Images
  • ppis vista sakinah 1
    MSF ambil langkah mansuhkan yuran Program Memupuk Kasih kendalian Vista Sakinah PPIS. (Gambar: Prof Madya Muhd Faishal Ibrahim/Facebook)

MSF mansuhkan yuran Program Memupuk Kasih kendalian Vista Sakinah PPIS

SINGAPURA: Bagi menyokong dengan lebih baik lagi keluarga-keluarga tiri di Singapura, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengambil langkah memansuhkan yuran bagi Program Memupuk Kasih yang dikendalikan Vista Sakinah Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Program tersebut mempersiapkan pasangan yang bakal menempuh hidup baru dalam keluarga tiri dengan mengajak mereka memikirkan tentang keperluan dan matlamat masing-masing dalam rumah tangga.

Selain itu, para peserta juga dapat mengikuti satu sesi seminar dan bengkel agar lebih yakin diri untuk berdepan dengan cabaran-cabaran keluarga tiri.

Lazimnya, setiap pasangan perlu membayar S$300 untuk mengikuti program tersebut. Namun, para peserta kini boleh mengikutinya secara percuma berkuat kuasa bulan lalu, setelah MSF memansuhkan yuran tersebut.

"Pemerintah bekerjasama rapat dengan rakan-rakan masyarakat untuk menyokong keluarga-keluarga Melayu/Islam pada masa-masa kehidupan penting mereka, termasuk apabila mereka kahwin semula," kata Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.


(Gambar-gambar: Prof Madya Muhd Faishal Ibrahim/Facebook)

"Keluarga tiri dan pasangan yang kahwin semula berdepan dengan isu-isu unik dan lebih mencabar kerana perlu melakukan banyak penyesuaian. Saya harap lebih ramai pasangan yang kahwin semula akan mengambil bahagian dalam Program Memupuk Kasih apabila membina keluarga baru. Ia akan membantu mereka memperkukuh hubungan dalam keluarga," tambahnya lagi.

PPIS AMBIL PENDEKATAN BARU RAIKAN KELUARGA TIRI HARMONIS

Sokongan meluas juga tersedia selepas membina mahligai baru. Misalnya, dalam satu acara hujung tahun PPIS, yang diadakan pada hujung minggu lalu, pencapaian kehidupan harmoni sembilan keluarga tiri diraikan.

Mereka bahkan diajak mengikuti program 'Smart Steps' atau Langkah Bijak, yang mana ibu bapa tiri berbincang dan mempelajari cara-cara mengenal pasti kekuatan dan masalah masing-masing, serta bagaimana mengatasinya.

Ini merupakan kali pertama pendekatan sedemikian diambil. Ia diubah suaikan berdasarkan kurikulum yang dilakar di Amerika Syarikat, yang fokus pada memperkukuh hubungan pasangan bersama anak-anaknya.


Para peserta acara anjuran Vista Sakinah PPIS menyambut baik pendekatan itu, termasuk Cik Nurharqiqah Harjini.

"Saya belajar bagaimana kita boleh menyesuaikan diri dalam sebuah keluarga tiri seperti cara berkomunikasi dan meluangkan masa bersama dan kemudian cara menangani tekanan dalam masalah keluarga," kongsi Cik Nurharqiqah.

Pihak PPIS menyatakan, tema "Meraikan Kebersamaan Keluarga Tiri" yang dipilih bagi acara hujung tahun ini, juga selaras dengan konteks tempatan.


"Dalam keluarga tiri, tidak selalu ahli keluarganya semua hidup sebumbung, ia satu konsep yang fleksibel. Kita ingin meraikannya dan melihat kebersamaan itu bukan sebagai sesuatu yang fizikal tetapi juga lebih sekadar emosi dan juga rohani," kata Pengurus Pusat Vista Sakinah, Cik Saleha Rashidi.

Pusat Vista Sakinah PPIS merupakan satu-satunya pusat khidmat bagi keluarga tiri di Singapura, yang menyediakan latihan dan konsultasi bagi membantu keluarga-keluarga tiri.  

- BERITAmediacorp/aq

Top