Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MSF akan buka pusat bantu keluarga, golongan kurang upaya secara berperingkat mulai 2 Jun

Khidmat sosial dan program-program yang dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan dibuka semula secara bertahap-tahap mulai 2 Jun, dengan langkah-langkah COVID-19 terus dilaksanakan. 

Anggaran Waktu Membaca:
MSF akan buka pusat bantu keluarga, golongan kurang upaya secara berperingkat mulai 2 Jun

Bercucuk tanam di Pusat Kegiatan Seharian di Pusat Autisme St Andrew's. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 31 May 2020 02:25PM Dikemas Kini : 31 May 2020 02:26PM

SINGAPURA: Khidmat sosial dan program-program yang dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan dibuka semula secara bertahap-tahap mulai 2 Jun, dengan langkah-langkah COVID-19 terus dilaksanakan, selaras dengan usaha Singapura melangkah keluar dari 'circuit breaker' iaitu tempoh bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Ini termasuk Pusat Khidmat Keluarga, Pusat Kegiatan Siang Hari bagi golongan kurang upaya dan Pusat Jagaan Pelajar Khas.

Kunjungan ke rumah-rumah jagaan, bagaimanapun, akan terus digantung bagi melindungi golongan warga emas. Mulai 2 Jun, sebahagian besar kakitangan rumah jagaan yang menginap di hotel dan premis rumah jagaan akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Dalam Fasa 1, kami akan memberi keutamaan kepada pembukaan semula khidmat-khidmat penting dan mengutamakan mereka yang lebih banyak memerlukan bantuan," tulis Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee di laman Facebooknya pada Ahad (31 Mei).

"Langkah-langkah pengurusan keselamatan akan terus dilaksanakan bagi menjaga keselamatan dan melindungi kesihatan semua kakitangan dan penghuni, khususnya bagi khidmat-khidmat yang disediakan di pusat-pusat jagaan atau melalui kunjungan ke rumah."

Berdasarkan ruangan soal jawab di laman web MSF bagi pertanyaan yang kerap diajukan mengenai pembukaan semula rumah-rumah jagaan, langkah-langkah itu termasuk melarang individu-individu yang boleh meningkatkan risiko jangkitan daripada mengunjungi rumah-rumah jagaan, mengurangkan interaksi antara kakitangan dan penghuni daripada pasukan yang berbeza dan menjarakkan sekurang-kurangnya 1 meter bagi tempat duduk di dalam bilik janji temu dan kaunter khidmat.

"Sebagai langkah berjaga-jaga bagi kaunter-kaunter khidmat pelanggan, pelindung meja dan pemisah plastik akan digunakan untuk melindungi para penghuni dan kakitangan kami," menurut laman tersebut.

KUNJUNGAN KE RUMAH JAGAAN

Bagi rumah-rumah jagaan warga tua, kunjungan ke sana akan terus digantung bagi melindungi warga tua yang mudah terdedah kepada jangkitan virus yang boleh membawa maut itu, kata Encik Lee.

"Warga emas mudah terdedah, langkah-langkah lebih ketat perlu dilaksanakan di rumah-rumah jagaan," tulis beliau.

"Kami akan terus menghadkan jumlah pengunjung di rumah-rumah jagaan warga tua, misalnya
rumah-rumah tumpangan, rumah-rumah kebajikan, rumah-rumah jagaan warga tua kurang upaya dan kami akan menggalak para penjaga mereka dan juga relawan untuk terus berhubungan dengan anggota keluarga atau rakan-rakan mereka secara online demi kemaslahatan mereka."

MSF turut mendedahkan di laman webnya bahawa mulai 2 Jun, sebahagian besar kakitangan rumah jagaan yang sebelum ini menginap di hotel dan premis rumah jagaan itu sendiri akan dibenarkan pulang.

MSF mengumumkan pada 2 Mei bahawa kakitangan yang menguruskan para penghuni warga tua akan diberikan pilihan perumahan alternatif untuk mengasingkan mereka demi melindungi para penghuni.

Ini selepas beberapa rumah jagaan di sini melaporkan kes jangkitan COVID-19, yang sekali gus meningkatkan keprihatinan terhadap golongan warga tua.

Para kakitangan yang bertugas di rumah-rumah jagaan juga harus terus duduk di rumah, kecuali bagi urusan penting, kerana mereka juga berhubung rapat dengan para penghuni, tambah MSF.

Dalam catatan Facebooknya itu, Encik Lee juga mengucapkan terima kasih kepada para kakitangan atas 'sikap tidak mementingkan diri' sehingga terpaksa menginap di perumahan alternatif bagi melindungi keselamatan warga tua.

"Ramai daripada kakitangan ini terpaksa berjauhan daripada orang tersayang dan keluarga masing-masing dan pastinya mereka juga tidak sabar untuk pulang ke pangkuan keluarga mereka selepas tamat tempoh circuit breaker," tulis Encik Lee.

AGIHAN KEPERLUAN ASAS DITERUSKAN

Menyentuh tentang khidmat-khidmat lain, Encik Lee berkata khidmat awam yang disediakan MSF akan ditawarkan sepanjang tempoh 'circuit breaker' termasuk Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan Pejabat Pendaftaran Perkahwinan, dengan langkah berjaga-jaga terus dilaksanakan.

Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) juga akan menyelaraskan usahanya dengan rakan-rakan seperti Agensi Khidmat Sosial (SSA) dan kumpulan-kumpulan masyarakat untuk terus mengagihkan keperluan asas seperti makanan yang sudah dimasak dan bantuan kewangan kepada para individu dan keluarga yang mengalami kesempitan.

Melalui laman webnya, MSF turut mengingatkan kumpulan-kumpulan sedemikian supaya terus mematuhi langkah-langkah jarak selamat dalam pelan masing-masing.

Ini termasuk mengelakkan pergaulan dan interaksi antara kakitangan atau kumpulan yang berbeza dan mengurangkan interaksi fizikal dengan para penerima bantuan.

"NCSS juga akan mengambil kira proses agihan SSA dan para penerima bantuan bagi memastikan bantuan yang dihulurkan diselaraskan dengan baik dan golongan yang memerlukan dapat dibantu secukupnya," tambah MSF. 

Sumber : CNA/AW/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan