Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH mohon maaf atas kelengahan, kelemahan berhubung kekeliruan perintah kuarantin COVID-19

Kementerian Kesihatan (MOH) meminta maaf atas kelengahan membawa para individu yang dikenakan perintah kuarantin ke kemudahan-kemudahan pemerintah menyusuli aduan-aduan terhadap proses tersebut dan kekeliruan mengenai maklumat yang diberikan kepada individu-individu yang terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:
MOH mohon maaf atas kelengahan, kelemahan berhubung kekeliruan perintah kuarantin COVID-19

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 03 Aug 2021 04:19PM Dikemas Kini : 03 Aug 2021 04:28PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) meminta maaf atas kelengahan membawa para individu yang dikenakan perintah kuarantin ke kemudahan-kemudahan pemerintah menyusuli aduan-aduan terhadap proses tersebut dan kekeliruan mengenai maklumat yang diberikan kepada individu-individu yang terjejas.

"Kami menerima banyak maklum balas mengenai operasi kuarantin dan kelemahan pada penyelarasan dan komunikasi berkaitan perintah tersebut," tulis MOH dalam satu catatan Facebook pada Selasa (3 Ogos).

"Kami sedang melakukan yang terbaik untuk meningkatkan sumber. Kami memohon maaf yang tulus kepada individu dan keluarga mereka atas kelengahan dan kelemahan itu."

Antara mereka yang terjejas ialah Cik Nur Faeza Agus, yang mengatakan bahawa beliau menerima panggilan daripada MOH pada petang 26 Julai. Beliau diberitahu bahawa beliau perlu dikuarantin kerana terdedah kepada kes COVID-19.

Pada malam itu, beliau dimaklumkan menerusi SMS Kementerian Kesihatan bahawa beliau berada di tempat yang sama dengan kes COVID-19. Namun apabila beliau memeriksa aplikasi TraceTogether, tiada makluman mengenai pendedahan seumpama itu.

Tunangnya juga tidak mendapat sebarang makluman sedemikian. Mereka berdua menggunakan pilihan daftar masuk secara berkumpulan pada hari tersebut.

"MOH tidak dapat menjawab pertanyaan saya mengenai perkara itu. Mereka mengatakan ia mungkin satu kesilapan, ”kata Cik Faeza, sambil menambah bahawa beliau sudahpun mengemas begnya setelah menerima kiriman SMS itu.

Keesokan harinya pada sekitar 7.00 pagi, Certis Cisco, yang para pegawainya membantu para petugas barisan hadapan, menelefonnya. Cik Faeza meminta dipindahkan ke kemudahan kuarantin pemerintah.

Pegawai Certis Cisco memberitahu Cik Faeza bahawa seorang lagi pegawai akan menelefonnya dalam masa 48 jam untuk memberinya notis satu atau dua jam sebelum membawanya ke kemudahan pemerintah.

Menurut pegawai itu, ibu bapanya tidak akan dibenarkan meninggalkan rumah sehingga ujian swab pertamanya disahkan negatif.

Itulah permulaan penantiannya selama seminggu untuk dibawa ke kemudahan kuarantin pemerintah.

MENANTI JAWAPAN

Apabila seorang lagi pegawai Certis Cisco menelefonnya pada petang itu, Cik Faeza diberitahu bahawa ibu bapanya sebenarnya boleh pergi ke mana sahaja yang mereka mahukan dan tidak perlu dikuarantin.

"Jadi kekeliruan bermula dari situ. Ini kerana (pegawai) Cisco pertama berkata bahawa mereka perlu dikuarantin sehingga saya mendapat hasil ujian swab pertama saya. Tetapi pegawai kedua pula memberitahu saya bahawa hasil ujian itu tidak diperlukan. Mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu, mereka boleh pergi ke mana sahaja mereka mahu," kata beliau kepada Mediacorp.
Petang itu, seorang pegawai ujian swab tiba dan memberitahu Cik Faeza bahawa beliau akan mendapat hasil ujian PCRnya melalui kiriman SMS.

Pada 28 Jul, MOH menelefonnya sekali lagi untuk bertanya di mana beliau berada.

"Dia kedengaran seperti keliru," kata Cik Faeza. "Dari situ, saya tahu ada yang tidak kena. Saya bertanya kepadanya sama ada terdapat sesuatu yang tidak kena, jika ada kesilapan dan sebagainya. Dia berkata tidak, tidak, tidak, anda hanya perlu tunggu mereka datang. Saya menjawab ya, sudah lebih daripada 48 jam. "

Pada sekitar 6.30 petang, MOH menelefon sekali lagi. Kali ini, mereka ingin tahu tentang perintah kuarantin, kata Cik Faeza, kerana mungkin berlaku "penindihan". Menurut pegawai itu, Cik Faeza mungkin berada di dua tempat yang berbeza dengan kes-kes lain yang disahkan.

Tiada sebarang kemas kini sehingga 31 Jul apabila MOH memberitahunya bahawa ujian swab keduanya akan dilakukan pada 2 Ogos. Beliau kemudian dibawa ke sebuah hotel untuk menjalani baki tempoh kuarantinnya.

Cik Faeza menjalani ujian swab pada pagi 2 Ogos dan menamatkan tempoh kuarantin pada keesokan harinya.

ADA IBU BAPA RISAU

Pengalaman serupa mengenai kelengahan dan kekeliruan seperti itu dikongsi di laman Facebook 'Complaint Singapore'.

Seorang pengguna, yang hanya ingin dikenali sebagai Ayu, berkata bahawa dia dimaklumkan pada 25 Jul bahawa anaknya yang berusia enam bulan akan dikuarantin kerana seorang kanak-kanak lain di pusat jagaan bayi yang sama disahkan positif COVID-19.

MOH menelefonnya pada 27 Julai untuk memaklumkan perintah kuarantin itu. Beliau bertanya sama ada seluruh keluarganya boleh menjalani perintah kuarantin di rumah, tetapi kakitangan itu sebaliknya memberitahunya bahawa keputusan tersebut bergantung kepada pihak Certis Cisco untuk menentukannya.

Pada 28 Jul, pegawai ujian swab MOH tiba. Namun masih belum ada sebarang panggilan atau kunjungan dari Certis Cisco, walaupun beliau dimaklumkan bahawa mereka akan menghubunginya dalam masa 48 jam.

"Membawa bayi ke mana-mana saja pasti memerlukan banyak barang-barang penting. Mereka seperti tidak tahu betapa risaunya kami apabila dikenakan QO (perintah kuarantin) dan tidak mengetahui sama ada kami boleh duduk di rumah untuk menjalaninya atau perlu mengemas dan pergi ke kemudahan itu," katanya.

Setakat sehingga 30 Jul, beliau masih belum menerima sebarang dokumen rasmi daripada MOH atau Certis. Dokumen sedemikian diperlukan kerana anaknya memerlukan dokumen seumpama itu untuk diberikan kepada pihak sekolah.

SELESAIKAN KES TERTUNGGAK

Dalam catatannya di Facebook bagi memohon maaf atas kelengahan itu, MOH menyatakan bahawa jumlah individu yang dikuarantin melonjak "berlipat ganda", ekoran kelompok jangkitan KTV, Pelabuhan Perikanan Jurong dan kelompok-kelompok kecil yang lain.

"Lonjakan ini melengahkan penghantaran sebilangan individu ke kemudahan-kemudahan kuarantin pemerintah," jelas kementerian itu. "Kakitangan operasi kami telah bekerja keras untuk menangani peningkatan pada jumlah kes jangkitan."

MOH menambah bahawa pihaknya sudah berjaya menyelesaikan sebahagian besar tunggakan pada hujung minggu lalu dan situasi "dijangka lebih terkawal".

Setakat sehingga Selasa, sekitar 20,000 individu dikuarantin.

Dalam jawapan bertulis bagi soalan di Parlimen pada Isnin, MOH menyatakan bahawa tempoh purata yang diambil untuk mengeluarkan perintah kuarantin dari tempoh kes dimaklumkan adalah dua hari, dengan selang masa paling lama adalah 14 hari.

"Ini berlaku pada sebilangan kecil individu, di mana sangat sukar untuk mengesan kontak yang terjangkit," jelas MOH.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan