagai antara pelajar dengan potensi intelektual tinggi.

Beliau kemudian mengikuti GEP di Sekolah Rosyth dari Darjah 4 hingga Darjah 6. Dhafer meraih 268 mata bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Di Rosyth jugalah, beliau mengikuti Kelab Bahas - kegiatan ko-kurrikular yang diminati dan diceburinya sehingga ke peringkat maktab rendah. Dhafer berjaya memasuki Raffles Institution (RI) untuk mengikuti Program Bersepadu (IP) selama enam tahun.

Ditanya BERITAmediacorp tentang kecemerlangannya dalam akademik, Dhafer ternyata seorang yang sangat merendah diri.

"Saya pelajar okaylah. Saya berdepan dengan cabaran juga di sekolah. Saya pernah dapat gred C. Tetapi saya membuat yang terbaik dan mencuba mencari keseronokan dalam pelajaran. Saya rasa itu amat penting kerana minat akan mendorong seseorang membuat yang terbaik dalam apa sahaja," ujar Dhafer.

Dhafer meraih gred A bagi kesemua subjek dalam Peperiksaan GCE Peringkat A yang didudukinya tahun lalu.

JADUAL PADAT TIDAK HALANG DHAFER BANTU & SELAMI CABARAN MASYARAKAT

Minat pelajar cemerlang ini terhadap penggubalan dasar-dasar negara mula berputik dan terus berkembang sedang beliau mendalami ilmu alam dan aktif mengikuti perbahasan isu-isu sosial menerusi kegiatan CCA.

"Dalam Kelab Bahas, kami membincangkan isu-isu sosial dan dasar negara. Ia sesuatu yang amat rumit tetapi ia menarik minat saya," kata Dhafer.

Namun, pengalaman melakukan kerja kemasyarakatan yang benar-benar membuka mata Dhafer terhadap isu-isu yang membelenggu masyarakat Singapura.

Dhafer menyertai Kelab Interact semasa dua tahun terakhir di RI sebagai wadah untuknya berbakti kepada masyarakat. Ini meskipun jadualnya cukup padat. Beliau turut memikul tanggungjawab sebagai Naib Pengerusi Kelab Bahas Raffles dan Ketua Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Bahas Kebangsaan bawah 14 tahun.

Bersama rakan-rakan sekolah lain, belia berhati besar ini turut membimbing kanak-kanak dari keluarga pincang di Rumah Pertapis.

"Apabila saya melakukan kerja-kerja kemasyarakatan, pandangan saya terhadap isu-isu yang dibincangkan menjadi berbeza. Kita harus turun padang untuk benar-benar memahami masalah dan keperluan mereka yang memerlukan," tambah Dhafer.

"Ia memberi inspirasi untuk saya menceburi bidang kerjaya perkhidmatan awam kerana ia menggabungkan pemahaman dasar-dasar negara dan bagaimana untuk berinteraksi dengan masyarakat dan memahami keperluan mereka."

PEKA TERHADAP ISU KEPIMPINAN NEGARA

BERITAmediacorp turut bertanyakan pandangan Dhafer tentang kepimpinan Singapura. Ini buah fikiran beliau: "Saya berasa bahawa kepimpinan pentadbiran negara kita sedang mengalami satu titik perubahan disebabkan cabaran-cabaran baru dan unik pada masa kini."

Sebagai contoh, katanya, dengan adanya revolusi teknologi, pemerintah perlu memastikan rakyatnya bersedia untuk mengharungi cabaran-cabaran baru.

"Saya rasa keyakinan itu amat penting. Kita sebagai rakyat Singapura perlu yakin dalam keupayaan negara untuk mengharungi segala cabaran yang berlaku pada masa hadapan," tambah Dhafer.

Dhafer turut berkongsi mengapa beliau berharap dapat memainkan peranan dalam usaha menggubal dasar-dasar negara apabila tiba masanya nanti:

"Dasar negara mempunyai kesan yang amat meluas terhadap masyarakat. Saya rasa ia satu kerja dan usaha murni yang harus diteruskan."

IBU BAPA JADI PERAN CONTOH

Ditanya pula siapa yang menjadi sumber inspirasi terbesarnya, Dhafer merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya. Dhafer sebenarnya anak bongsu kepada Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) merangkap Pendidikan (MOE), Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Ibu bapa menjadi suri tauladan saya kerana mereka mentarbiahkan nilai-nilai untuk menyumbang kepada masyarakat.

"Bapa saya (Dr Faishal) selalu berkongsi pengalaman dalam kegiatan dan kerjayanya dalam perkhidmatan awam. Dia selalu menceritakan kepada kami tentang cerita-cerita dari Sesi Anggota Parlimen (MPS). Saya menganggap kerjayanya amat bermakna dan saya ingin menceburi bidang yang sama," kata Dhafer.

Kehidupan berliku ibunya pula menjadi dorongannya untuk memahami rintihan masyarakat dengan lebih mendalam.

"Ibu pernah mengalami kesusahan semasa zaman kanak-kanak apabila ibunya meninggal dunia. Apabila saya melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di Pertapis, saya selalu berbincang isu-isu berkaitan dengannya kerana dia pernah mengalami masalah serupa."

Ibu Dhafer, Cik Hayati Haron, seorang pensyarah Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) dalam jurusan reka bentuk tiga dimensi (3D). 

Pencapaian luar biasa Dhafer turut mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menerusi catatan Instagramnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan