Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MSF: Perkahwinan rentas sempadan 'sama kukuh' dengan perkahwinan rakyat tempatan

Perkahwinan antara rakyat Singapura dengan warga asing "sama kukuh" dengan perkahwinan sesama warga Singapura, kata Menteri Negara bagi Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Sam Tan di Parlimen hari ini (15 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
MSF: Perkahwinan rentas sempadan 'sama kukuh' dengan perkahwinan rakyat tempatan

Gambar fail cincin . (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 15 Jan 2019 07:17PM Dikemas Kini : 15 Jan 2019 07:19PM

SINGAPURA: Perkahwinan antara rakyat Singapura dengan warga asing "sama kukuh" dengan perkahwinan sesama warga Singapura, kata Menteri Negara bagi Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Sam Tan di Parlimen hari ini (15 Jan).

Kadar perceraian bagi perkahwinan rentas sempadan sebelum usia perkahwinan mencecah lima dan 10 tahun, setara dengan perkahwinan pasangan Singapura daripada bagi kohort sama.

Encik Tan berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan-pertanyaan oleh Anggota Parlimen Dilantik Anthea Ong dan Mohamed Irshad tentang perkahwinan rentas sempadan dan sekiranya sokongan diberikan kepada keluarga-keluarga ini.

"Kami akui perkahwinan antara rakyat Singapura dengan warga asing mungkin berdepan dengan cabaran-cabaran unik, seperti perbezaan budaya," kata Encik Tan.

Beliau menyebutkan tiga inisiatif MSF untuk membantu pasangan seperti itu - Program Persiapan Perkahwinan (MPP), Program Sokongan Perkahwinan (MSP) dan Program Persahabatan (FP).

Di bawah FP, para sukarelawan terlatih dipadankan dengan pasangan warga asing bagi membantu mereka menyesuaikan diri di negara ini. Lebih 85 peratus pasangan asing mengatakan bahawa program tersebut membantu mereka untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Singapura, kata Encik Tan.

MPP menumpukan perhatian kepada isu-isu utama rumah tangga seperti peranan dan jangkaan, komunikasi serta pengurusan konflik manakala MSP adalah satu inisiatif susulan kepada MPP yang membantu pasangan bukan tempatan menyesuaikan diri kepada cara kehidupan di Singapura.

Encik Tan menambah, program-program ini "disambut baik", dengan lebih 98 peratus peserta MPP mengatakan bahawa ia membantu mereka mempersiapkan diri untuk memasuki alam perkahwinan dan menerapkan apa yang dipelajari dalam rumah tangga mereka.

Lebih 97 peratus peserta MSP mengatakan bahawa program tersebut sudah membantu pasangan warga asing untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Singapura.

Encik Tan menambah, MSF sedang menyemak MPP dan MSP untuk mengkaji sebarang kekurangan atau ruang-ruang yang boleh diperbaiki.

Menyentuh tentang pekerjaan pula, Encik Tan berkata bahawa bagi tempoh tiga tahun lalu, purata 14,000 pasangan warga asing yang memegang Pas Lawatan Jangka Panjang bekerja di Singapura setiap tahun dengan surat izin yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia.

Perangkaan itu merangkumi pasangan asing yang berkahwin dengan rakyat atau Penduduk Tetap Singapura.

Sekiranya pasangan seperti itu memutuskan untuk bercerai, Encik Tan berkata ICA akan membantu warga asing terjejas untuk terus tinggal di Singapura menerusi Pas Lawatan Jangka Panjang yang boleh diperbaharui selagi mereka mempunyai hak menjaga anak-anak mereka yang kecil.

"Ini bagi membolehkan mereka terus menjaga anak-anak mereka yang mempunyai kerakyatan Singapura, di sini," kata Encik Tan.

"Mereka boleh meminta sokongan daripada agensi-agensi masyarakat bagi pelbagai khidmat kewangan dan sosial, serta mengunjungi Pejabat-Pejabat Khidmat Sosial yang akan menilai keperluan mereka," tambah beliau. 

Sumber : CNA/AQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan