Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM 'saran' majikan baru dan sedia ada kongsi kos SHN, ujian COVID-19 pembantu rumah hijrahan

Majikan-majikan yang menggajikan para pembantu rumah hijrahan yang dipindahkan kepada mereka digalakkan supaya menampung sebahagian kos yang perlu ditanggung apabila pekerja itu memasuki Singapura, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (8 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Sep 2021 05:58PM Dikemas Kini : 08 Sep 2021 09:11PM

SINGAPURA: Majikan-majikan yang menggajikan para pembantu rumah hijrahan yang dipindahkan kepada mereka digalakkan supaya menampung sebahagian kos yang perlu ditanggung apabila pekerja itu memasuki Singapura, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (8 Sep).

Saranan daripada MOM itu diguna pakai bagi pemindahan yang dibuat dalam tempoh 12 bulan setelah tamat tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) amah tersebut.

Para majikan yang menggajikan pembantu rumah hijrahan dikehendaki menanggung sepenuhnya kos SHN mereka dan ujian-ujian berkaitan COVID-19. Para majikan tidak dibenarkan menyuruh pembantu rumah itu menanggung kos tersebut.

Ini mewujudkan jurang kos antara majikan yang menggajikan amah dari luar negara dan mereka yang mengambil pembantu rumah hijrahan yang sudahpun berada di Singapura, jelas MOM.

"Meskipun sebahagian besar pembantu rumah hijrahan dapat menyesuaikan diri dengan baik dan menamatkan tempoh kontrak mereka, terdapat situasi di mana kontrak kerja mereka ditamatkan sebelum waktunya, baik atas kehendak majikan atau permintaan pembantu rumah hijrahan itu sendiri untuk dipindahkan ke majikan lain. Majikan (pertama) perlu menanggung kos berkaitan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dalam situasi seperti ini,” menurut MOM dalam kenyataan medianya.

"Sekiranya pertukaran majikan berlaku dalam masa 12 bulan, MOM menyarankan kepada majikan baru supaya menanggung sebahagian daripada kos SHN dan ujian-ujian lain berkaitan COVID-19 yang ditanggung oleh majikan sedia ada untuk membawa masuk pembantu rumah hijrahan ke Singapura."

MOM turut menggesa agensi-agensi pembantu rumah supaya menolong majikan sedia ada dan majikan baru dalam mencapai persetujuan untuk mengongsi kos.

Kriteria bagi perkongsian kos adalah:

  • Pembantu rumah dipindahkan dalam masa 12 bulan setelah selesai notis SHN yang dijalaninya;
  • majikan sedia ada tidak menuntut atau menerima lebih daripada apa yang mereka bayar untuk SHN dan ujian COVID-19;
  • kedua-dua majikan sedia ada dan baru menandatangani perjanjian bertulis yang mesti dikekalkan selama setahun dari tarikh perjanjian dan diberikan kepada MOM apabila diminta kelak.

Majikan tidak dibenarkan berkongsi kos lain yang berkaitan dengan pengambilan pembantu rumah, seperti yuran agensi pembantu rumah dan premium insurans, tambah MOM.

Agensi pembantu rumah akan diminta untuk memaklumkan majikan sedia ada dan bakal majikan mengenai kriteria dan garis panduan perkongsian kos MOM, tambah kementerian itu.

PANDUAN BAGI PERKONGSIAN KOS

MOM mengesyorkan agar kos dibahagikan berdasarkan berapa lama pembantu rumah bekerja untuk majikan mereka sekarang.

"Bagi majikan yang bersetuju untuk berkongsi kos, MOM menasihatkan majikan sedia supaya menanggung kos yang setimpal dengan tempoh pembantu rumah hijrahan itu bekerja untuk majikan tersebut dalam tempoh 12 bulan," tambah kementerian itu.

"Sebarang aturan untuk berkongsi kos SHN dan kos ujian-ujian yang berkaitan dengan COVID-19 harus dibincangkan dan dipersetujui sebelum majikan memberikan persetujuan untuk memindahkan pembantu rumah hijrahan tersebut," menurut MOM.

MOM menambah bahawa pelaksanaan dasar pengembalian yuran perkhidmatan untuk majikan meningkatkan kesesuaian antara majikan dan pembantu rumah hijrahan ditangguhkan sehingga ke awal 2022.

"Lebih banyak masa diperlukan untuk menyertakan maklum balas mengenai dasar tersebut daripada pihak-pihak berkepentingan," jelas kementerian itu. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan