Images
  • house of tan yeok nee
    Rumah agam House of Tan Yeok Nee dibina pada 1882. (Gambar: Savills)

Monumen Negara Kediaman Tan Yeok Nee dekat Istana dijual

SINGAPURA: Kediaman Tan Yeok Nee, sebuah monumen negara yang terletak berdekatan Istana, dijual pada harga penyata S$92 juta.

Ini bermakna harga sekitar S$1,573 setiap kaki persegi bagi kawasan lantai strata kira-kira 58,480 kaki persegi, menurut ejen pemasaran Savills Singapore pada Selasa (12 Okt).

Terletak di persimpangan antara Clemenceau Avenue dengan Penang Road, Kediaman Tan Yeok Nee adalah satu-satunya hartanah peninggalan "4 rumah agam" yang dibina oleh hartawan Teochew itu pada lewat abad ke-19.

"Ia juga satu daripada hanya 73 bangunan di Singapura yang diwartakan sebagai monumen negara dan dalam kalangan hanya sembilan yang ditetapkan sebagai tujuan komersil serta lima yang dimiliki secara privet," menurut Savills dalam kenyataan medianya.

Hartanah itu dibangunkan di tanah pegangan bebas dengan keluasan 26,321 kaki persegi.

Buat masa ini, ia disewakan kepada sebuah institusi pendidikan antarabangsa yang memberikan "hasil pendapatan stabil", menurut Savills. Kolej swasta Institut Global Amity terletak di 101 Penang Road iaitu alamat bagi Kediaman Tan Yeok Nee.

Dibina pada 1882, hartanak ikonik itu menjalani kerja-kerja pemuliharaan pada 2000 yang melibatkan 100 pakar tukang dari China.

Tempoh penyataan minat akan ditutup pada 3 Disember, pukul 3.00 petang.

Menurut Lembaga Warisan Negara (NHB), Tan Yeok Nee adalah seorang perintis Teochew dan pedagang gambir utama yang tanamannya kebanyakannya terletak di Johor.

Pada 1902, keluarga itu berpindah dari rumah mereka di tengah-tengah pembinaan Stesen Kereta Api Tank Road yang terletak berhampiran. Bangunan itu menjadi kediaman tuan stesen tersebut.

Selepas itu, bangunan tersebut menempatkan kediaman dan Sekolah St Mary bagi budak perempuan serani. Pada 1938, rumah itu diperolehi oleh Salvation Army dan menjadi markas ibu pejabatnya. Semasa Perang Dunia Kedua, hartanah itu dijajahi askar Jepun.

Pada tahun-tahun kebelakagan ini, rumah itu adalah kampus Asia bagi Sekolah Perniagaan Universiti Chicago Booth dan ia kemudian disewakan kepada sebuah pusat Perubatan Tradisional Cina.  

- CNA/FZ/fz

Top