Images
  • amp Mohksin Rashid
    Encik Mohksin Rashid dilantik sebagai Pengarah Eksekutif baru AMP mulai 1 September 2021. (Gambar: AMP)

Mohksin Rashid dilantik Pengarah Eksekutif baru AMP berkuat kuasa 1 Sep

SINGAPURA: AMP Singapura melantik Encik Mohksin Rashid, 36 tahun, sebagai Pengarah Eksekutif badannya berkuat kuasa hari ini (1 Sep). Demikian diumumkan pertubuhan Melayu/Islam itu dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Encik Mohksin ialah pengasas bersama pertubuhan belia, Majulah Community, dan beliau mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam sektor amal. Menurut AMP, beliau memimpin Majulah Community selaku Ketua Pegawai Eksekutif dari 2014 hingga 2019.

Menurut kenyataan media AMP, Encik Mohksin mula bergiat dalam kerja-kerja kemasyarakatan sejak umurnya 18 tahun. Beliau menjadi relawan di badan-badan amal, masjid serta kumpulan belia selama hampir dua dekad.

Antara kerja sukarela dilakukannya ketika memangku jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa pemandu CLF Labs sejak 2018 dan selaku Setiausaha Kehormat bagi Lembaga Pentadbir Masjid Wak Tanjong sejak Disember tahun lalu.

Beliau juga merupakan pemenang Anugerah Belia Inspirasi Muis50 dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada tahun 2018 atas sumbangannya dalam bidang sosio-keagamaan.

“Kami yakin bahawa pengalaman meluas Mohksin dalam kerja kemasyarakatan akan membantu memajukan serta mengubah AMP agar kami kekal relevan kepada pihak-pihak berkepentingan dalam usaha kami berkhidmat kepada masyarakat dan Singapura pada masa hadapan,"kata Dr Md Badrun Nafis Saion, Pengerusi AMP.

"Kami berharap pelantikan ini akan membawa perspektif serta pandangan segar. Saya yakin ini akan memanfaatkan AMP dan juga para pelanggan kami." 

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/FZ/tq

Top