Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MTFA badan Islam pertama S'pura buka pusat dialisis baru untuk pesakit kurang kemampuan

Rawatan haemodialisis bagi pesakit buah pinggang kini lebih dalam kemampuan terutamanya bagi pesakit dari golongan berpendapatan rendah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rawatan haemodialisis bagi pesakit buah pinggang kini lebih dalam kemampuan terutamanya bagi pesakit dari golongan berpendapatan rendah.

Persatuan Derma Amanah Muslimin (MTFA) membuka pusat dialisis baru
yang menyediakan rawatan bersubsidi bagi semua pesakit kurang berkemampuan, tidak kira kaum dan agama.

Dengan nama MDC, pusat dialisis pertama kendalian badan Islam itu dirasmikan Presiden Halimah Yacob pagi tadi (24 Mac).

Setelah lebih 114 tahun, menguruskan kebajikan golongan Islam fakir termasuk pentadbiran Rumah Anak Yatim Darul Ihsan Lilbanin dan Darul Ihsan Lilbanat,
MTFA mengorak langkah memperluaskan bantuannya mendampingi masyarakat dalam penjagaan kesihatan pula.

Ini khususnya dalam membantu pesakit ginjal kurang berkemampuan menjalani kehidupan lebih baik tanpa berdepan dengan kos rawatan dialisis yang tinggi.

MESIN BEBAS KIMIA, LENGKAP DENGAN KEMUDAHAN CANGGIH TERKINI

Pusat baru MDC, di Norris Road, menempatkan 13 mesin dialisis yang mampu memberi rawatan kepada sehingga 80 pesakit dalam seminggu.

Seramai 11 kakitangan termasuk lapan jururawat sedia membantu pesakit ginjal yang mana mereka perlu dirujuk oleh Pekerja Sosial Perubatan dari hospital-hospital.

Semua kemudahan di sini bebas kimia dan dilengkapi dengan peralatan-peralatan canggih terkini termasuk sistem air osmosis berbalik panas.

Bergantung kepada pendapatan keluarga para pesakit, mereka boleh menjalani rawatan dialisis pada kos serendah sekitar $100 sebulan atau langsung secara percuma. Tanpa subsidi, ia sebenarnya menelan belanja lebih $2,000 sebulan.

Rawatan dialisis pada harga bersubsidi MDC dapat dimanfaatkan para pesakit dengan pendapatan bulanan keluarga tidak melebihi $2,600.

BANTUAN HARUS DIGANDINGKAN DENGAN PROGRAM KESEDARAN

Dalam memuji usaha MTFA menjadikan rawatan dialisis lebih dimampui, Presiden Halimah Yacob menggesa agar bentuk bantuan dapat dikembangkan dalam menyuntik kesedaran masyarakat tentang amalan gaya hidup lebih sihat.

Ini lebih-lebih lagi menurut Puan Halimah, angka masyarakat Singapura yang menghidap penyakit kencing manis mencapai paras membimbangkan.

"Penyakit kencing manis adalah sesuatu yang menyebabkan masalah buah pinggang. Jadi saya berharap bahawa pusat ini juga dapat melakukan kerja-kerja meningkatkan kesedaran masyarakat kita tentang bahaya dan risiko dalam cara kehidupan kita pada hari ini yang kurang sihat yang akan mendatangkan mudarat kepada ginjal kita," jelas Puan Halimah.

RANCANG TUBUHKAN DUA LAGI PUSAT DIALISIS, TAMPUNG PERMINTAAN TINGGI

Demi memenuhi permintaan jumlah pesakit ginjal yang kian meningkat, MTFA merancang untuk menawarkan lebih banyak khidmat sedemikian pada masa depan.

"Insya-Allah kalau kami ada rezeki, kami ada kemampuan, kami sedang memikirkan untuk membuka pusat-pusat kedua dan juga ketiga," ujar Presiden MTFA, Dr Abdul Rahim Leyman.

"Di sini pun saya ingin meminta masyarakat menyumbang kepada kami apa-apa keperluan dari segi relawan dan selain daripada dialisis teknikal, kami harap kami dapat membuat dalam suatu program untuk menjaga kesihatan mereka," kata beliau lanjut.

Dalam pertimbangannya ialah untuk menggunakan aras kosong di Rumah Anak Yatim Darul Ihsan Lilbanat untuk menampung sebuah lagi pusat dialisis kelak. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan