Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH: 265 kes baru HIV dilaporkan antara Jan-Okt di S'pura

265 kes baru jangkitan HIV dilaporkan dalam kalangan rakyat Singapura dan penduduk tetapnya bagi 10 bulan pertama tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan hari ini (1 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Dec 2018 06:37PM Dikemas Kini : 01 Dec 2018 09:17PM

SINGAPURA: 265 kes baru jangkitan HIV dilaporkan dalam kalangan rakyat Singapura dan penduduk tetapnya bagi 10 bulan pertama tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan hari ini (1 Dis).

Daripada jumlah itu, MOH menganalisis 156 kes antara Januari hingga Jun, dan mendapati 90 peratus yang dijangkiti merupakan golongan lelaki.

Hampir separuh (46 peratus) berusia antara 40 hingga 59 tahun, sementara 40 peratus berusia antara 20 hingga 39 tahun.

Sekitar 53 peratus sudah berada dalam peringkat akhir ketika mendapat tahu terkena HIV, menurut MOH. Perangkaan itu lebih tinggi berbanding 42 peratus yang dicatat bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam kenyataan medianya, MOH menyatakan semua pesakit terkena jangkitan HIV melalui hubungan seks.

Kementerian itu menarik perhatian bahawa 45 peratus kes melibatkan pesakit yang melakukan hubungan heteroseksual, 43 peratus yang melakukan seks sejenis (homoseksual) dan 12 peratus bagi hubungan dwiseksual.

KUMPULAN-KUMPULAN BERISIKO DIGESA PERIKSA KESIHATAN

Bagi kes-kes baru yang dilaporkan, sekitar 57 peratus dikesan semasa ujian HIV dijalankan semasa rawatan perubatan, menurut MOH.

"Lagi 22 peratus dikesan menerusi program ujian HIV secara rutin, sementara 17 peratus dikesan menerusi ujian HIV secara sukarela," tambah kementerian itu.

Selebihnya dikesan melalui pemeriksaan kesihatan lain seperti pemeriksaan kesihatan bagi pekerjaan atau insurans.

MOH menyatakan bahawa kadar golongan homoseksual atau dwiseksual, yang mendapat tahu tentang jangkitan mereka melalui pemeriksaan secara sukarela, lebih tinggi (25 peratus) berbanding heteroseksual (9 peratus).

Kementerian itu menggesa para individu yang berisiko terkena jangkitan HIV supaya selalu menjalani ujian kerana ia boleh membantu mendiagnosis individu yang terjangkit dari peringkat awal.

"Diagnosis awal membolehkan rawatan dan penjagaan awal, dan ia menyediakan peluang bagi mereka yang terjangkit untuk mempelajari tentang bagaimana mereka boleh melindungi pasangan mereka daripada terkena jangkitan," menurut MOH.

"Dengan rawatan awal yang berkesan, mereka yang hidup dengan HIV tidak akan cepat terkena Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), di mana prosesnya boleh tertangguh sehingga bertahun-tahun. Pesakit boleh terus menjalani kehidupan aktif dan produktif."

MOH menyatakan bahawa cara paling berkesan untuk mencegah jangkitan HIV adalah dengan kekal setia kepada pasangan masing-masing, di samping mengelak daripada melakukan hubungan seks dengan para pekerja seks.

Mereka yang berisiko tinggi terkena jangkitan HIV, kerana mempunyai beberapa pasangan seks atau sering melakukan seks secara rambang, dinasihati supaya menggunakan kondom bagi mengurangkan risiko jangkitan HIV atau jangkitan lain melalui hubungan seks, tambah MOH.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan