Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti gesa kaum bapa lebih bantu, fahami peranan isteri dalam unit keluarga moden

Mufti Negara Dr Fatris Bakaram menggesa kaum bapa supaya lebih membantu dan memahami peranan isteri dalam unit keluarga moden yang kian berubah-ubah dewasa ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mufti Negara Dr Fatris Bakaram menggesa kaum bapa supaya lebih membantu dan memahami peranan isteri dalam unit keluarga moden yang kian berubah-ubah dewasa ini.

Beliau juga menggesa kaum Adam supaya memanfaatkan Cuti Bapa yang diperuntukkan demi membantu isteri mereka yang bersalin.

Ini sedang laporan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menunjukkan hanya sepertiga bapa yang mengambil Cuti Bapa dua minggu pada tahun lalu.

PERUBAHAN PERANAN ISTERI & SUAMI

Peranan seorang isteri dalam sesebuah unit keluarga moden kini menghadapi perubahan ketara berbanding dahulu, dengan norma-norma kehidupan berkeluarga sudah banyak berubah.

Demikian kata Mufti Dr Fatris Bakaram dalam dialog bertajuk 'Peranan Lelaki Muslim dalam Keluarga Moden' anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) kelmarin.

Malah beliau menarik perhatian betapa kini sudah ada trend baru di kalangan pasangan yang mana mereka memeterai perjanjian sebelum pernikahan (prenuptial agreement) bahawa si isteri tidak boleh dihalang untuk keluar bekerja.

Lantaran itu, di tengah-tengah semua perubahan ini, Mufti menyeru kaum lelaki agar memahami peranan isteri dalam unit keluarga moden dan norma-norma kehidupan hari ini.

"Kalau dulu orang lelaki merasa aib kalau isterinya turut mencari nafkah menambah pendapatan keluarga, pada hari ini isteri merasakan itu adalah hak dia.

"Bukan kerana nak mengatakan suami pendapatan tak cukup, tapi dia merasakan itu hak dia untuk hidup bermasyarakat, untuk menyumbang kepada keperluan masyarakat. Itu diperlukan sebagai keperluan bagi pembangunan dirinya sendiri," kata Dr Fatris.

2 PERTIGA SUAMI TIDAK AMBIL CUTI BAPA

Mufti juga menyentuh tentang perangkaan dari MSF betapa dua pertiga suami tidak mengambil Cuti Bapa apabila isteri mereka bersalin.

Ini walaupun Cuti Bapa selama dua minggu diperuntukkan di bawah undang-undang demi membantu isteri.

Dr Fatris menggesa: "Ambil cuti, saya galakkan sangat. Bukan untuk berehat. Bukan kita beranak pun tapi rasakan bebanan isteri lebih-lebih lagi kalau kita bayangkan kalau isteri itu yang bekerja dan tiap-tiap hari balik bekerja, dia yang uruskan rumah tangga."

"Naluri orang wanita, dia penat macam mana pun dia tak boleh duduk diam kalau ada benda tak selesai kat rumah, walaupun dia turut bekerja."

TANGANI ISU KELUARGA MUSLIM KIAN KOMPLEKS

Menurut PPIS, sesi tersebut diadakan untuk mengingatkan kaum lelaki tentang perkongsian tanggungjawab suami isteri dalam keluarga muslim yang semakin menjadi kompleks.

Presiden PPIS berkata: "Mereka kini mesti menyesuaikan diri dengan cabaran-cabaran baru, mengikut zaman yang berubah-ubah. Sesi dialog ini adalah wadah yang sangat diperlukan bagi para suami menangani cabaran-cabaran ini."

Ia juga membawa kaum bapa berbincang tentang cara-cara mengendalikan jangkaan para ibu bapa dan isteri masing-masing di tengah-tengah keluarga di mana kedua-dua suami isteri bekerja.

Ini demi mewujudkan sistem keluarga yang saling menyokong dan lebih bermakna.

Acara khusus untuk kaum lelaki itu disertai lebih 350 peserta lelaki. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan