Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM siasat dakwaan pelanggaran protokol kesihatan COVID-19 di dormitori Jurong; polis anti rusuhan dikerah

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memberi respons kepada dakwaan-dakwaan tentang pelanggaran protokol keselamatan COVID-19, kurangnya akses pada bantuan perubatan dan mutu makanan yang rendah disediakan di sebuah dormitori di Jalan Tukang di Jurong.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Oct 2021 08:22AM Dikemas Kini : 14 Oct 2021 08:57PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memberi respons kepada dakwaan-dakwaan tentang pelanggaran protokol keselamatan COVID-19, kurangnya akses pada bantuan perubatan dan mutu makanan yang rendah disediakan di sebuah dormitori di Jalan Tukang di Jurong.

Pada Rabu (13 Okt), pegawai dari Pasukan Jaminan dan Sokongan ke Hadapan (FAST) MOM dikerahkan ke dormitori tersebut untuk menyiasat dakwaan-dakwaan itu.

Pasukan Polis Singapura (SPF) juga memberi respon kepada satu panggilan bantuan di dormitori berkenaan sekitar pukul 12.55 tengah hari, menurut MOM.

Para pegawai polis di dormitori Westlite Jalan Tukang pada 13 Okt 2021. (Gambar: Calvin Oh)

Dakwaan dibuat dalam satu rencana online yang diterbitkan di Weixin pada Selasa, menurut seorang jurucakap MOM pada Rabu dalam jawapannya kepada Mediacorp.

Weixin adalah versi WeChat yang digunakan di China.

"Siasatan awal MOM mendapati sememangnya terdapat beberapa kelengahan dalam menghantar pekerja yang diuji positif COVID-19 dari bilik mereka ke kemudahan pemulihan dormitori atau kemudahan pemulihan pusat," menurutnya.

Kementerian itu menambah ia sedang mengusahakan untuk memindahkan mereka yang memerlukan jagaan perubatan lanjutan ke kemudahan jagaan kesihatan bagi menerima rawatan.

Rakan sebilik kes positif kata MOM dibenarkan untuk kembali bekerja sebaik sahaja menunjukkan hasil ujian pantas antigen yang negatif.

TELEPERUBATAN DAN MAKANAN

Ketika menggambarkan keadaan di dormitori berkenaan, MOM menyatakan penghuni yang mahu berjumpa doktor dibawa ke sebuah pusat perubatan daerah pada setiap hari dan mempunyai akses kepada teleperubatan.

MOM menyatakan ia juga mengerahkan pasukan klinikal bergerak di dormitori itu untuk memenuhi keperluan jagaan pekerja apabila perlu. 

Majikan pekerja menyediakan sajian makanan tiga kali sehari, menurut MOM. Kementerian itu menambah ia sudah menyampaikan maklum balas pekerja tentang mutu makanan yang disediakan kepada majikan.

"Sejak itu, majikan sudah mendekati pekerja tentang masalah tersebut dan berbincang jika mereka mempunyai keprihatinan lain," menurut MOM.

MOM menyatakan ia akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk pengendali dormitori dan majikan untuk memastikan kesejahteraan pekerja hijrahan.

"Kami juga mendapatkan maklum balas daripada pekerja melalui saluran sedia ada seperti menerusi pegawai FAST di lapangan atau pengendali dormitori," tambahnya.

POLIS ANTI RUSUHAN DIKERAH

Pada petang Rabu, pasukan polis dikerahkan ke dormitori Westlite Jalan Tukang.

Apabila Mediacorp tiba di dormitori pekerja asing itu sekitar jam 4.00 petang, kelihatan terdapat kehadiran anggota keselamatan yang tinggi dengan empat kenderaan Markas Operasi Khas dan beberapa kenderaan polis berperisai lain yang diletakkan di tepi jalan di luar dormitori tersebut.

Kenderaan Markas Operasi Khas dilihat di luar dormitori Westlite Jalan Tukang pada 13 OKt 2021. (Gambar: Calvin Oh)

Puliuhan pegawai polis dalam peralatan perlindungan bersama-sama pegawai lain dalam beret merah turut kelihatan.

Perisai anti rusuhan disandarkan pada penghadang yang didirikan di tempat masuk dormitori itu. Ia dijaga oleh kakitangan polis yang memakai peralatan perlindungan peribadi.

Sekitar pukul 5.50 petang, polis dalam peralatan perlindungan mula menaiki kenderaan berperisai dan meninggalkan tempat itu.

Sebuah pasar raya kecil di luar dormitori Westlite Jalan Tukang pada 13 Okt 2021. (Gambar: Calvin Oh)

Sebuah pasar raya yang terletak di bahagian luar dormitori itu, yang sudahpun ditutup, dibuka sekitar jam 6.00 petang dan para pekerja dilihat pergi ke sana untuk membeli barangan.

Pegawai polis juga dilihat membawa beg-beg plastik berisi paket makanan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan