Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM keluarkan arahan henti kerja kepada firma kitar semula besi

Sebuah trak angkat susun yang diikat dengan wayar dan besi buruk yang ditindih secara tidak selamat adalah antara kesilapan-kesilapan yang menyebabkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengeluarkan arahan berhenti kerja kepada firma kitar semula sisa besi, Esun International hari ini (19 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
MOM keluarkan arahan henti kerja kepada firma kitar semula besi

(Gambar: Chew Hui Min)

Diterbitkan : 19 Apr 2021 10:48PM Dikemas Kini : 19 Apr 2021 10:55PM

SINGAPURA: Sebuah trak angkat susun yang diikat dengan wayar dan besi buruk yang ditindih secara tidak selamat adalah antara kesilapan-kesilapan yang menyebabkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengeluarkan arahan berhenti kerja kepada firma kitar semula sisa besi, Esun International hari ini (19 Apr).

Para pengawai divisyen keselamatan dan kesihatan pekerjaan MOM dan juga Menteri Negara Kanan Zaqy Mohamad serta beberapa wartawan, melakukan lawatan mengejut ke kemudahan di Jurong itu petang tadi.

Para pegawai keselamatan memeriksa kenderaan dan mesin-mesin di sana serta meneliti sekitaran kilang dan bercakap kepada para pekerja dan pengurusnya untuk memahami keadaan di tempat kerja mereka.

Sekurang-kurangnya sebuah trak angkat susun didapati tidak disenggara dengan baik - dengan wayar-wayar karat diikat pada beberapa bahagian penting kenderaan itu di mana sepatutnya terdapat gelungan.

Para pegawai juga mendapati tiada petanda jelas diletakkan untuk menguruskan trafik meskipun para wartawan melihat beberapa kenderaan berat beroperasi di premis tersebut.

Di dalam kilang itu, besi buruk bertaburan di banyak kawasan dan terdapat longgokan besi-besi yang sudah dicarik.

Bercakap kepada para wartawan selepas pemeriksaan di lokasi itu, Encik Zaqy berkata para pegawai mengesan beberapa kesilapan: "Kami melihat isu bekerja dari tempat tinggi, bahan-bahan yang ditindih...dan ini boleh menjadi risiko apabila terjatuh ke atas seseorang.

"Kami juga melihat isu-isu pengurusan trafik. Itu sesuatu yang perlu dipandang serius kerana jika anda tidak menguruskan trafik dengan betul, lebih-lebih lagi di ruang sempit seperti ini, banyak yang boleh berlaku."

TUMPU KEPADA KESELAMATAN DI SEKTOR PERKILANGAN

Menurut MOM, arahan henti kerja itu yang keenam dikeluarkan kepada firma perkilangan tahun ini.

Arahan-arahan itu lazimnya dikekalkan sehingga kesilapan-kesilapan yang dikesan diperbetulkan. Selain itu, 74 denda sudah dikeluarkan kepada firma-firma dalam sektor tersebut tahun ini.

"Ini menunjukkan usaha kami untuk memastikan bahawa kami menekankan keselamatan dan perlindungan dalam sektor itu supaya kita boleh mempertingkat keselamatan para pekerja kita," kata Encik Zaqy.

Beliau mengumumkan bahawa MOM akan melancarkan satu operasi untuk menjalankan 400 pemeriksaan keselamatan pada bulan Mei dan Jun dalam sektor-sektor berisiko tinggi, termasuk binaan, perkilangan, pengangkutan dan marin, untuk memastikan tempat-tempat kerja selamat dan khususnya para pekerja yang mengendalikan mesin-mesin berkelayakan dan terlatih.

Operasi itu hanya akan dijalankan dari bulan Mei untuk memberi para majikan masa untuk menyemak proses-proses kerja dan menjalankan penilaian risiko, kata beliau.

"Meskipun dalam tempoh mencabar ini, keselamatan mesti diutamakan dan perlu dipandang serius oleh syarikat-syarikat dan pihak pengurusan mereka," kata Encik Zaqy.

"Kita harus memastikan pekerja kita pulang dengan selamat dan boleh menyara hidup keluarga mereka."

Encik Zaqy berkata MOM "sudah melakukan apa yang perlu" untuk menggalak keselamatan dalam sektor binaan dan kini mengalih tumpuannya kepada sektor perkilangan, yang mencatat enam kemalangan maut pada 2020, naik daripada empat pada 2019.

Jumlah kematian di tempat kerja dalam semua sektor adalah 30, pada 2020.

MOM menyatakan sektor perkilangan itu juga mencatat jumlah kes tertinggi kecederaan tidak membawa maut - iaitu 110 kes kecederaan teruk dan sekitar 2,300 kecederaan ringan pada tahun lalu.

Sekitar 30 peratus daripada kesemua kecederaan dalam sektor itu adalah disebabkan insiden melibatkan mesin, menurut Encik Zaqy.

"Terdapat sekitar 48 kes kodong kaki atau tangan (atau) sebahagiannya dan saya rasa jumlah itu terlalu tinggi kerana setiap anggota tubuh yang hilang adalah satu mata pencarian yang terjejas," kata beliau.

Pemeriksaan-pemeriksaan yang dijalankan akan tertumpu kepada latihan pekerja, khususnya pekerja yang baru atau mereka yang kembali bekerja selepas arahan henti kerja, tambah Encik Zaqy.

Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja sudahpun mengeluarkan bahan-bahan baru bagi syarikat menyediakan latihan kepada pekerja mereka dan kesedaran tentang mengendalikan mesin dengan selamat.

Mereka juga sudah melancarkan Kempen "Safe Hands" untuk meningkatkan kesedaran mengenai kecederaan tangan dan jari dalam sektor perkilangan, dengan lebih banyak tumpuan kepada usaha mengelakkan insiden-insiden melibatkan mesin, menurut MOM.

Sumber : CNA/NK/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan