Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MSF jawab keprihatinan sama ada kes lelaki homoseksual ambil anak angkat bakal dijadikan rujukan

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee pada Rabu (19 Dis) menjawab keprihatinan tentang sama ada keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan seorang lelaki homoseksual mengambil anak kandungnya sebagai anak angkat baru-baru ini, akan menjadi rujukan kes. 

Anggaran Waktu Membaca:
MSF jawab keprihatinan sama ada kes lelaki homoseksual ambil anak angkat bakal dijadikan rujukan

(Gambar hiasan: Unsplash/Lian Metzler)

Diterbitkan : 20 Dec 2018 09:49AM Dikemas Kini : 20 Dec 2018 09:51AM

SINGAPURA: Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee pada Rabu (19 Dis) menjawab keprihatinan tentang sama ada keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan seorang lelaki homoseksual mengambil anak kandungnya sebagai anak angkat baru-baru ini, akan menjadi rujukan kes bagi pembentukan sebuah keluarga terdiri daripada pasangan sama jantina di Singapura.

Encik Lee akur bahawa meskipun Mahkamah memutuskan untuk memberi hak pengambilan anak angkat dalam kes tersebut, keputusan itu "melanggar dasar awam terhadap pembentukan unit keluarga dari pasangan sama jantina" dan pasangan homoseksual yang ingin mengambil anak kandung menerusi ibu tumpang mungkin berdepan dengan cabaran untuk membuktikan bahawa mereka tidak "sengaja merancang" untuk melanggar dasar tersebut.

Encik Lee berkata: "Sejak keputusan itu, terdapat kebimbangan terhadap kesan kes tersebut dan sama ada ia akan ditetapkan sebagai satu rujukan bagi pembentukan keluarga sama jantina di Singapura.

"Individu-individu LGBT mempunyai tempat dalam masyarakat Singapura. Pada masa yang sama, Pemerintah menyokong dan menggalak rakyatnya mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata. Tetapi, kami tidak menyokong pembentukan keluarga yang terdiri daripada pasangan sama jantina. Ini kedudukan yang diambil MSF dalam menilai permohonan pengambilan anak angkat."

Encik Lee menarik perhatian bahawa Mahkamah "sangat sukar" untuk mencapai kata putus itu. Keputusan dibuat demi kebajikan kanak-kanak berkenaan.

"Para hakim memahami bahawa keputusan meluluskan permohonan pengambilan anak angkat bertentangan dengan dasar awam yang tidak menyokong pembentukan keluarga terdiri daripada pasangan sama jantina. Namun, mereka memutuskan untuk meluluskan permohonan ini selepas mengimbangi kes dengan isu-isu berkaitan kebajikan kanak-kanak tersebut. Mahkamah menekankan bahawa keputusan dibuat berdasarkan fakta-fakta kes," kata Encik Lee.

Encik Lee turut menarik perhatian bahawa Mahkamah sudah menjelaskan tentang kurangnya bukti yang menunjukkan bahawa pemohon sengaja melanggar dasar awam berkaitan.

"Selepas kes ini, ia mungkin sukar bagi pemohon lain pada masa akan datang untuk membuktikan bahawa mereka tidak sengaja melanggar dasar awam. Ini kerana Mahkamah mendapati bahawa permohonan pengambilan anak angkat kali ini melanggar dasar awam terhadap pembentukan keluarga terdiri daripada pasangan sama jantina," katanya.

Kenyataan Encik Lee dikeluarkan selepas kementerian itu menyatakan pada Isnin (17 Dis) bahawa ia bakal menimbangkan sama ada dasar-dasar sedia ada perlu disemak menyusuli keputusan mahkamah.

Encik Lee menekankan pada Rabu (19 Dis) bahawa kementerian sedang "meneliti Alasan Keputusan (Grounds of Decision) sebelum menentukan langkah-langkah yang perlu diambil selepas ini".

"Kami akan menyemak undang-undang pengambilan anak angkat dan dasar-dasar berkaitan, untuk melihat sama ada ia perlu dipinda dan diperkukuhkan lagi," tambah beliau.

Mahkamah Tinggi pada Isnin (17 Dis) membenarkan seorang lelaki homoseksual untuk mengambil anak kandungnya yang berusia lima tahun dan dilahirkan oleh ibu tumpang di Amerika Syarikat.

Lelaki terbabit, seorang ahli patologi berusia 46 tahun, menjalin hubungan dengan pasangan sama jantinanya sejak 1998. Pasangan itu - kedua-duanya rakyat Singapura - mula tinggal sebumbung pada 2003 dan buat masa ini tinggal bersama kanak-kanak berkenaan dan seorang pembantu rumah di sebuah unit kondominium, menurut dokumen mahkamah.

Pasangan itu pada awalnya ingin mengambil anak angkat tetapi dinasihati agensi-agensi bahawa hubungan mereka akan menghambat proses tersebut. Mereka kemudian ke Amerika Syarikat dan membayar sekitar AS$200,000 (S$275,000) kepada seorang wanita untuk menjadi ibu tumpang.

Menyentuh tentang keputusan Mahkamah, Hakim Besar Sundaresh Menon menulis: "Ini keputusan yang sukar, kerana pengadilan perlu menimbangkan kebajikan kanak-kanak tersebut di samping kemampanan jangka panjang penjagaannya." 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan