Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH, SFA siasat kenaikan demam kepialu di S'pura

Pihak berkuasa sedang menyiasat punca penularan demam kepialu, atau tifoid, yang berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
MOH, SFA siasat kenaikan demam kepialu di S'pura

(Gambar hiasan: Semevent/Pixabay)

Diterbitkan : 18 Aug 2019 02:14PM Dikemas Kini : 18 Aug 2019 02:19PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang menyiasat punca penularan demam kepialu, atau tifoid, yang berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Sehingga 16 Ogos, Kementerian Kesihatan (MOH) sudahpun dimaklumkan mengenai 18 kes demam kepialu di Singapura.

Para pesakit mengalami tanda-tanda demam itu antara 13 Julai hingga 4 Ogos, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Agensi Makanan Singapura (SFA) dan MOH hari ini (18 Ogos).

SFA dan MOH menyatakan kesemua 18 pesakit sudah dimasukkan ke hospital memandangkan diagnosis bagi demam kepialu biasanya dilakukan di hospital.

Mereka yang terjejas kini berada dalam keadaan stabil, dengan 14 daripada mereka sudahpun dibenarkan pulang ke rumah.

Sebagai sebahagian daripada siasatan, mereka yang terjejas akan ditemu bual. Pemeriksaan juga akan dijalankan terhadap tempat-tempat di mana mereka mendapatkan makanan.

Anggota keluarga para pesakit juga sudah diperiksa atau dinasihati supaya mendapatkan rawatan perubatan jika mereka mengalami tanda-tanda demam itu, menurut pihak berkuasa.

"Semua kes demam kepialu melibatkan para pengendali makanan tidak akan dibenarkan bekerja sehingga mereka sembuh sepenuhnya.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, MOH sudah memaklumkan para doktor supaya terus berwaspada dan melaporkan kes-kes demam kepialu," menurutnya lagi.

APAKAH ITU DEMAM KEPIALU?

Demam kepialu, atau tifoid, adalah sejenis jangkitan bakteria yang disebabkan oleh Salmonella typhi.

Ia boleh menular apabila seseorang itu mengambil makanan atau minuman yang tercemar dengan najis dan air kencing seseorang yang mempunyai jangkitan tersebut ataupun membawa bakteria tersebut.

Makanan yang mungkin dicemari bakteria itu termasuk makanan mentah atau makanan yang siap dimakan seperti susu mentah, makanan laut, serta buah-buahan dan sayur-sayuran.

Mereka yang dijangkiti tifoid biasanya mengalami demam yang berlarutan. Tanda-tanda lain termasuk pening kepala, sakit otot, muntah-muntah, cirit birit atau masalah sembelit.

Demam kepialu boleh dirawat dengan antibiotik dan mereka yang mengalami demam yang berpanjangan dinasihati supaya berjumpa doktor.

Kunci bagi mencegah jangkitan itu adalah dengan mencuci tangan serta menguruskan, memasak dan makan makanan dengan selamat, menurut pihak berkuasa lagi. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan