Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti Dr Fatris tekankan pentingnya bina '3 daya tahan keimanan' ini untuk harungi kesulitan, cabaran hidup...

Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram, dalam khutbah Aidiladha yang beliau sampaikan pada Ahad (11 Ogos), mengajak masyarakat Muslim Singapura supaya menghayati tiga ciri "daya tahan keimanan".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram, dalam khutbah Aidiladha yang beliau sampaikan pada Ahad (11 Ogos), mengajak masyarakat Muslim Singapura supaya menghayati tiga ciri "daya tahan keimanan".

Khutbah tersebut turut disampaikan di seluruh masjid-masjid di serata Singapura.

Ciri pertama yang beliau kongsi ialah betapa ujian yang dihadapi seseorang Muslim, harus dijadikan sebagai peluang untuk melatih diri mencari huraian-huraian yang kreatif.

Ini sedang Aidiladha tahun ini disambut di tengah-tengah negara menghadapi iklim ekonomi yang mencabar di mana pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya dijangka lebih lemah tahun ini.

Berlatarbelakangkan suasana tersebut, Mufti Dr Fatris, menekankan pentingnya daya tahan keimanan dalam mengharungi kesulitan dan mengatasi cabaran kehidupan.

"Sebagai contoh, kita biasa mendengar kisah sahabat dan saudara kita yang dibuang kerja. Kerana desakan keperluan untuk mencari rezeki nafkah untuk keluarga, mereka mula cuba berniaga kecil-kecilan, kerana didorong semangat ingin maju berlandaskan sabar dan iman di dalam hati mereka mencari jalan kreatif untuk melariskan barangan atau khidmatnya sehinggalah akhirnya perniagaannya mula berhasil.

"Cuba kita renungkan, walaupun pembuangan kerja biasanya adalah satu musibah, namun ada yang dapat meraih kebaikan dan membangun potensi diri," menurut Dr Fatris.

MASYARAKAT ISLAM PERLU BERSIKAP KONSTRUKTIF

Ciri daya tahan keimanan kedua yang beliau kongsi ialah perlunya masyarakat Islam bersikap konstruktif.

Menurut beliau, menjadi tanggungjawab anggota masyarakat Islam untuk terus mempertingkatkan diri dan jangan pernah merasa selesa atau cukup dengan kemahiran dan ilmu yang ada.

Beliau menekankan bahawa peningkatan ke arah kebaikan adalah ibadah.

"Allah tidak menginginkan kita untuk menjadi masyarakat yang merasa cukup dengan sekadarnya, atau boleh diistilah sebagai masyarakat ”ala kadar” (mediocre). Allah menginginkan bagi kita untuk menjadi masyarakat beriman yang kukuh dan cemerlang dari semua sudut: kerohanian, ekonomi, sosial dan intelektual," ujar Dr Fatris lagi.

PENTINGNYA BERSIKAP KRITIKAL

Mufti kemudian berkongsi ciri ketiga iaitu pentingnya orang beriman untuk tidak hanya menerima sesuatu tanpa penilaian.

Di dalam era media sosial dan kebebasan bersuara ini beliau berkata "kita wajib bersikap kritikal" dan berhati-hati dengan mesej-mesej yang mengelirukan serta serta "meracuni fikiran ke arah kebencian dan kemusuhan".

Lantaran itu beliau mengingatkan umat Islam supaya jangan mudah termakan dengan diayah serta agenda pihak-pihak yang ingin perpecahan dan kemusnahan.

"Hampir setiap kita memiliki alat yang menyampaikan jutaan maklumat – alat yang begitu hebat kuasanya dan begitu mudah digunakan, tetapi boleh memusnahkan umat dan masyarakat jika dimiliki oleh jiwa yang lemah daya tahannya," tekan Mufti lagi.

MASAGOS: RENUNG, BERSYUKUR DENGAN "KEADAAN KITA YANG BEGITU BAIK"

Turut hadir bersama jemaah di Masjid Ar-Raudhah itu ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.

Beliau menganggap khutbah hari ini bertepatan sebagai mengingatkan umat Islam Singapura tentang bagaimana kemakmuran negara perlu dihargai dan tidak datang bergolek begitu sahaja.

"Dengan sempenanya juga kita menjalani perayaan Hari Kebangsaan, kemudian pula Hari Raya Aidiladha, kita mengambil kesempatan untuk merenung dan berterima kasih, bersyukur dengan keadaan kita yang begitu baik untuk umat Islam dan juga untuk negara Singapura," kata Encik Masagos yang juga merupakan Menteri Sekitaran dan Sumber Air.

Solat sunat Aidiladha di Masjid Ar-Raudhah itu disertai 4,000 jemaah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan