Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM pelawa maklum balas mengenai Akta Pekerjaan

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (18 Jan) melancarkan satu sesi rundingan awam selama sebulan untuk mengumpul maklum balas orang ramai mengenai bidang-bidang yang sedang dipertimbangkan bagi semakan terhadap Akta Pekerjaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Jan 2018 05:40PM Dikemas Kini : 18 Jan 2018 11:24PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (18 Jan) melancarkan satu sesi rundingan awam selama sebulan untuk mengumpul maklum balas orang ramai mengenai bidang-bidang yang sedang dipertimbangkan bagi semakan terhadap Akta Pekerjaan.

Semakan itu bagi memastikan ia "seiring dengan profil tenaga kerja dan latar pekerjaan yang berubah-ubah," demikian menurut MOM dalam kenyataan medianya. Menurutnya lagi, kali terakhir Akta itu disemak adalah pada tahun 2012 dengan pindaan terhadapnya dilaksanakan pada 2015.

Sejak itu, rakan kerja tiga pihak - MOM, NTUC dan Persekutuan Para Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) mengadakan "perbincangan lanjut" dan mengenal pasti beberapa bidang luas untuk disemak bagi memastikan Akta itu kekal relevan selain meningkatkan perlindungan di bawah Akta itu.

Salah satu bidang utama yang perlu dikemas kini ialah sama ada untuk melanjutkan peruntukan utama seperti cuti umum dan cuti sakit, bayaran dan pemotongan gaji yang diluluskan serta proses menghuraikan pertikaian mengenai kes-kes pemecatan salah, kepada semua pekerja.

Buat masa ini, peruntukan itu meliputi semua pekerja kecuali para pembantu rumah, pegawai awam, pelaut serta pengurus dan eksekutif yang mendapat gaji lebih daripada S$4,500 sebulan. Para pekerja itu tidak dilindungi di bawah Akta Pekerjaan dan sudah pun mendapat "akses kepada sebahagian besar peruntukan tersebut".

Satu lagi bidang utama di bawah semakan itu ialah perlindungan tambahan bagi lebih ramai pekerja yang lemah.

Ia berkaitan peruntukan berdasarkan masa seperi cuti tahunan, masa bekerja, gaji kerja lembur dan hari rehat. Perlindungan ini meliputi para pekerja biasa dalam pekerjaan "kolar putih" seperti kerani dan penyambut tamu yang memperoleh pendapatan sehingga S$2,500, serta pekerja manual atau buruh kasar yang mendapat gaji bulanan sehingga S$4,500. MOM ingin mendapatkan maklum balas tentang aras sesuai mengikut tangga gaji yang ditetapkan.

Bidang ketiga pula berkisar pada proses menghuraikan pertikaian.

MOM menjelaskan bahawa kini, pertikaian berkaitan gaji mengikut undang-undang atau kontrak akan dikendalikan Tribunal Tuntutan Pekerjaan sementara pemecatan salah ditangani MOM. Memandangkan tuntutan berkaitan pemecatan salah, sering dikaitkan dengan isu gaji, pekerja yang terjejas harus pergi ke dua tempat untuk menyelesaikan masalah mereka.

"MOM sedang menyemak semula proses ini bagi memudahkan pekerja dan majikan. Kami mempelawa orang ramai untuk memberi pandangan mereka tentang bagaimana ini dapat dilakukan," menurut kementerian itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang bidang-bidang utama yang bakal disemak melalui laman REACH. Mereka boleh memberi maklum balas dengan mengirimkan emel kepada mom_consultations [at] mom.gov.sg dengan tajuk emel "Consultation on EA review". Sesi rundingan awam ini ditutup pada 15 Februari.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan