Images
  • elderly generic
    (Gambar fail: Reuters)

MSF siasat 96 kes dera warga emas pada 2020

SINGAPURA: Sebanyak 96 kes penderaan melibatkan warga emas yang tidak lagi berdaya untuk melindungi diri mereka sendiri, disiasat oleh Khidmat Perlindungan Golongan Dewasa Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada tahun lalu.

Sungguhpun perangkaan ini hampir 25 peratus lebih rendah berbanding kes-kes yang disiasat pada 2019, MSF menyaksikan lebih banyak kes di mana mangsa mengalami lebih daripada satu bentuk penganiayaan.

Misalnya, seseorang warga emas yang didera secara fizikal didapati turut menanggung penganiayaan psikologi ataupun emosi. Kes yang melibatkan penderaan psikologi atau emosi sahaja naik 30 peratus.

MSF turut mendedahkan kaum hawa sering kali menjadi mangsa kes-kes sebegini, sementara 90 peratus pelaku adalah anggota keluarga mangsa - termasuk anak sendiri atau pasangan masing-masing.

KISAH WANITA DIBELASAH SUAMI KERANA BERSIKAP ANEH

Hakikatnya kes penderaan cukup rumit.

Dalam satu kes yang ditangani MSF, seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 60-an tahun didera oleh suaminya sendiri gara-gara tingkah lakunya yang tiba-tiba tidak seperti biasa.

Ada kalanya Cik Ang (bukan nama sebenar) berkeras mahu keluar rumah selepas waktu tengah malam. Beliau juga pernah sekali sarung beberapa helai pakaian sedangkan cuaca panas, selain mencuba memakan makanan mentah.

Tidak terlintas pun dalam fikiran si suami bahawa Cik Ang berkelakuan seperti itu kerana mengalami demensia.

Beliau sebaliknya bertanggapan bahawa isterinya sekadar meroyan dan ini mendorongnya untuk beberapa kali "menampar, menolak dan menengking" Cik Ang.

Kes ini kemudian dilaporkan kepada Pusat Pakar Keganasan Keluarga - Care Corner Project StART (CCPS) - oleh anak mereka yang melihat sendiri bapanya bersikap kasar terhadap Cik Ang semasa melawat mereka.

(Gambar fail: Reuters)

SUAMI KESAL, DAPATKAN BANTUAN

Ketika pertama kali CCPS berbual dengan keluarga tersebut, Encik Ang mengaku menggunakan kekerasan tetapi beliau berasa perbuatannya itu wajar.

Namun setelah mendapat tahu bahawa isterinya berkelakuan aneh disebabkan oleh demensia yang tidak didiagnosis, Encik Ang mula berasa kesal.

Beliau malah menggajikan seorang pembantu rumah untuk sentiasa menjaga isterinya, terutama sekali pada saat-saat beliau perlu berehat atau sakit.

Kes seperti ini cukup untuk menunjukkan betapa pentingnya para penjaga diberikan sokongan. Tekanan yang mereka hadapi secara berpanjangan boleh menyumbang kepada konflik dan keganasan terhadap anggota keluarga yang mereka sayangi.

MASALAH KEGANASAN BUKAN MASALAH PERIBADI

Hari ini (15 Jun), MSF memperingati Hari Kesedaran Penderaan Warga Emas Sedunia (WEAAAD) dan menyokong kempen 'Break the Silence' yang menggalak orang ramai supaya menghulurkan bantuan sekiranya mereka melihat sendiri keganasan keluarga.

Menerusi usaha tahun ini, MSF dan Jawatankuasa bagi Keganasan Rumah Tangga (FVTF) antara lain ingin memupuk rasa empati terhadap golongan lanjut usia yang didera dan mengajak orang ramai memainkan peranan dengan melaporkan kes-kes sedemikian secepat mungkin kepada pihak berkuasa.

"Penderaan orang tua bukan suatu masalah peribadi dan tidak harus dipandang ringan. MSF memandang serius terhadap setiap kes dan orang ramai berperanan untuk memastikan warga emas kita selamat," kata Menteri MSF Masagos Zulkifli.

"Jika anda mengesyaki seseorang warga emas didera, segera dampingi dan menasihati mereka supaya menghubungi talian antikeganasan 1800-777-0000 atau membuat panggilan itu bagi pihak mereka," tambah beliau.

Dalam kenyataannya, MSF menyatakan ia juga akan terus bekerja rapat dengan pusat-pusat pakar keganasan keluarga dan agensi-agensi khidmat sosial demi memastikan para mangsa dan keluarga dapat disokong sebaik-baiknya.  

- BERITAmediacorp/aq

Top