Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mohamad Adib 19 tahun mengaku salah pecahkan pintu platform stesen MRT Orchard

Seorang remaja berusia 19 tahun hari ini (19 Jun) mengaku menendang pintu tabir platform kereta api sehingga pecah.

Anggaran Waktu Membaca:
Mohamad Adib 19 tahun mengaku salah pecahkan pintu platform stesen MRT Orchard

Gambar fail stesen MRT Orchard.

Diterbitkan : 19 Jun 2019 05:51PM Dikemas Kini : 19 Jun 2019 05:54PM

SINGAPURA: Seorang remaja berusia 19 tahun hari ini (19 Jun) mengaku menendang pintu tabir platform kereta api sehingga pecah.

Mahkamah diberitahu, pintu itu yang berada di bawah hak milik Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), kemudian perlu diperbaiki pada kos S$3,061.

Mohamad Adib Azfar Mohamad mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan perbuatan nakal dan mengakibatkan kerosakan bernilai lebih S$500.

Semasa kejadian, Adib berada di stesen MRT Orchard bersama rakan-rakan kerjanya pada sekitar 6.00 pagi, 24 Sep tahun lalu. Mereka baru selesai syif bekerja sebagai pelayan sambilan di Orchard Hotel.

Adib dan salah seorang rakan kerjanya menarik dan menolak satu sama lain semasa di platform berkenaan.

Apabila kereta api tiba di stesen tersebut, Adib ingin menghalang rakannya daripada memasuki kereta api itu. Namun, rakannya berjaya memasuki gerabak tersebut.

Selepas pintu kereta api dan pintu tabir platform tutup, Adib berlari menuju ke arah mereka, melompat dan menendang pintu tabir platform dengan kuat, menggunakan kaki kanannya.

Akibatnya, pintu tabir platform pecah, kata Timbalan Pendakwa Raya Dwayne Lum.

Adib segera meninggalkan stesen tersebut dan mengambil teksi untuk pulang ke rumah. Bagaimanapun, dia berjaya dikenal pasti menerusi rakaman CCTV di platform stesen itu.

Mahkamah turut diberitahu bahawa Adib tidak membuat sebarang pembayaran bagi membaiki semula pintu yang rosak itu.

"MENGAPA ANDA BUAT PERKARA BODOH ITU?"

Selepas Adib memberikan keterangan, Hakim Daerah Eddy Tham bertanya dengan Adib: "Mengapa anda lakukan perkara bodoh seperti itu?"

Adib, yang tampil di mahkamah bersama ibunya, sekadar bergumam.

"Adakah anda mabuk?" tanya hakim.

"Tidak", jawab Adib.

"Apa yang akan anda lakukan tentang kerosakan itu? Ia bukan murah," tambah hakim tersebut. "Kerosakan melibatkan kos lebih S$3,000."

Hakim kemudian meminta laporan probesyen dan menangguhkan penjatuhan hukuman kepada 17 Jul.

Bagi perbuatan nakal yang menyebabkan kerugian atau kerosakan S$500 atau lebih, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan