Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH: Dumex Mamil Gold yang ditarik balik AVA digunakan di KKH, NUH

Susu tepung daripada kumpulan Dumex Mamil Gold Infant Milk Formula - Step 1 yang tercemar dengan bakteria, digunakan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan Hospital Universiti Nasional (NUH), menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya pada Selasa (21 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
MOH: Dumex Mamil Gold yang ditarik balik AVA digunakan di KKH, NUH

(Gambar: AVA)

Diterbitkan : 21 Aug 2018 10:25PM Dikemas Kini : 21 Aug 2018 10:28PM

SINGAPURA: Susu tepung daripada kumpulan Dumex Mamil Gold Infant Milk Formula - Step 1 yang tercemar dengan bakteria, digunakan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan Hospital Universiti Nasional (NUH), menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya pada Selasa (21 Ogos).

Bayi-bayi yang berusia kurang enam bulan yang dimasukkan ke KKH dan NUH antara 1 dengan 20 Ogos tahun ini mungkin meminum susu tepung yang terjejas itu, tambah MOH.

Kedua-dua hospital sedang menghubungi para ibu bapa dan pengasuh yang mungkin diberikan susu tepung tersebut untuk memberikan nasihat berhubung tindakan yang perlu diambil, dedah MOH.

"MOH menasihati semua wad pediatrik di hospital awam dan privet supaya berhenti menggunakan produk yang terjejas dan memaklumkan MOH jika mengesyaki terdapat kes-kes sedemikian. Kami sedang memantau keadaan dengan teliti," menurut MOH.

Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) pada Isnin menyatakan bahawa ia sudah mengarahkan produk yang terjejas ditarik balik. Sampel-sampel produk yang dikesan mengandungi Cronobacter sakazakii.

Produk-produk yang terjejas adalah dari kumpulan 09117R1, dengan tarikh tamat tempoh sehingga 11 September 2019. Menurut AVA, produk-produk itu dihasilkan di Malaysia.

Para ibu bapa dan pengasuh bayi yang sudah meminum susu tepung yang terjejas harus segera mendapatkan rawatan perubatan jika anak mereka jatuh sakit.

Berikut adalah kenyataan dari MOH:

Kementerian Kesihatan (MOH) dimaklumkan pada 21 Ogos 2018 bahawa susu tepung dari Dumex Mamil Gold Infant Milk Formula - Step 1 dikesan mengandungi bakteria Cronobacter sakazakii yang digunakan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan Hospital Universiti Nasional (NUH).

Bayi-bayi berusia kurang enam bulan yang dimasukkan ke KKH dan NUH antara 1 dengan 20 Ogos 2018 mungkin meminum susu tepung yang terjejas. KKH dan NUH sedang menghubungi ibu bapa dan pengasuh pesakit yang mungkin diberikan susu tepung berkenaan bagi menasihati mereka mengenai tindakan yang perlu diambil.

MOH menasihati semua hospital pediatrik awam dan privet supaya berhenti menggunakan produk yang terjejas dan memaklumkan MOH mengenai kes-kes sedemikian. Kami sedang memantau keadaan dengan teliti.

Tiada kes jangkitan Cronobacter sakazakii yang dikaitkan dengan penggunaan susu tepung dilaporkan kepada MOH pada tahun ini.

Para ibu bapa dan pengasuh bayi yang sudah meminum susu tepung yang terjejas (Dumex Mamil Gold Infant Milk Formula - Step 1 (850g), nombor kumpulan 09117R1, dengan tarikh tamat tempoh 11 September 2019) harus mendapatkan rawatan perubatan jika anak mereka tidak sihat.

Sumber : CNA/AW/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan