Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH siasat kes budak lelaki 16 tahun alami serangan jantung 6 hari selepas dos pertama vaksin COVID-19

Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (5 Jul) menyatakan ia sedang menyiasat satu kes melibatkan seorang budak lelaki 16 tahun yang mengalami serangan jantung enam hari selepas menerima suntikan pertama vaksin COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
MOH siasat kes budak lelaki 16 tahun alami serangan jantung 6 hari selepas dos pertama vaksin COVID-19

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 05 Jul 2021 07:08PM Dikemas Kini : 06 Jul 2021 12:13AM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (5 Jul) menyatakan ia sedang menyiasat satu kes melibatkan seorang budak lelaki 16 tahun yang mengalami serangan jantung enam hari selepas menerima suntikan pertama vaksin COVID-19.

MOH menyatakan ia dimaklumkan tentang insiden itu pada Sabtu (3 Jul) oleh Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).

Budak itu sedang mengangkat berat di gimnasium sebelum dia rebah di rumah pada 3 Julai.

Dia dirawat di jabatan kecemasan di KTPH dan kemudian dipindahkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) di mana dia berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

MOH menyatakan remaja itu menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty pada 27 Jun. Dia diperiksa oleh kakitangan jagaan kesihatan terlatih dan disahkan layak untuk menerima vaksinasi COVID-19. Selepas tempoh, pemerhatian di pusat vaksinasi selama 30 minit dan didapati berada dalam keadaan baik.

Menurut MOH, remaja itu juga sihat sepanjang lima hari selepas vaksinasi tersebut.

"Sebelum dia rebah pada 3 Julai, dia mengangkat berat di gim. MOH difahamkan bahawa dia berlatih angkat besi yang amat berat melebihi berat badannya," menurut MOH.

“Kami sedang berhubungan dengan pasukan perubatan di NUH yang menyediakan jagaan perubatan rapi bagi pesakit. Diagnosis awal keadaannya menunjukkan ia adalah serangan jantung di luar hospital. Ujian klinikal dan makmal sedang dijalankan untuk menentukan puncanya," tambah MOH.

"Kami juga akan bekerjasama dengan pasukan perubatan di NUH untuk menentukan sama ada ini mungkin dikaitkan dengan vaksinasi COVID-19. Ini termasuk pertimbangan jika terdapat keradangan otot jantung yang menjejas fungsi jantung."

Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi COVID-19 menarik perhatian dalam satu kenyataan berasingan pada Isnin bahawa remaja berusia 16 tahun itu mengalami serangan jantung tidak lama selepas melakukan "sesi angkat berat yang lasak" di gim.

Ia menekankan bahawa mereka yang sudah menerima mana-mana dos vaksin COVID-19 mRNA, khususnya remaja dan lelaki muda, agar mengelakkan sebarang senaman berat atau kegiatan fizikal lasak selama seminggu selepas vaksinasi.

Mereka juga harus segera mendapatkan rawatan perubatan semasa tempoh tersebut sekirinya mengalami sakit dada, sukar bernafas atau degupan jantung luar biasa, menurut jawatankuasa itu. Ia menambah bahawa semua doktor
harus berwaspada terhadap kes klinikal seumpama itu selepas vaksinasi.

Panduan ini disediakan di tengah-tengah "data yang muncul mengenai risiko kecil miokarditis dan perikarditis" yang diperhatikan berlaku selepas vaksinasi menggunakan vaksin COVID-19 mRNA, tambah jawatankuasa itu.  

Sumber : CNA/FZ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan