Images
  • pregnant woman zika 1 sep 2016
    Seorang wanita hamil berjalan di kawasan yang berpotensi menjadi kelompok Zika di Singapura. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)

MOH: Semua bayi dari ibu yang dijangkiti Zika akan dipantau hingga usia 3 tahun

SINGAPURA: Semua bayi di negara ini yang dilahirkan oleh wanita-wanita yang dijangkiti virus Zika semasa mereka hamil, akan dipantau sehingga bayi-bayi itu berusia tiga tahun.

Kementerian Kesihatan (MOH) memberitahu Mediacorp, langkah itu merupakan sebahagian daripada program pengawasan nasional bagi memantau perkembangan bayi-bayi tersebut.

Sehingga kini, tiada kes bayi mikrosefali yang dikaitkan dengan jangkitan virus Zika di negara ini. Namun kebimbangan tentang gejala itu tetap ada.

Bayi-bayi mikrosefali mempunyai kepala serta otak lebih kecil dan ini akan menimbulkan masalah besar dalam proses pembesaran mereka.

Sehingga 21 Disember, 17 wanita hamil di negara ini disahkan dijangkiti virus Zika.

SEORANG WANITA GUGUR, 2 WANITA GUGURKAN KANDUNGAN 

Tiga daripada mereka sudah bersalin dan anak-anak mereka tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami mikrosefali. Doktor-doktor para wanita itu terus memantau teliti keadaan mereka serta tiga bayi berkenaan.

Seorang daripada wanita tersebut mengalami keguguran tetapi ia tiada kaitan dengan Zika. Dua wanita pula sudah menggugurkan kandungan mereka, namun tiada bukti menunjukkan janin-janin mereka dijangkiti Zika.

AKAN AWASI JIKA ADA CIRI AUTISME, SINDROM ASPERGERS

Seorang pakar kesihatan berkata sepanjang pantauan selama tiga tahun, pakar-pakar akan mengawasi andainya ada ciri-ciri Autisme atau Sindrom Aspergers pada bayi-bayi yang berkenaan.

Memandangkan masih kurangnya pengetahuan tentang virus Zika, beliau menyarankan agar tempoh tiga tahun diperpanjang kepada enam atau malah 20 tahun. Para ibu bapa juga perlu terus memantau keadaan bayi mereka.

Pakar Penyakit Berjangkit di Hospital Mount Elizabeth Novena, Dr Leong Hoe Nam berkata: "Antara perkara yang perlu diperhatikan adalah bila masanya bayi berkenaan menguasai pergerakan tubuh mereka, bila dia boleh berdiri dan bila dia boleh bangun sendiri."

Beliau menambah: "Terbaru, para penyelidik mendapati virus Zika boleh mengakibatkan glaukoma pada bayi yang terdedah sewaktu dalam rahim. Ia juga dikaitkan dengan kehilangan pendengaran, masalah penglihatan dan pertumbuhan yang terencat. Kesan sepenuhnya Zika masih dikaji.

"Apa yang masih belum jelas pada tahap ini, adalah sama ada bayi yang tidak menunjukkan kesan awal kecacatan sewaktu lahir, akan membangun kecacatan pada kemudian hari."

MOH menyatakan jumlah kes Zika di negara ini akan kekal rendah.

Namun MOH menasihati rakyat supaya terus berwaspada terhadap jangkitan Zika selagi ada nyamuk Aedes di negara ini yang menjadi penyebar virus tersebut.  

- CNA/nd

Top