Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti Dr Fatris: Sikap pemaaf adalah "lebih hebat daripada semua tembakan dan letupan"

Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram menekankan, bahawa sifat rahmah dan pemaaf adalah "lebih hebat daripada semua tembakan dan letupan".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram menekankan, bahawa sifat rahmah dan pemaaf adalah "lebih hebat daripada semua tembakan dan letupan".

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan khutbah Jumaat siang tadi (22 Mac), yang mengupas erti sebenar ketabahan dan keimanan, di tengah-tengah dunia meratapi tragedi pembunuhan beramai-ramai di dua buah masjid New Zealand.

Khutbah tersebut turut dibacakan di kesemua sekitar 70 masjid di serata Singapura.

Yang jelas, bukan masyarakat Islam di Christchurch sahaja yang berduka dengan tragedi pembunuhan di Masjid Al Noor dan Masjid Linden di Christchurch.

Singapura juga turut berduka cita walaupun berada jauh beribu batu dari New Zealand.

Lantaran itu, Mufti Dr Fatris Bakaram berkata, kejadian tidak berperikemanusiaan itu menyentap sanubari bukan sahaja setiap umat Islam, malah setiap warga dunia.

Bagaimanapun Dr Fatris menegaskan tragedi itu harus dijadikan pembakar semangat kemanusiaan dan kedamaian, bukan menyemarak kebencian.

Ini terutama sekali selepas menyaksikan ahli keluarga kepada mangsa yang terkorban menzahirkan sifat rahmah dan memaafkan individu yang membunuh ahli keluarga mereka, tanpa berdendam atau bermusuh.

"Inilah yang memberikan harapan kepada kita, bahawa manusia yang terpandu dengan didikan Rabbani, hanya akan membawa rahmah, hanya akan menyebarkan kebaikan bagi seluruh umat manusia dan inilah sebenarnya kuasa yang lebih hebat daripada semua tembakan dan letupan - kuasa memaafkan orang tatkala mereka menyakiti kehidupan," tekan Dr Fatris.

Masyarakat Singapura, tambah Dr Fatris, turut menolak seruan dari pihak seperti ISIS agar pengikutnya membalas dendam dengan melakukan serangan serupa ke atas masyarakat lain.

RIBUAN PENDUDUK S'PURA LAKUKAN SOLAT JENAZAH GHAIB

Sementara itu, ribuan jemaah Singapura mengadakan solat jenazah ghaib buat mangsa-mangsa pengganasan di Christchurch itu.

(Gambar-gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp diberitahu oleh pihak MUIS, lebih 40 masjid seluruh Singapura melakukan solat jenazah ghaib itu selepas solat Jumaat siang tadi.

Ini bagi mendoakan mangsa-mangsa yang terkorban di Christchurch, selain sebagai sokongan kepada mangsa-mangsa yang cedera atau keluarga mereka. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan