Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti gesa umat Islam lihat keterbatasan sebagai pengorbanan demi kesejahteraan ramai

Erti sebuah pengorbanan yang bernilai bukan terletak pada bentuk mahupun zahirnya tetapi kepada niat dan takwa di dalam hati seseorang individu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Erti sebuah pengorbanan yang bernilai bukan terletak pada bentuk mahupun zahirnya tetapi kepada niat dan takwa di dalam hati seseorang individu.

Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir, mengingatkan umat Islam setempat supaya menghayati maksud sebenar pengorbanan serta nilai dan ganjarannya dalam khutbah Aidiladha yang beliau sampaikan di Masjid Maarof di Jurong pada pagi Jumaat (31 Jul). Khutbah beliau itu turut disampaikan di masjid-masjid serata negara.

Mufti Negara, Dr Nasirudin Nasir, memimpin solat Aidiladha di Masjid Maarof pada 31 Jul 2020. (Gambar: MUIS)

(Mufti Negara, Dr Nazirudin Nasir, memimpin solat Aidiladha di Masjid Maarof pada 31 Jul 2020. Gambar: MUIS)

Dalam khutbahnya yang bertajuk 'Memupuk Kerohanian Pada Saat Krisis', Dr Nazirudin berkata masyarakat Islam Singapura lewat kebelakangan ini dihimpit ujian yang belum pernah dialami dengan hadirnya pandemik COVID-19 yang mencengkam seluruh dunia.

Keadaan itu, tambah beliau, memerlukan masyarakat membuat pengorbanan termasuk dalam pengamalan agama kerana ada keterbatasan tertentu yang harus diperakui.

BAGAIMANA BERDEPAN KETERBATASAN

Gambar fail. (Gambar: BERITAmediacorp)

(Para jemaah menunaikan solat Aidiladha di Masjid Maarof pada 31 Jul 2020. Gambar: Izwan Ohtman/BERITAmediacorp)

Hari ini, misalnya, tidak semua umat Islam dapat berhimpun di masjid bagi mengerjakan solat Aidiladha seperti tahun-tahun sesudahnya kerana peraturan jarak selamat yang perlu dipatuhi demi keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.

Sebanyak 45 masjid menawarkan tiga sesi solat Aidiladha pada pagi tadi, manakala 20 masjid lagi menyediakan dua sesi solat. Secara keseluruhannya, hanya 8,750 ruang disediakan bagi solat Hari Raya Haji tahun ini.

Ibadah korban pula dilakukan dalam suasana berbeza. Meskipun masjid-masjid setempat tetap menawarkan khidmat korban, ia dijalankan di Australia kerana tiada kambing yang diterbangkan ke Singapura memandangkan keadaan kian berubah-ubah disebabkan oleh wabak COVID-19.

Dengan semua keterbatasan ini, Mufti gembira masyarakat Islam Singapura dapat memahami "keutamaan serta roh dan hikmah di sebalik pensyariatan".

"Mereka melihat keterbatasan ini sebagai satu perkara yang positif. Ia merupakan satu pengorbanan dalam usaha kita untuk membuat penyesuaian demi menjaga satu perkara yang begitu penting ketika berlaku penularan wabak, iaitu memelihara nyawa.

"Kita terus berusaha untuk mencari ruang kebaikan yang lain, sebagai contoh, berkorban di luar negara, di tempat-tempat di mana ibadah korban itu boleh terlaksana," kata beliau.

Daya tahan dan kesabaran, tegas Dr Nazirudin, adalah dua sikap yang perlu terus dipupuk masyarakat Islam setempat sedang mereka mengalami ketidakselesaan.

"Kita ketepikan keinginan peribadi serta mengorbankan keselesaan diri demi memelihara keselamatan dan kesejahteraan ramai. Ia kita lakukan atas mencari keredhaan Allah s.w.t. dan ia merupakan satu ibadah kita," ujarnya.

PEKA KEADAAN SEKELILING, HULURKAN BANTUAN

Satu lagi ibadah yang ditekankan beliau adalah menyerlahkan lagi sikap saling bantu-membantu sesama insan ketika pandemik ini kerana ia membawa banyak cabaran, khususnya dari segi ekonomi dan pekerjaan.

Beliau berharap masyarakat Islam setempat menjadi peka terhadap keadaan sekeliling dan menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang menghadapi dugaan pada saat-saat getir sekarang.

"Sekiranya tiada apa yang mampu untuk anda hulurkan, sekurang-kurangnya, kirimkanlah doa untuk saudara anda. Semoga dengan niat anda untuk membantu saudara anda tersebut, akan menjadi sebab untuk diberinya keringanan serta jalan keluar bagi masyarakat kita, berhadapan dengan saat serta detik yang mencabar in," kata beliau.

Sungguhpun perjalanan pandemik COVID-19 tidak menentu dengan huraiannya masih jauh dikecapi, Mufti mengingatkan bahawa krisis sejagat itu pasti ada kesudahan dan penyelesaiannya sebagaimana ujian kehidupan lain.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan