Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH ulangi gesaan agar pekerja jagaan kesihatan dapatkan vaksin cegah batuk kokol

MOH sekali lagi menggesa para pekerja jagaan kesihatan yang menjaga kanak-kanak supaya mendapatkan vaksin bagi mencegah penyakit yang boleh membawa maut ke atas bayi bawah usia setahun.

Anggaran Waktu Membaca:
MOH ulangi gesaan agar pekerja jagaan kesihatan dapatkan vaksin cegah batuk kokol

(Gambar: iStock/TODAY)

Diterbitkan : 14 Jan 2018 03:00PM Dikemas Kini : 14 Jan 2018 03:05PM

SINGAPURA: Dengan jumlah kes batuk kokol yang kian meningkat, pihak berkuasa sekali lagi menggesa para pekerja jagaan kesihatan yang menjaga kanak-kanak supaya mendapatkan vaksin bagi mencegah penyakit yang boleh membawa maut ke atas bayi bawah usia setahun.

Kementerian Kesihatan (MOH) pertama kali mengeluarkan saranan itu pada tahun 2014. Ketika itu terdapat 21 kes yang disahkan sebagai batuk kokol atau pertusis.

Sejak itu, jumlahnya melonjak kepada 57 pada tahun 2015 dan 85 pada 2016.

Tahun lalu, terdapat 79 kes yang dilaporkan, meskipun para doktor memberitahu Mediacorp bahawa jumlah itu mungkin hanya sedikit (yang sudah dilaporkan) memandangkan kos untuk menjalani ujian pengesahan batuk kokol agak mahal.

BATUK KOKOL MUDAH DIJANGKITI

Penyakit pernafasan yang mudah dijangkiti itu disebabkan oleh bakteria pertusis Bordetela.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, ia menyebabkan batuk yang keterlaluan, di mana selepas itu seseorang menarik nafas dan ia mengeluarkan bunyi desisan atau 'whooping'.

Batuk kokol dijangkiti menerusi cecair yang keluar apabila seseorang bersin, batuk atau bernafas atau apabila tersentuh secara langsung pada cecair dari hidung atau tekak orang yang sudah dijangkiti, menurut MOH.

"Semua pekerja jagaan kesihatan yang menguruskan bayi dan kanak-kanak disarankan supaya mendapatkan satu dos vaksin pertusis jika mereka belum pernah menerimanya sebelum ini.

''Institusi jagaan kesihatan kami memantau perlindungan vaksin bagi kakitangan jagaan kesihatan demi memastikan perlindungan optimal daripada pertusis," menurut seorang jurucakap MOH.

MOH bagaimanapun tidak berkongsi berapa ramai pekerja jagaan kesihatan yang disarankan supaya mendapatkan vaksin atau yang sudah divaksin.

Selain vaksin bagi pertusis - yang dipanggil Tdap (tetanus, difteria dan pertusis) - para pekerja jagaan kesihatan disarankan supaya mendapatkan vaksin bagi mencegah hepatitis B, demam selesema, varisela, campak, beguk dan rubela, antara lain.

Bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapatkan suntikan vaksin bagi mencegah batuk kokol pula berisiko tinggi dijangkiti.

KEBANYAKAN KES ADALAH BAYI BAWAH 6 BULAN

Kebanyakan kes yang dilaporkan di Singapura adalah bagi bayi bawah usia enam bulan.

Doktor kanak-kanak, Liew Woei Kang, yang merawat dua hingga tiga kes batuk kokol setahun, berkata kes paling serius yang pernah dirawat adalah seorang kanak-kanak berusia empat bulan yang sekarang berada di unit jagaan rapi dengan penyakit radang paru-paru atau pneumonia. Kanak-kanak itu memerlukan jagaan menerusi penggunaan tiub dan alat pengaliran udara.

"Dia tidak bernasib baik kerana tidak divaksin dan mengalami pelbagai masalah perubatan lain yang melengahkan vaksin," kata Dr Liew, yang merupakan pakar alahan pediatrik dan imunologi di Klinik Bayi dan Kanak-Kanak SBCC di Pusat Perubatan Gleneagles.

Kanak-kanak di Singapura divaksin di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan bagi mencegah pertusis.

Bayi diberikan tiga dos asas pada usia tiga, empat dan lima bulan.

Dos rangsangan pula diberikan apabila kanak-kanak mencecah usia 18 bulan dan sekali lagi pada usia 10 dan 11 tahun.

Mengulas mengenai pentingnya vaksin bagi para pekerja jagaan kesihatan, Dr Liew berkata: "Sebagai orang dewasa, imun kita terhadap pertusis dan kuman-kuman lain akan berkurangan mengikut usia. Kebanyakan orang akan menerima dos perangsang pertusis buat kali terakhir pada usia 11 atau 12 tahun. Oleh itu anda mungkin boleh dijangkiti oleh pesakit dan menjangkiti orang lain pula."

Meskipun penyakit itu biasa dalam kalangan orang dewasa, ia tidak serius.

Pakar Perubatan Pernafasan d Hospital Mount Elizabeth, Dr Ong Kian Chung, berkata sukar untuk mengesahkan jangkitan kerana simptom awal sama seperti selesema.

Pada harga $500, ujian swab boleh dijalankan bagi mengesahkan batuk kokol. Namun kosnya itu agak mahal.

BATUK BEGITU TERUK SEHINGGA TULANG RUSUK RETAK

Sekalipun begitu, kes-kes batuk kokol boleh berlarutan sehingga tiga bulan.

Sesetengah pesakit Dr Ong batuk dengan begitu teruk sehingga tulang rusuk mereka retak, mengalami masalah mengawal pembuangan air kencing dan terpaksa cuti sakit sehingga tiga bulan.

Rawatannya pula termasuk antibiotik dan ubat-ubatan yang mengurangkan batuk selepas tempoh jangkitan, kata Dr Ong.

Selain pekerja jagaan kesihatan, MOH juga menyarankan agar wanita hamil antara 16 dengan 32 minggu mendapatkan vaksin Tdap. Ini bagi melindungi bayi mereka selepas dilahirkan.

MOH menasihati wanita hamil supaya merujuk kepada pakar sakit puan berhubung keperluan vaksin mereka. 

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan