Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MSS: S'pura alami musim kering pertama dalam masa lebih 5 tahun

Singapura sedang mengalami musim kemaraunya yang pertama dalam tempoh lebih lima tahun, menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada Jumaat (16 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
MSS: S'pura alami musim kering pertama dalam masa lebih 5 tahun

Gambar fail pantai di Singapura. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 16 Aug 2019 10:46PM Dikemas Kini : 16 Aug 2019 10:53PM

SINGAPURA: Singapura sedang mengalami musim kemaraunya yang pertama dalam tempoh lebih lima tahun, menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada Jumaat (16 Ogos).

Istilah musim kemarau atau musim kering ini ditakrifkan oleh MSS sebagai tempoh sekurang-kurangnya selama 15 hari berturut-turut dengan jumlah keseluruhan hujan kurang 1mm setiap hari dan purata ini dicatatkan oleh stesen-stesen kaji cuaca dengan rekod jangka panjang di merata Singapura.

Singapura sudah mula mengalami musim kering sejak 31 Julai, menurut makluman MSS. Musim kemarau yang terakhir berlarutan selama 27 hari dari 17 Feb 2014 hingga 15 Mac 2014.

Dari 31 Jul hingga 15 Ogos, sekitar 90 peratus stesen kaji cuaca di merata Singapura mencatatkan hujan kurang 0.2mm setiap hari, dengan hujan gerimis pada beberapa hari.

Cuaca kering yang berpanjangan ini diburukkan lagi dengan udara kering dari Hemisfera Selatan.

Ini menyumbang kepada 'cuaca panas' pada dua minggu pertama bulan Ogos, dengan suhu maksiumum antara 31.9 darjah Selsius dengan 34.5 darjah Selsius setiap hari.

Suhu paling tinggi, iaitu 34.5 darjah Selsius, dicatatkan di Bendungan Marina pada 13 Ogos.

CUACA KERING DIJANGKA REDA

MSS bagaimanapun meramalkan hujan pada minggu terakhir bulan Ogos.

"Dengan hujan berserta guruh dijangkakan pada lewat pagi dan awal tengah hari pada empat hingga lima hari daripada minggu terakhir Ogos, hujan akan menyejukkan sedikit cuaca yang kering dan panas itu," menurut MSS.

Namun, cuaca kering boleh dijangkakan pada kebanyakan hari bagi dua minggu terakhir bulan Ogos, sedang udara kering dari sistem tekanan tinggi di utara Australia menjejas kawasan-kawasan di bahagian khatulistiwa.

Pada sesetengah hari pula, cuaca yang berangin boleh dijangkakan disebabkan oleh tiupan angin yang lebih kencang di rantau ini.

Jumlah hujan bagi bulan Ogos dijangka "jauh lebih rendah daripada paras normal".

Bagi baki bulan Ogos, suhu harian antara 26 darjah Selsius hingga 34 darjah Selsius boleh dijangkakan pada kebanyakan hari.

Suhu setinggi 35 darjah Selsius boleh dijangkakan dalam masa beberapa hari akan datang, dengan sesetengah malam bakal menyaksikan suhu minimum sekitar 28 darjah Selsius.

Cuaca kering di sekitar rantau ini diramal berterusan, menurut MSS, yang turut memberi amaran tentang keadaan berjerebu disebabkan oleh tompok-tompok panas di Sumatera dan Kalimantan.

"Tompok-tompok panas dengan kepulan asap masih dikesan di pelbagai kawasan di Sumatera dan Kalimantan. Bergantung kepada arah tiupan angin dan lokasi kebakaran, Singapura mungkin sekali-sekala dilanda jerebu," menurut MSS.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan