Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM batalkan pas kerja 2 pekerja kerana langgar arahan COVID-19

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) membatalkan pas kerja dua pekerja selepas mereka memasuki Singapura tanpa diluluskan oleh kementerian tersebut. MOM pada Khamis (13 Feb) juga menggantung keistimewaan pas kerja majikan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
MOM batalkan pas kerja 2 pekerja kerana langgar arahan COVID-19

Imbasan suhu dilaksanakan di Lapangan Terbang Changi (Gambar: REUTERS/Yiming Woo)

Diterbitkan : 13 Feb 2020 09:57PM Dikemas Kini : 13 Feb 2020 10:02PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) membatalkan pas kerja dua pekerja selepas mereka memasuki Singapura tanpa diluluskan oleh kementerian tersebut.

MOM pada Khamis (13 Feb) juga menggantung keistimewaan pas kerja majikan mereka.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengawal keadaan virus korona COVID-19 di Singapura, semua pemegang pas kerja dengan rekod perjalanan ke tanah besar China dalam tempoh 14 hari yang lalu dan merancang untuk memasuki atau kembali ke Singapura, diwajibkan mendapatkan kelulusan kementerian itu sebelum memulakan perjalanan mereka ke sini.

Arahan itu dikuatkuasakan pada 8 Feb.

Para pekerja tersebut memasuki Singapura pada 11 Feb walaupun permohonan mereka untuk memasuki negara ini tidak diluluskan, menurut MOM.

"Walaupun majikan mereka sudah dimaklumkan tentang keputusan MOM sekurang-kurangnya 12 jam sebelum ketibaan pekerja-pekerja itu, mereka tetap melakukan perjalanan dan memasuki Singapura pada 11 Feb," menurut kementerian itu.

Kementerian itu menambah bahawa pihaknya sudah mengarahkan pihak majikan supaya menghantar pulang pekerja-pekerja itu dalam tempoh 24 jam dan pekerja-pekerja tersebut diharamkan daripada bekerja di Singapura buat selama-lamanya.

MOM juga menggantung keistimewaan pas kerja bagi majikan mereka selama setahun.

Ini bukan kali pertama MOM membatalkan pas kerja dan menggantung keistimewaan majikan kerana melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk menangani penularan COVID-19.

Pada Ahad, kementerian itu mengumumkan bahawa ia membatalkan pas kerja empat orang dan menggantung keistimewaan pas kerja enam majikan kerana melanggar syarat cuti ketidakhadiran (LOA).

MOM mengumumkan pada 6 Februari bahawa semua pemegang pas kerja dengan sejarah perjalanan ke tanah besar China baru-baru ini dikehendaki mengambil cuti wajib LOA selama 14 hari selepas mereka tiba di Singapura.

PERINGATAN KEPADA SEMUA MAJIKAN DAN PEKERJA

MOM pada Khamis turut mengingatkan semua majikan supaya mendapatkan kelulusan bagi pemegang pas kerja dengan sejarah perjalanan ke tanah besar China baru-baru ini untuk memasuki Singapura.

"Majikan perlu memaklumkan para pekerja mereka supaya jangan membuat rancangan untuk melakukan perjalanan ke Singapura selagi kelulusan belum diperolehi daripada MOM," tegas kementerian itu.

"Sebaik saja mereka tiba di Singapura, mereka dikehendaki mengambil cuti wajib LOA selama 14 hari. Majikan dan pekerja bertanggungjawab untuk memastikan pekerja bersikap bertanggungjawab semasa menjalani LOA. "

MOM turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah-langkah penguatkuasaan terhadap majikan atau pekerja yang tidak mematuhi syarat-syarat tersebut, termasuk membatalkan pas kerja dan menggantung keistimewaan pas kerja.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan