Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH longgarkan garis panduan vaksinasi; golongan berbilang alahan kini boleh terima vaksin

Kementerian Kesihatan (MOH) melonggarkan saranan vaksinasi COVID-19 bagi golongan-golongan tertentu, termasuk mereka yang mengalami berbilang alahan yang bukan bersifat serius (anafilaksis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Mar 2021 08:41AM Dikemas Kini : 16 Mar 2021 11:48PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) melonggarkan saranan vaksinasi COVID-19 bagi golongan-golongan tertentu, termasuk mereka yang mengalami berbilang alahan yang bukan bersifat serius (anafilaksis).

Kementerian itu sebelum ini menasihati mereka yang pernah mempunyai sejarah berbilang alahan supaya menangguhkan daripada mendapatkan vaksin berasaskan mRNA.

Bukti baru menunjukkan bahawa para individu ini boleh diberikan vaksin selagi mereka tidak mengalami tanda-tanda mengancam nyawa atau simptom yang menunjukkan tindak balas serius, menurut MOH dalam garis panduan mengenai vaksinasi yang dikemas kini pada Sabtu (13 Mac).

"Tahap serius alahan, dan bukan jumlah alahan menentukan jika seseorang itu boleh diberi vaksin," menurut MOH.

Kedua-dua vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna yang diluluskan di Singapura sejauh ini - adalah vaksin COVID-19 yang berasaskan mRNA.

Anafilaksis adalah tindak balas serius yang mengancam nyawa dengan dua atau lebih daripada tiga kriteria berikut:

- Gatal-gatal atau bengkak pada mata/kelopak mata/bibir/tekak

- Kesukaran untuk bernafas

- Pening

Sesiapa yang pernah diberikan Epi-Pen oleh doktor menunjukkan risiko anafilaksis dan tidak seharusnya mendapatkan vaksin buat masa ini, menurut MOH.

Sesiapa yang mempunyai sejarah anafilaksis dalam keluarga tetapi bukan dirinya sendiri boleh meneruskan dengan vaksinasi.

Mereka yang pernah mengalami alahan terhadap vaksin-vaksin lain mungkin mengalami alahan terhadap komponen vaksin tertentu yang mungkin terdapat dalam satu suntikan vaksin COVID-19.

PESAKIT BARAH

MOH juga mengemas kini garis panduan vaksinasi COVID-19 untuk termasuk mereka yang mempunyai barah aktif sebagai penerima vaksinasi.

Ini selagi mereka belum menjalani rawatan kemoterapi, radioterapi atau imunoterapi sepanjang tiga bulan lalu dan tidak merancang untuk menjalani rawatan-rawatan itu dalam dua bulan seterusnya.

Selain itu, pesakit yang sudah sembuh daripada barah boleh menerima vaksin seperti juga mereka yang sedang menjalani terapi hormon barah.

Kaum wanita yang sedang memberi susu badan juga boleh mendapatkan vaksin tetapi mereka boleh mempertimbangkan untuk henti melakukannya untuk lima hingga tujuh hari setelah menerima vaksin, menurut MOH.

Mereka yang sudah sembuh daripada COVID-19 - dan belum selesai vaksinasi - boleh menerima satu dos suntikan vaksin, sejajar dengan garis panduan yang disemak.

"Ini terpakai ke atas mereka yang sudah sembuh yang belum menerima vaksin dan mereka yang sudah pulih yang telah menerima satu dos vaksin sebelum dijangkiti," menurut MOH.

"Terdapat bukti yang menunjukkan satu suntikan dos vaksin boleh mempertingkatkan daya kekebalan tubuh terhadap COVID-19 pada mereka yang sudah pulih daripada jangkitan COVID-19."

Mereka yang mempunyai alahan kepada salah satu vaksin mRNA dan tidak dapat menerima dos kedua "mungkin mempunyai alternatif sesuai di masa hadapan", menurut MOH.

Sesiapa yang merasakan bahawa mereka mungkin mempunyai sistem daya tahan tubuh yang lemah dan tidak sesuai untuk menerima vaksin berasaskan mRNA harus membincangkan hal itu bersama doktor mereka.

Para individu akan dinilai di tempat-tempat vaksinasi berhubung kesesuaian mereka untuk mendapatkan vaksinasi, menurut MOH.

Singapura sedang menanti kelulusan bagi penggunaan vaksin ketiga, iaitu vaksin COVID-19 satu suntikan yang dicipta oleh syarikat Sinovac Bioteech dari China.

Tidak seperti dua vaksin yang sudah diluluskan di sini, vaksin Sinovac menggunakan teknologi vaksin tidak diaktifkan, yang menggunakan zarah virus yang dibunuh untuk merangsang tubuh kita bagi menghasilkan tindak balas imun. Vaksin ini serupa dengan vaksin selesema.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan