Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MSF kaji kemungkinan khidmat jagaan anak waktu malam bagi keluarga berpendapatan rendah

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sedang mengkaji kemungkinan merintis khidmat penjagaan anak pada waktu malam di sebuah tapak Community Link (ComLink) untuk menyediakan lebih sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah.

Anggaran Waktu Membaca:
MSF kaji kemungkinan khidmat jagaan anak waktu malam bagi keluarga berpendapatan rendah

Gambar fail sebuah blok flat rumah sewa.

Diterbitkan : 25 Feb 2021 09:23PM Dikemas Kini : 25 Feb 2021 09:25PM

SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sedang mengkaji kemungkinan merintis khidmat penjagaan anak pada waktu malam di sebuah tapak Community Link (ComLink) untuk menyediakan lebih sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah.

Sekarang ini, lebih daripada 40 pusat penjagaan anak, atau 3 peratus daripada semua pusat, beroperasi selepas 7.00 malam pada hari biasa, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli dalam jawapan bertulis di parlimen pada Khamis (25 Feb).

Beliau menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Louis Ng (PAP-Nee Soon) mengenai dapatan kementerian itu daripada kajian tentang permintaan dan keperluan untuk khidmat penjagaan anak pada waktu malam.

Kementerian itu telah mendekati sekitar 650 keluarga dengan anak-anak yang tinggal di rumah sewa untuk memahami keperluan dan keadaan mereka, termasuk aturan penjagaan, kata Encik Masagos.

"Pelibatan dengan beberapa rakan masyarakat menunjukkan bahawa khidmat penjagaan anak pada waktu malam boleh membantu sesetengah keluarga berpendapatan rendah," tambahnya.

"Kami sedang mengkaji kemungkinan merintis khidmat jagaan anak pada waktu malam di sebuah tapak ComLink untuk menilai permintaan dan penyelenggaraan perkhidmatan sedemikian dengan lebih baik."

Empat tapak perintis ComLink itu adalah di Boon Lay, Jalan Kukoh, Kembangan-Chai Chee dan Marsiling.


Menteri itu berkata bahawa pusat jagaan anak perlu mengendalikan khidmat sepenuh hari dari 7.00 pagi hingga 7.00 malam pada hari-hari biasa, dan dari 7.00 pagi hingga 2.00 petang pada Sabtu untuk memenuhi keperluan ibu bapa yang bekerja.

Pusat jagaan anak mempunyai budi bicara untuk melanjutkan khidmat mereka melebihi waktu operasi biasa, dengan mengambil kira permintaan dan sumber-sumber, katanya. Kira-kira 3 peratus pusat beroperasi selepas 7.00 malam pada hari-hari biasa.

"Aturan sekarang memenuhi keperluan kebanyakan ibu bapa. Bagi mereka yang bekerja giliran atau pada hujung minggu, kebanyakan daripada mereka mengaturkan untuk pengasuh lain, seperti datuk dan nenek, untuk membantu," kata Encik Masagos.

"Namun begitu, kami memahami bahawa sesetengah keluarga mungkin menghadapi kesulitan dalam mengaturkan penjagaan seperti itu."

ComLink, satu daya usaha untuk membantu keluarga-keluarga dengan anak-anak yang tinggal di rumah sewa, akan diluaskan ke seluruh negara untuk meliputi 14,000 keluarga dalam dua tahun akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam pembentangan Belanjawannya minggu lalu.

Tapak-tapak ComLink, yang didirikan di flat sewa atau berdekatan dengannya bertujuan untuk menawarkan sokongan lebih bersepadu dan terselaras, dan program dan khidmat yang disesuaikan untuk keluarga-keluarga di sana.

Pada 2019, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga ketika itu Desmond Lee berkata bahawa MSF mungkin mengadakan bengkel keibubapaan dan khidmat penjagaan pelajar atau anak pada waktu malam sekiranya keperluan sedemikian dikenal pasti dalam masyarakat.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan