Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mohamed Kazali Salleh dipenjara 3 tahun 10 bulan biaya lelaki M'sia sertai ISIS di Syria

Seorang lelaki Singapura dipenjara tiga tahun dan 10 bulan hari ini (9 Sep) selepas menghulurkan wang kepada seorang lelaki Malaysia yang mahu melakukan perjalanan ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas ISIS. 

Anggaran Waktu Membaca:
Mohamed Kazali Salleh dipenjara 3 tahun 10 bulan biaya lelaki M'sia sertai ISIS di Syria

Mohamed Kazali Salleh ketika diberkas pada Disember 2018. (Gambar: Divisyen Antipengganasan Malaysia)

Diterbitkan : 09 Sep 2021 03:16PM Dikemas Kini : 09 Sep 2021 03:24PM

SINGAPURA: Seorang lelaki Singapura dipenjara tiga tahun dan 10 bulan hari ini (9 Sep) selepas menghulurkan wang kepada seorang lelaki Malaysia yang mahu melakukan perjalanan ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas ISIS.

Mohamed Kazali Salleh, 51 tahun, memberikan sekitar S$1,000 kepada Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, juga dikenali sebagai "Akel" iaitu seorang anggota ISIS terkenal, menurut dokumen mahkamah.

Hari ini, Kazali mengaku bersalah atas dua tuduhan di bawah Akta (Sekatan Pembiayaan) Pengganasan. Satu lagi tuduhan di bawah akta yang sama dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Ini adalah pendakwaan pertama di Singapura bagi kesalahan membiayai perjalanan individu ke negara asing untuk menjalani latihan untuk menjadi seorang pengganas.

PERTEMUAN MEREKA

Semasa kesalahan itu dibuat, Kazali ialah seorang ahli perniagaan yang beroperasi dari Johor, Malaysia. Mahkamah diberitahu, Kazali berkawan dengan Akel di Kuala Lumpur pada 2009.

Semasa perjalanan itu, Akel memberitahu Kazali tentang pandangan agamanya dan kedua-dua lelaki itu saling berhubungan antara satu sama lain selepas pertemuan tersebut, menurut dokumen mahkamah.

Mahkamah juga diberitahu dari 2010 hingga 2013, Kazali bertemu Akel "banyak kali" dan mereka menghadiri syarahan agama serta rapat politik di Malaysia bersama-sama.

Semasa pertemuan-pertemuan itu, Akel berkongsi dengan Kazali ideologi pelampaunya. Ini termasuk "minat mendalam" Akel untuk menjadi seorang anggota dalam "tentera Muslim", menurut dokumen mahkamah.

"Tertuduh bersetuju dan menyokong ideologi pelampau Akel," menurut dokumen mahkamah.

LAKUKAN PERJALANAN KE SYRIA

Pada pertengahan 2013, Akel memberitahu Kazali dia mahu melakukan perjalanan ke Syria bagi tujuan tersebut. Akel meminta wang daripada Kazali untuk membeli tiket penerbangan ke Turki dan dari sana dia akan menyambung perjalanan ke Syria.

Pada hujung tahun itu, Kazali membawa Akel ke sebuah agensi pelancongan dan menyerahkan RM1,000 (sekitar S$386 ketika itu) untuk membeli tiket ke Turki.

Pada Januari 2014, Akel menghubungi Kazali menerusi WhatsApp untuk meminta lebih banyak wang bagi perjalanannya ke Syria.

Kazali kemudian menyuruh anak perempuannya mengirimkan AS$$351.75 (sekitar S$450 ketika itu) melalui Western Union kepada kenalannya Akel di Turki. Kazali memberitahu anak perempuannya wang itu adalah untuk membeli permaidani.

Mahkamah diberitahu Akel menyertai ISIS pada 2014. Dia menyandang jawatan kepimpinan dalam kumpulan itu tiga tahun kemudian.

“Siasatan mendedahkan dia adalah anggota ISIS (ISIS Iraq dan Syria) warga Malaysia paling mapan di Syria dan secara aktif merekrut rakyat Malaysia untuk menyertai ISIS di Syria," menurut dokumen mahkamah.

Akel juga dikenal pasti oleh pihak berkuasa Malaysia sebagai individu bertanggungjawab ke atas plot serangan berkaitan ISIS di Malaysia pada 2019.

Plot-plot itu melibatkan arahan kepada dua penyokong ISIS warga Malaysia supaya melancarkan serangan ke atas rumah-rumah ibadat serta stesen polis di Malaysia pada awal 2019. Plot itu bagaimanapun berjaya dileburkan.

Mahkamah diberitahu Akel dibunuh dalam satu serangan udara oleh Rusia di Syria pada 2019.

KAZALI DITANGKAP

Kazali diberkas oleh Cawangan Khas Malaysia pada 19 Disember 2018 atas pelibatannya dalam kegiatan berkaitan pengganasan.

Dia dihantar pulang ke Singapura dan ditangkap oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 7 Januari 2019.

Dalam bulan yang sama, dia dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISD) bagi kegiatannya yang menyokong ISIS.

ISD kemudian merujuk perkara itu kepada Jabatan Ehwal Komersil (CAD). Siasatan mendedahkan Kazali menyediakan sekitar S$1,026 - dalam tempoh tiga kali - kepada seorang pengganas yang dikenali.

Hari ini (9 Sep), Timbalan Pendakwa Raya Edwin Soh meminta agar Kazali dipenjara selama 46 bulan.

Beliau berkata Kazali melakukan kesalahan-kesalahan tersebut "dengan sengaja" dan tindakannya "menimbulkan keresahan masyarakat".

Kazali "menyedari sepenuhnya" bahawa wang itu akan digunakan bagi "tujuan jahat", kata Encik Soh.

Beliau menambah, dengan wang yang diberikan oleh Kazali, Akel berjaya sampai ke Syria dan akhirnya menjadi anggota warga Malaysia paling mapan dalam ISIS. Kazali merupakan "kunci" yang membantu kebangkitan "pengganas kejam" itu, kata Encik Soh.

Peguam Kazali, Noor Mohamed Marican, mengatakan anak guamnya “bersyukur kerana kegiatannya sudahpun dihentikan disebabkan penahanannya”.

“Dia menyedari selepas penangkapan itu bahawa dia tidak cukup berhati-hati apabila Akel menghampirinya dan dari itulah semuanya bermula," ujar Encik Marican.

Kazali berasa dirinya "dipengaruhi". Namun mengakui itu adalah silapnya kerana "tidak bersikap berwaspada", kata peguam bela tersebut.

Anak guamnya itu kini "mengutuk" ISIS, kata Encik Marican.

Kazali membuat "ikrar secara ikhlas" bahawa dia tidak akan menjalin hubungan dengan mana-mana individu yang secara langsung atau tidak langsung mengambil bahagian dalam kegiatan pengganasan, kata Encik Marican.

Sejak dia ditahan, Kazali merasakan bahawa dirinya sudahpun pulih sepenuhnya, tambah peguam itu.

Encik Marican juga menarik perhatian bahawa isteri dan anak perempuan serta anggota keluarga lain kepada Kazali berada di mahkamah hari ini untuk "memberinya keyakinan diri".

Ketika menjatuhkan hukuman ke atas Kazali, Hakim Daerah Jasvender Kaur berkata dia mempertimbangkan ciri pertubuhan itu - iaitu "antara pertubuhan pengganasan terbesar dan paling berbahaya" - serta peranan yang dimainkan oleh Akel dalam kumpulan tersebut. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan