Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH sedang semak proses COVID-19 agar lebih inklusif bagi golongan berkeperluan khas

Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menyemak proses dan aturan COVID-19 agar lebih inklusif bagi golongan yang berkeperluan khas, kata Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam pada Rabu (9 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Jun 2021 02:25PM Dikemas Kini : 09 Jun 2021 09:10PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) sedang menyemak proses dan aturan COVID-19 agar lebih inklusif bagi golongan yang berkeperluan khas, kata Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam pada Rabu (9 Jun).

Kementerian itu juga sedang berusaha untuk melibatkan orang-orang yang dilatih untuk bekerja dengan mereka yang berkeperluan khas, katanya dalam catatan Facebook pada tengah malam.

"Rakan kerja saya di MOH akan berusaha memperbaiki proses kami," kata beliau.

Catatan Cik Rahayu ditulis sehari selepas anggota keluarga seorang individu berkeperluan khas berkongsi di Facebook tentang masalah yang dihadapi oleh saudara lelakinya semasa proses ujian swab dan kuarantin.

APA YANG BERLAKU

Cik Amylia Koh menceritakan pengalamannya setelah saudara lelakinya, yang mempunyai kekurangan daya intelektual dan bergantung kepada keluarganya untuk menjaganya, dikenakan arahan kuarantin.

Lelaki itu adalah klien di MINDSville@Napiri, yang kini merupakan sebuah kelompok jangkitan aktif. Setakat Selasa, 33 orang dari rumah jagaan bagi orang kurang daya intelektual dan perkembangan, disahkan dijangkiti COVID-19.

Cik Koh, yang berkata bahawa dia menulis catatan itu sebagai seorang "penjaga yang kecewa", memberitahu bahawa setelah permintaan untuk menjalani kuarantin di rumah ditolak, beliau membuat aturan dengan MOH untuk menjaga saudara lelakinya selama dia berada di sebuah kemudahan kuarantin pemerintah.

"Rutin saudara lelaki saya akan berubah, dalam suasana yang asing baginya, berjauhan daripada ibu bapa kami. Orang berkeperluan khas suka dengan rutin dan mungkin tidak dapat menyesuaikan diri akibat perubahan,” katanya.

Namun, pada mulanya dia mempunyai masalah menemani saudaranya.

"Bukan hanya pasukan tidak bersedia menguruskan kes QO (arahan kuarantin) bagi golongan berkeperluan khas, tetapi juga menunjukkan kurangnya belas ihsan dan pemahaman yang teruk apabila penjaga cuba mendidik mereka tentang keadaan kurang upaya dan keperluan khas mereka," katanya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangannya mengenai proses ujian swab, yang menurutnya lebih daripada "menggerunkan" buat saudara lelakinya.

Beliau menambah walaupun beliau merupakan penjaga saudaranya dan "orang yang paling berkemampuan untuk menguruskan saudara saya dan keperluannya, saya diarahkan untuk hanya melihat dari jauh".

"Semua tukang swab bergilir-gilir cuba untuk melakukan ujian swab ke atas saudara saya, yang menjadi semakin marah dan di ambang kelakuan agresif," katanya.

Setengah jam kemudian, "mereka akhirnya mendengar cadangan saya dan membenarkan saya membantu mereka", katanya.

Beliau menambah beliau juga telah menanyakan kemungkinan menggunakan kaedah pengujian alternatif seperti ujian pernafasan baru yang sudah mendapat kelulusan sementara oleh Penguasa Sains Kesihatan.

DAPATKAN ORANG BERPENGALAMAN BAGI BANTU GOLONGAN BERKEPERLUAN KHAS

Menjawab catatan Cik Koh, Cik Rahayu berkata bahawa MOH menerima maklum balasnya dan akan memperbaiki perhubungan silang agensi yang terlibat dalam menguruskan proses kuarantin.

"Kami memahami keprihatinan mereka dan memang sangat dikesali untuk mereka lalui pengalaman seperti itu," kata Cik Rahayu.

"Kami menyedari bahawa proses swab dan kuarantin mungkin lebih mencabar bagi mereka yang berkeperluan khas kerana mereka mungkin tidak selesa dengan orang atau sekitaran yang asing bagi mereka."

Cik Rahayu, yang mempunyai seorang anak berkeperluan khas, berkata bahawa ujian itu perlu dilakukan oleh orang-orang yang terlatih untuk memastikan hasil yang tepat. Namun golongan profesional itu belum dilatih khusus untuk menangani orang-orang berkeperluan khas.

"Kami sedang berusaha untuk melibatkan karyawan yang relevan, dan juga sukarelawan dari Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan, yang dilatih untuk bekerja dengan orang berkeperluan khas," katanya.

Beliau menambah bahawa kementerian itu juga akan meneliti pelbagai maklum balas yang diterima, termasuk mengkaji keberkesanan penggunaan ujian COVID-19 alternatif sambil mengimbangi segala pertimbangan untuk kepantasan, keselesaan dan ketepatan ujian.

Beliau berkata bahawa kuarantin kontak rapat dilakukan bagi pembendungan berkesan kes-kes demi mengekang penularan virus COVID-19 dalam masyarakat.

"Kami memenuhi permintaan penjaga untuk menemani orang yang dikuarantin (PUQ) dengan keadaan tertentu," katanya, merujuk kepada orang-orang yang mungkin lanjut usia, bawah umur atau mereka yang mempunyai keadaan perubatan dan tidak dapat menguruskan diri sendiri.

"Kami telah mengingatkan Certis, ejen kami bagi perintah kuarantin, agar lebih peka dan bersikap belas ihsan ketika berurusan dengan orang-orang berkeperluan khas," katanya.

Cik Rahayu menambah bahawa mereka yang menjalankan operasi di lapangan bekerja keras untuk menguruskan pelbagai kes.

Mereka melakukan yang terbaik dan sering harus terus belajar dan terus perbaiki diri agar dapat menambah baik proses untuk semua, katanya.

"COVID-19 telah menguji kita semua dan kita harus terus mencari cara terbaik untuk membendung pandemik ini, sedang kita terus bersikap belas ihsan dan saling bertimbang rasa," katanya. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan