Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM dakwa 2 agensi keselamatan privet; arah pegawai kerja lebih 20 jam sehari

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengambil tindakan terhadap beberapa agensi keselamatan privet termasuk dua yang menyuruh pegawai keselamatannya bekerja sehingga 20 jam sehari. 

Anggaran Waktu Membaca:
MOM dakwa 2 agensi keselamatan privet; arah pegawai kerja lebih 20 jam sehari

Gambar fail seorang pengawal keselamatan (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 14 Oct 2021 02:46PM Dikemas Kini : 14 Oct 2021 02:48PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengambil tindakan terhadap beberapa agensi keselamatan privet termasuk dua yang menyuruh pegawai keselamatannya bekerja sehingga 20 jam sehari.

Erawan Security Services dan Volantra Security didakwa di bawah Akta Pekerjaan kerana mengerahkan pegawai mereka bekerja menjangkaui waktu bekerja yang dibenarkan.

Pegawai keselamatan dari kedua-dua syarikat itu didapati bekerja dua syif secara berterusan - antara 17 hingga 20 jam sehari - beberapa kali antara Februari dengan Mac lalu.

"Di bawah undang-undang, agensi keselamatan privet tidak dibenarkan mengerahkan pegawai keselamatan mereka bekerja lebih 12 jam sehari melainkan pengecualian yang dinyatakan dalam Akta Pekerjaan (EA) berlaku," menurut MOM pada Khamis (14 Okt).

TINDAKAN TERHADAP MAJIKAN

Dalam operasi penguatkuasaan dari April hingga Ogos, MOM memeriksa hampir 200 agensi keselamatan privet untuk mengetahui jika ia mematuhi Akta Pekerjaan, khususnya bagi waktu bekerja dan had bekerja lembur

Sekitar 36 peratus agensi didapati melanggar undang-undang.

Walaupun kebanyakannya adalah pelanggaran kecil, MOM menyatakan ia mengambil tindakan terhadap 15 agensi keselamatan privet kerana mengarahkan pegawai mereka bekerja melebihi waktu bekerja yang dibenarkan.

Majikan yang didapati bersalah melanggar Akta Pekerjaan, yang memperuntukkan hari rehat, had bagi tempoh waktu kerja dan syarat lain perkhidmatan, boleh didakwa dan didenda sehingga S$5,000 bagi setiap kesalahan.

Jika didapati bersalah buat kali kedua atau lebih, majikan boleh didenda sehingga S$10,000, dipenjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang mempunyai maklumat tentang pelanggaran Akta Pekerjaan harus melaporkan perkara itu di www.mom.gov.sg/report-ea-violation. Semua maklumat akan dirahsiakan, menurut MOM.

"Kementerian Tenaga Manusia komited untuk menjaga kebajikan semua pekerja," kata Christine Loh, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Piawaian Pekerjaan.

"Sedang kami terus mendidik pekerja tentang hak mereka, kami juga akan menjalankan pemeriksaan berkala di tempat kerja dan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang didapati bersalah melanggar undang-undang.

"Agensi keselamatan harus merujuk kepada Nasihat Perikatan Tiga Pihak mengenai Memastikan Kemampanan Sektor Keselamatan di tengah-tengah COVID-19 untuk membuat perancangan awal dan memanfatkaan huraian menggunakan teknologi bagi mengoptimumkan tenaga kerja." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan