Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH: Lebih 360 jangkitan HIV dikesan antara Jan-Okt tahun ini

Terdapat 361 kes baru jangkitan virus HIV yang dilaporkan dalam kalangan rakyat Singapura dan penduduk tetap pada 10 bulan pertama tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
MOH: Lebih 360 jangkitan HIV dikesan antara Jan-Okt tahun ini

Gambar hiasan. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 01 Dec 2017 04:55PM Dikemas Kini : 01 Dec 2017 04:58PM

SINGAPURA: Terdapat 361 kes baru jangkitan virus HIV yang dilaporkan dalam kalangan rakyat Singapura dan penduduk tetap pada 10 bulan pertama tahun ini.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (1 Dis) dan menggesa golongan yang berisiko tinggi untuk menjalani ujian.

Dalam kenyataannya itu, kementerian tersebut menyatakan ia membuat analisis terhadap 194 kes yang dilaporkan antara Januari dan Jun tahun ini. Daripada jumlah kes tersebut, 96 peratus jangkitan adalah daripada kaum lelaki dan hampir separuh (46 peratus) berusia antara 20 hingga 39 tahun.

Sekitar 42 peratus dari jumlah tersebut menghidap jangkitan HIV tahap akhir semasa didiagnosis - naik sedikit daripada 38 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Hubungan seks kekal sebagai cara utama HIV dijangkiti, menyumbang kepada 97 peratus kes yang dilaporkan antara Januari dengan Jun. Hubungan seks lelaki wanita merupakan cara jangkitan bagi 34 kes tersebut. Sementara itu, hubungan seks sejenis, atau homoseksual menyumbang kepada 53 peratus jangkitan, dan 10 peratus merupakan jangkitan daripada hubungan dwiseksual.

Daripada kes-kes yang dilaporkan pada 10 bulan pertama tahun ini, sekitar 43 peratus kes dikesan semasa ujian HIV dijalankan semasa rawatan perubatan. 28 peratus kes dikesan menerusi program ujian HIV secara rutin manakala 25 peratus dikesan menerusi ujian HIV secara suka rela. Yang lainnya dikesan menerusi cara ujian yang lain.

MOH membawa perhatian bahawa lebih ramai golongan homoseksual dan dwiseksual (32 peratus) yang dikesan jangkitannya menerusi ujian secara suka rela, berbanding heteroseksual (14 peratus).

Sejak tiga tahun lalu, jumlah kes HIV/AIDS yang dilaporkan semakin merosot. Terdapat 456 kes pada 2014, 455 kes pada 2015 dan 408 kes tahun lalu.

Kementerian itu turut menekankan bahawa cara yang terbaik untuk menghindari jangkitan HIV adalah untuk setia kepada pasangan dan mengelakkan hubungan seks secara rambang dan hubungan seks dengan pelacur. Mereka yang berisiko tinggi digesa untuk menggunakan kondom untuk merendahkan risiko jangkitan HIV, tambah MOH.

"MOH dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) menggesa individu-individu yang berisiko dijangkiti HIV untuk selalu menjalani ujian. Ujian HIV yang kerap boleh membantu mendiagnosis individu yang terjangkit untuk mendapatkan penjagaan dan rawatan awal," menurut kementerian itu.

"Diagnosis awal membolehkan rawatan awal dan penjagaan, dan akan memberikan peluang kepada mereka yang terjangkut untuk belajar melindungi pasangan mereka daripada terjangkit." Dengan rawatan awal, mereka yang hidup dengan HIV boleh menangguhkan jangkitan AIDS dan terus hidup secara aktif, menurut kementerian itu lagi.

Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan Dr Amy Kor mengatakan dalam kenyataan tersebut bahawa mereka yang dijangkiti HIV terus berdepan dengan stigma dan diskriminasi pada pelbagai sudut kehidupan mereka.

"Ramai yang didiagnosis semasa usia pekerjaan mereka, dan mereka merasakan bahawa mereka akan dipulaukan atau hilang pekerjaan mereka jika majikan tahu mengenai diagnosis HIV mereka," kata beliau. "Memastikan akses yang sama rata kepada pekerjaan dan peluang pekerjaan adalah penting dalan usaha membanteras HIV."

Beliau turut menambah bahawa Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF), HPB dan Hospital Tan Tock Seng akan melancarkan panduan bagi HIV di tempat kerja. "Saya menggesa semua majikan untuk bekerjasama bersama kami," katanya. "Persekitaran yang saling sokong menyokong amat penting bagi menangani stigma dan diskriminasi di tempat kerja." 

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan