Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM siasat firma selepas bekas pekerja bunuh diri dipercayai kerana keadaan kerja 'teruk'

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat dakwaan terhadap sebuah firma di sini di mana seorang bekas pekerja meragut nyawanya sendiri yang dipercayai disebabkan oleh keadaan kerja yang teruk.

Anggaran Waktu Membaca:
MOM siasat firma selepas bekas pekerja bunuh diri dipercayai kerana keadaan kerja 'teruk'

Bangunan Kementerian Tenaga Manusia.

Diterbitkan : 24 Nov 2020 11:17AM Dikemas Kini : 24 Nov 2020 01:00PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat dakwaan terhadap sebuah firma di sini di mana seorang bekas pekerja meragut nyawanya sendiri yang dipercayai disebabkan oleh keadaan kerja yang teruk.

Satu catatan Facebook yang ditulis oleh seorang lagi bekas pekerja tular di media sosial yang mendakwa bahawa bekas rakan sekerja, seorang pekerja muda warga Malaysia, membunuh diri pada Disember tahun lalu setelah beliau "kerap dibuli dan dihina" oleh pengarah firma tersebut.

Catatan itu turut mendakwa bahawa pekerjaannya diberhentikan setelah beliau gagal mencapai sasaran penjualan.

Catatan Facebook itu diiringi dengan nota bunuh diri, yang penulis catatan tersebut memperolehi daripada ibu kepada pekerja warga Malaysia itu. Dalam nota tersebut, mendiang menceritakan tentang beban yang dihadapi akibat kehilangan mata pencarian secara tiba-tiba, penderaan di tempat kerja dan tuduhan palsu yang dibuat terhadapnya semasa empat bulan bekerja di firma itu.

Catatan itu mendakwa bahawa mendiang dituduh tidur di tempat kerja semasa waktu bekerja meskipun beliau sedang berehat untuk melakukan syif malam dan tidak dijadual bekerja ketika itu.

Beliau juga dipercayai diberitahu oleh pengarah firma itu supaya membayar denda cukai lebih S$1,000 kerana melanggar kontrak kerjanya.

Mediacorp tidak menamakan pihak yang terlibat kerana kes tersebut masih disiasat.

Kementerian itu turut mendedahkan bahawa pekerja warga Malaysia itu tidak membuat aduan sebelum kematiannya. Sekitar 11 bulan lalu, ibunya menghubungi MOM pada 29 Okt.

"Kami sudah menghubungi (ibu pekerja tersebut) dan sedang menyiasat dakwaan yang dikemukakan mengenai tempat kerja itu," menurut MOM.

Mediacorp juga sudah mewawancara ibu mangsa, yang berkata bahawa anak perempuannya dahulu adalah seorang yang ceria semasa mendiang mula bekerja di firma itu pada Ogos tahun lalu.

Ia juga adalah pekerjaan pertama anak perempuannya di Singapura dan beliau mengambilnya untuk meringankan beban keluarganya, tambah ibu mendiang. Beliau kemudian mendapat tahu bahawa anak perempuannya terpaksa bekerja sehingga larut malam dan sering tiada masa untuk makan malam, dan kerap dimarahi di tempat kerja.

Beliau berkata bahawa anak perempuannya itu pernah memberitahunya bahawa beliau ingin berhenti bekerja, kerana tidak boleh tidur disebabkan oleh pekerjaannya itu.

Menurutnya lagi, anak perempuannya mengambil cuti selama enam hari untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang ahli keluarga di Pulau Pinang pada September tahun lalu.

Pada awalnya, permohonan cutinya diluluskan, tetapi ia kemudian dikurangkan kepada empat hari. Anak perempuannya diberitahu bahawa kontrak kerjanya ditamatkan pada malam beliau sepatutnya pergi bercuti.

Mendiang dipercayai telah diberitahu oleh pengarah firma itu bahawa beliau sudah melanggar kontrak dan perlu membayar denda cukai. Ibunya yang tinggal di Muar percaya bahawa inilah yang menyebabkan anak perempuannya membunuh diri.

Apabila ditanya mengapa beliau membangkitkan kejadian itu hampir setahun selepas kematian anak perempuannya, ibunya mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai wang dan pasport dan tidak tahu bagaimana untuk mengemukakan kes itu mengikut proses undang-undang.

Perintah kawalan pergerakan di Malaysia yang dikuatkuasakan akibat pandemik COVID-19 juga menghalangnya daripada memasuki Singapura.

Apabila seorang bekas pekerja firma itu menghubunginya, barulah beliau meminta bantuan untuk memfailkan aduan kepada pihak berkuasa yang relevan.

Beliau memberitahu Mediacorp dalam bahasa Mandarin: "Anak perempuan saya adalah seorang anak yang sangat taat, ceria dan penyayang, yang selepas pekerjaan ini, hilang kebahagiaan pada kehidupannya. Saya hanya mahu menuntut keadilan ... tiada siapa pun yang dapat mengembalikan anak perempuan saya."

Beberapa bekas pekerja turut mendedahkan kepada Mediacorp bahawa keadaan kerja di firma itu "sangat membebankan". 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan