Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Motosikal lama perlu patuh piawai pelepasan gas karbon lebih ketat jelang 2023: NEA

Motosikal lama harus memenuhi piawai pelepasan gas karbon yang lebih ketat mulai 6 April 2023, sebagai sebahagian daripada usaha Singapura untuk memperbaiki mutu udara di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Motosikal lama perlu patuh piawai pelepasan gas karbon lebih ketat jelang 2023: NEA

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 07 Apr 2021 09:40PM Dikemas Kini : 07 Apr 2021 09:43PM

SINGAPURA: Motosikal lama harus memenuhi piawai pelepasan gas karbon yang lebih ketat mulai 6 April 2023, sebagai sebahagian daripada usaha Singapura untuk memperbaiki mutu udara di negara ini.

Mengumumkan demikian pada Rabu (7 Apr),Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan bahawa piawai lebih ketat itu ditetapkan bagi motosikal tempatan yang didaftarkan sebelum 1 Julai 2003.

"Motosikal-motosikal itu boleh terus digunakan sehingga 30 Jun 2028, selagi ia mematuhi piawai pelepasan gas yang lebih ketat," menurut NEA.

Motosikal yang berdaftar pada atau selepas 1 Julai 2003, sudah pun tertakluk kepada piawai pelepasan ketat yang serupa atau lebih daripada itu.

"Dengan penyenggaraan betul, kebanyakan motosikal dapat memenuhi piawai pelepasan lebih ketat itu," menurut NEA dalam satu kenyataan media.

"Pemilik motosikal yang terjejas diingatkan supaya memastikan kenderaan mereka menjalani penyenggaran dan diperiksa bagi mematuhi piawai pengeluaran gas lebih ketat. Pemeriksaan sedemikian boleh dilakukan di Pusat Pemeriksaan VICOM, Khidmat Pemeriksaan JIC dan Pemeriksaan Kenderaan STA."

Mereka yang tidak pasti jika motosikal mereka boleh memenuhi piawai baru berkenaan digalak membatalkan pendaftaran kenderaaan mereka, untuk menikmati insentif S$3,500 yang pemerintah tawarkan, kata NEA. Insentif diberikan sehingga 5 April 2023.

Sehingga 31 Dis, hampir 60 peratus daripada sekitar 27,000 motosikal yang layak telah memanfaatkan insentif pembatalan pendaftaran awal itu, menurut NEA.

MOTOSIKAL ASING

Motosikal-motosikal yang berdaftar di luar negara juga perlu memenuhi piawai pelepasan yang baru itu mulai 6 April 2023, tidak kira tarikh pendaftarannya.

"Ini adalah serupa dengan peraturan sedia ada yang memerlukan motosikal asing mematuhi had pengeluaran bunyi yang sama seperti motosikal tempatan, dan tidak mengeluarkan sebarang asap atau wap yang boleh kelihatan," menurut NEA.

Agensi itu menambah bahawa penguatkuasaan akan dilakukan menerusi pemeriksaan rambang bagi pengeluaran karbon monoksida dan hidrokarbon di pusat-pusat pemeriksaan serta semasa operasi penguatkuasaan mengejut.

"Denda sama akan dikenakan bagi kedua-dua pemilik motosikal tempatan dan asing. Pemilik motosikal asing yang mempunyai sejumlah denda tertunggak bagi kesalahan berkaitan kenderaan mungkin tidak akan dibenarkan masuk ke Singapura di pusat-pusat pemeriksaan darat," menurut NEA.

MOTOSIKAL KLASIK

Motosikal klasik yang berdaftar sebelum 1 Julai 2003, tidak akan lagi dibenarkan diguna di jalan-jalan raya selepas 30 Jun 2028 - kecuali jika ia berada di bawah skim Kenderaan Klasik, Vintaj (Terhad) dan skim Kenderaan Vintaj yang Disemak Semula yang sudah pun tertakluk kepada sekatan penggunaan.

"Bagi pemilik yang ingin menyimpan motosikal lama mereka sebagai kenderaan klasik, NEA sedang meneliti satu skim sementara yang membolehkan motosikal-motosikal tempatan yang pertama kali didaftarkan antara 2 Julai 1993 dengan 30 Jun 2003, untuk disimpan selepas 30 Jun 2028 ke satu masa sehingga mereka layak bagi Skim Kenderaan Klasik," menurut NEA.

Agensi itu menyatakan ia akan berunding dengan industri berkaitan dan kumpulan-kumpulan kepentingan mengenai butiran skim itu sambil menambah bahawa permohonan bagi skim sedemikian, jika dilaksanakan, akan dibuka menjelang 30 Jun 2028.

"Motosikal di bawah skim itu perlu terus memenuhi piawai pelepasan gas yang lebih ketat," menurut agensi itu.

Untuk layak bagi Skim Kenderaan Klasik, sesebuah motosikal itu harus berusia sekurang-kurangnya 35 tahun berdasarkan tarikh pendaftaran asal.

HAD PENGELUARAN BUNYI YANG BARU

NEA juga mengumumkan bahawa "ia secara ekslusif akan mengamalkan" piawai pengeluaran bunyi yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi kenderaan dan sistem ekzos mulai 1 April 2023.

"Pengumuman ini memberikan lebih banyak masa kepada industri motor untuk mendapatkan kenderaan bermotor yang dapat memenuhi keperluan pengeluaran bunyi yang baru," menurut NEA.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan