Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti tekankan sebab kewajipan solat Jumaat digugurkan dalam keadaan darurat

Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata keputusan untuk menangguhkan pembukaan semula masjid-masjid bukan sesuatu keputusan yang mudah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata keputusan untuk menangguhkan pembukaan semula masjid-masjid bukan sesuatu keputusan yang mudah.

Ia dilakukan selepas Jawatankuasa Fatwa mengambil kira situasi dan perkembangan terkini berkaitan dengan penularan virus COVID-19 yang semakin serius di negara ini dan juga di merata dunia.

Keputusan dibuat secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Fatwa yang berpendapat bahawa masjid-masjid tidak seharusnya dibuka semula selagi mana ia belum sampai ke tahap selamat untuk dibuka, dan keselamatan serta penularan virus itu dapat dicegah dengan baik.

“Ini berpandukan beberapa prinsip agama yang telah juga digunakan pada fatwa yang lalu. Ia membolehkan penutupan masjid seperti memastikan bahawa kita dapat mengelakkan dari semua kemudaratan dan menutup semua pintu-pintu dan ruang-ruang yang boleh membawa kepada kemudaratan bahaya,

“Dan ia juga berpandukan beberapa hadith Nabi Muhammad saw yang mengatakan dengan jelas bahawa ketakutan ke atas keselamatan kita dan juga penyakit adalah dua sebab yang menggugurkan kewajiban solat berjemaah dan juga solat Jumaat, jelas Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Oleh yang demikian, tambah Dr Nazirudin, Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa masjid-masjid harus ditutup sehingga keadaan beransur pulih dan begitu juga solat Jummat ditiadakan sepanjang tempoh ini.

“Hadith-hadith yang melarang seseorang untuk meninggalkan solat Jumaat, tidak diaplikasikan ataupun tidak sesuai untuk keadaan darurat yang kita hadapi. Ini kerana ia membincangkan tentang seorang yang meninggalkan solat Jumaat dengan lalai dan cuai bukan situasi darurat yang kita hadapi pada hari ini,” tambah beliau.

Dr Nazirudin juga melahirkan harapan agar masyarakat menghidupkan "semangat berjemaah" itu sendiri, iaitu penutupan masjid yang dilanjutkan itu adalah sebagai sumbangan kepada memastikan keselamatan dan kesejahteraan ummah.

“Saya juga sangat berharap bahawa masyarakat tidak melihat kepada keputusan untuk melanjutkan penutupan masjid bukan sebagai sesuatu yang menghalang mereka daripada beribadah di masjid ataupun pergi ke masjid untuk menunaikan ibadat dan solat. Tetapi melihat itu sebagai sumbangan mereka dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua.

“Jadi pada masa kita mengharungi cabaran ini, di samping kita beribadat di rumah dengan keluarga kita juga memberi sumbangan yang sangat besar dan menjaga nyawa manusia. Itu seperti yang digariskan di Al-Quran seolah-olah kita menyelamatkan nyawa keseluruhan umat manusia bermakna ia sesuatu pengorbanan yang sangat besar,” ujar beliau. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan