Images
  • public spiritedness award
    Muhammad Zakaria Rosli (paling kiri) dan Muhammad Afiq Roslee (dua dari kanan) dalam kalangan tiga penerima Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam SPF. (Gambar-gambar: SPF)

Muhd Afiq, Muhd Zakaria terima anugerah polis kerana bantu tangkap penjenayah

SINGAPURA: Muhammad Afiq Roslee dan Muhammad Zakaria Rosli diiktiraf Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam Pasukan Polis Singapura (SPF) atas bantuan yang dihulurkan masing-masing kepada pihak berkuasa setempat untuk menangkap suspek-suspek jenayah. Mereka dalam kalangan tiga penerima anugerah tersebut
di Divisyen Polis Bedok hari ini (15 Apr).

Menurut kenyataan media SPF, Encik Afiq bersikap tangkas dalam membantu pegawai keselamatan mengejar seorang lelaki yang mencuri dari sebuah pasar raya di Tampines Mart pada 22 Mac 2018.

Suspek itu disyaki meninggalkan pasar raya berkenaan dengan barang-barang yang tidak dibayar dan mula cabut lari apabila dipekik dan dikejar oleh pegawai keselamatan tempat itu. Atas bantuan Encik Afiq, lelaki tersebut berjaya ditangkap.

Beberapa barangan mudah rosak milik pasar raya tersebut ditemui dalam genggaman suspek itu.


Encik Zakaria pula menggagahkan dirinya untuk membantu Polis menahan seorang lelaki di Balai Rakyat Bedok pada 1 November tahun lalu/ Lelaki itu dipercayai terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah. Suspek tersebut juga berjaya diberkas.


Seorang lagi penerima anugerah, Encik Satesh Kumar A/L Raman, membantu menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri setelah melakukan satu kegiatan seksual di sepanjang Upper East Coast Road. Suspek berkenaan kemudian diserahkan kepada Polis.

Penolong Pesuruhjaya Polis Tan Tin Wee, juga Komander Divisyen Polis Bedok, memuji ketiga-tiga penerima itu kerana menonjolkan semangat kemasyarakatan menerusi campur tangan yang penting dalam usaha membantu pegawai-pegawai polis serta para anggota masyarakat ketika mereka memerlukan pertolongan.

"Dengan melakukan demikian, individu-individu ini menyumbang kepada satu cara yang besar untuk meningkatkan keselamatan masyarakat mereka.

"Tindakan-tindakan mereka adalah satu contoh teladan kepada yang lain dan bukti kerjasama kukuh antara Polis dengan masyarakat." 

- BERITAmediacorp/FZ/fz

Top