Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti Dr Fatris seru masyarakat Islam sebar 'rahmah proaktif'

Jadilah masyarakat Islam Singapura yang menyebarkan "rahmah proaktif" dan bukan sekadar menghulurkan "rahmah reaktif" sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jadilah masyarakat Islam Singapura yang menyebarkan "rahmah proaktif" dan bukan sekadar menghulurkan "rahmah reaktif" sahaja.

Demikian seruan Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram semasa berkongsi visi beliau untuk masyarakat Islam tempatan, dalam ucaptamanya semasa acara Bicara Perdana Mufti sempena sambutan ulang tahun ke 50 MUIS kelmarin.

RAHMAH REAKTIF & PROAKTIF

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan "rahmah reaktif"?

Dalam menjelaskan konsep tersebut, Mufti Dr Fatris menyifatkannya sebagai suatu langkah membantu kerana ada yang meminta bantuan. Misalnya, apabila masyarakat Islam di sini menderma apabila ada sesetengah pihak atau orang datang meminta derma.

Namun kata Dr Fatris, ada satu lagi rahmah lebih tinggi iaitu menjadi "ejen-ejen rahmah" tanpa diminta berbuat demikian.

Konsep ini beliau gelarkan sebagai "rahmah proaktif" - iatu bukan setakat menawarkan huraian sementara kepada masalah yang ada, malah meneroka cara-cara lebih efektif untuk memperbaiki kehidupan manusia.

Contoh "rahmah proaktif" ini kata beliau lagi termasuklah semasa masyarakat Islam tempatan sendiri meminta agar Akta Pemindahan Organ Manusia atau HOTA disemak, demi menjadikannya penderma yang aktif.

Satu lagi contoh disebut Mufti ialah kerja-kerja yang dilakukan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) yang mengupaya masyarakat menerusi pendidikan hasil dermasiswa dan biasiswanya.

PASTIKAN MASALAH TIDAK AKAN BERULANG

Rahmah proaktif ini antara lain juga bermaksud peluang kebaikan yang direka itu berterusan dalam sehinggakan ia dapat diteruskan menjadi warisan bagi generasi seterusnya.

"Kalau rahmah hanya dalam bentuk reaksi dan respons, kita hanya respons dan reaksi dengan orang yang dekat dengan kita sahaja. Macam mana untuk kita reaksi dan respons dengan orang yang jauh?

"Tapi kerana rahmah yang sebenarnya ialah rahmah yang begitu meluas melihat kepada jangka panjang kesannya, mengubah kehidupan dunia. Bukan setakat menangani masalah yang timbul tetapi memastikan kehidupan akan datang tidak akan berulang masalah yang seperti itu lagi," tekan Dr Fatris.

HARAPAN 50 TAHUN KEDEPAN

Menurut Dr Fatris lagi, dalam bergerak 50 tahun lagi ke hadapan, masyarakat Islam tempatan yang lebih berpendidikan dan berpunya tidak boleh setakat menangani cabaran sosialnya sendiri sahaja.

Malah masyarakat Islam perlu menjadi dan mempunyai "sumber dan kepakaran yang penting kepada rakyat Singapura keseluruhannya", selain menyumbang bukan sahaja setakat peringkat nasional, tetapi juga di peringkat global.

Acara Bicara Perdana Mufti ini dihadiri lebih 2,000 orang dan pemimpin masyarakat, termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

Tirai acara ditutup dengan pelancaran Siri Irsyad Kontemporari yang menyediakan pelbagai panduan praktikal kepada masyarakat Islam mengenai persoalan-persoalan keagamaan dalam konteks negara majmuk.

Versi online panduan ini boleh didapati di laman MUIS dan boleh dimuat turun daripada aplikasi baru MUIS 'MuslimSG.' 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan