Images
  • foreign worker covid-19 test
    (Gambar: TODAY)

MOM gantung hak istimewa pas kerja 2 majikan kerana gagal atur jadual ujian COVID-19 untuk pekerja

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menggantung hak istimewa pas pekerjaan dua majikan kerana gagal membuat aturan bagi pekerja mereka untuk menjalani ujian rutin berjadual yang wajib bagi COVID-19.

Tindakan diambil selepas majikan tersebut tidak memberi sebab munasabah atau menghantar permohonan pengecualian bagi pekerja mereka, demikian menurut satu kenyataan media bersama oleh MOM, Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) pada Jumaat (16 Okt).

"Oleh kerana majikan itu melanggar peraturan, mereka tidak lagi dibenarkan untuk menggajikan dua pemegang pas kerja terbabit," menurut pihak berkuasa berkenaan.

"Pekerja yang terjejas diberi tempoh penangguhan untuk mencari pekerjaan alternatif kerana mereka tidak terbabit dalam pelanggaran peraturan itu," tambah pihak berkuasa tersebut.

Ini merupakan kali pertama majikan dikenakan hukuman kerana gagal mematuhi keperluan ujian rutin berjadual, yang bertujuan mengekang penularan COVID-19.

Pekerja yang tinggal di dormitori, mereka yang bekerja dalam sektor binaan, marin dan pemprosesan, serta semua pekerja yang perlu ke tapak binaan diperlu menjalani ujian rutin berjadual bagi COVID-19 setiap 14 hari.

Sejak Ogos lalu, pihak berkuasa mengingatkan majikan supaya menghantar pekerja mereka untuk menjalani ujian sebelum tarikh akhir pada 5 Sep.

LEBIH DARIPADA 2,000 BELUM JALANI UJIAN

Sebilangan besar pekerja yakni sekitar 260,000 orang sudah pun menjalani atau dijadualkan untuk menjalani ujian rutin berjadual, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.

Namun, sekitar 2,200 pekerja yang perlu menjalani ujian belum berbuat demikian.

"Ini termasuk pekerja yang terlepas temu janji ujian rutin berjadual selanjutnya dan pekerja yang baru dikenal pasti untuk menjalani ujian rutin berjadual kerana mereka memasuki tapak-tapak binaan," demikian menurut pihak berkuasa.

Status AccessCode bagi pekerja berkenaan kekal berwarna "merah" dan mereka tidak dapat kembali bekerja.

Sekitar separuh daripada mereka dijadual untuk menjalani ujian dan boleh kembali bekerja sebaik sahaja sudah diuji, tambah pihak berkuasa berkenaan.

Usaha untuk membantu majikan termasuk dengan mengadakan Sistem Pendaftaran Swab dan menambah kemudahan ujian swab bagi memastikan terdapat slot temu janji yang mencukupi serta menambah kemudahan dan akses bagi majikan dan pekerja, menurut pihak berkuasa.

- CNA/HA/ha

Top