Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE umum nama maktab rendah yang digabungkan

Nama empat pasang maktab rendah (JC) yang bakal digabungkan pada 2019 akan mencerminkan sejarah dan warisannya. Demikian menurut Kementerian Pendidikan hari ini (11 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Jan 2018 05:31PM Dikemas Kini : 12 Jan 2018 12:38AM

SINGAPURA: Nama empat pasang maktab rendah (JC) yang bakal digabungkan pada 2019 akan mencerminkan sejarah dan warisannya. Demikian menurut Kementerian Pendidikan hari ini (11 Jan).

Sekolah-sekolah tersebut akan dinamakan Maktab Rendah Anderson Serangoon, Maktab Rendah Yishun Innova. Maktab Rendah Tampines Meridian dan Maktab Rendah Jurong Pioneer.

MOE menyatakan bahawa maktab-maktab tersebut akan menggabungkan nama asal "bagi mencerminkan sejarah dan warisan sekolah" dengan nama maktab yang lebih lama digunakan dahulu. Antara faktor lain termasuk keperluan pihak-pihak berkepentingan dan sentimen maktab-maktab berkenaan.

"Sejak empat hingga lima bulan lalu, pengetua-pengetua maktab rendah sudah mendampingi pelbagai pihak berkepentingan melalui berbagai-bagai cara, dan antara isu yang dibincangkan merupakan nama maktab," kata Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sekolah) Liew Wei Li.

Beliau menarik perhatian beberapa pilihan yang dibentangkan dalam perbincangan itu: Untuk mengekalkan salah satu nama berkenaan, untuk mengeluarkan nama yang baru, atau untuk menggabungkan nama maktab-maktab tersebut. Nama yang digabungkan, menutrutnya, dipilih kerana pihak berkepentingan lain tidak dapat memberi kata putus.

"Nama yang digabungkan akan menjadi berguna dalam kes ini kerana kami rasa ia mampu memberi mereka kedudukan yang baik untuk maju sebagai entiti gabungan bagi menyatukan kekuatan masing-masing."

Menurut MOE, pengetua-pengetua maktab rendah juga mengadakan sesi pendampingan dengan Jawatankuasa Penasihat Kolej, para kakitangan dan persatuan alumni tentang gabungan maktab mereka, termasuk meneroka pelbagai cara menamakan maktab apabila digabungkan.

Gabungan lapan maktab rendah pertama kali diumumkan oleh MOE pada April 2017. Ia menyusuli kadar kelahiran yang semakin berkurangan di Singapura selain kemerosotan jumlah kemasukan pelajar ke maktab rendah sejak 2014. Ini merupakan pertama kali maktab rendah di Singapura digabungkan.

Sebenarnya, nama yang digabungkan pernah digunakan. Misalnya, Sekolah Menengah Loyang dan Sekolah Menengah Greenview, yang digabungkan tahun ini, dinamakan Sekolah Menengah Loyang View. Gabungan nama Inggeris-Cina juga digunakan bagi Sekolah Menengah Yio Chu Kang dan Sekolah Menengah Chong Boon, di mana sekolah yang digabungkan kini dinamakan Sekolah Menengah Yio Chu Kang dalam bahasa Inggeris, tetapi dalam bahasa Cina, ia dikenali sebagai Sekolah Menengah Chong Boon.

"Kami sudah timbangkan beberapa pilihan sebelum ini," kata Cik Liew. "Walau bagaimanapun bagi pelajar lebih muda, kami harus ingat bahawa nama yang panjang susah buat mereka."

"Jadi kami harus mempertimbangkan banyak perkara ketika menggabungkan nama-nama maktab itu."

PENGETUA JC YANG DIGABUNGKAN SUDAH DILANTIK

Menurut MOE, pengetua maktab yang digabungkan juga sudah dilantik. Ia juga bagi menyediakan lebih banyak sokongan dan kestabilan semasa melalui proses peralihan. Mereka yang dilantik seperti berikut:

- Pengetua Maktab Rendah Serangoon yang sekarang, Encik Manogaran Suppiah akan menjadi pengetua Maktab Rendah Anderson Serangoon,

- Pengetua Maktab Rendah Innova yang sekarang, Encik Michael Nelson De Silva akan menjadi pengetua Yishun Innova

- Pengetua Maktab Rendah Tampines yang sekarang, Cik Yoong Nyok Ke Pamela akan menjadi pengetua Maktab Rendah Tampines Meridian, sementara

- Pengetua Maktab Rendah Jurong yang sekarang, Dr Hang Kim Hoo akan menjadi pengetua Maktab Rendah Jurong Pioneer.

Mereka akan mula menyandang jawatan masing-masing bermula hari ini (11 Jan), dan akan menjadi pengetua maktab rendah yang digabungkan.

MOE juga memberitahu Mediacorp bahawa ia sedang menimbangkan rancangan untuk menyusun semula empat pengetua maktab rendah yang terjejas. Buat sementara waktu, mereka akan bekerjasama dengan bakal Pengetua baru untuk menyelaraskan dan merancang penggabungan maktab-maktab itu.

Sekitar 260 guru daripada maktab rendah yang terjejas akan menjalani penyusunan semula pada 2018 dan 2019. Kebanyakan mereka akan ditugaskan ke sekolah lain pada Januari, sementara yang lain akan dikerahkan semula ke ibu pejabat MOE atau terus bersama maktab rendah yang digabungkan. "Mereka yang ditugaskan di sekolah yang digabungkan akan mula bertugas pada 2019," menurut MOE.

SEKOLAH BOLEH PUTUSKAN ISU LAIN SEPERTI UNIFORM, LENCANA DAN MOTO SEKOLAH

Menurut Cik Liew, maktab rendah yang terjejas boleh menentukan sendiri elemen-elemen seperti uniform maktab dan lencana maktab rendah pada 2018.

"Semua elemen ini lambang yang penting bagi maktab-maktab ini kerana ia membentuk identiti mereka," kata beliau. "Jadi kami ingin menyerahkan semua ini kepada maktab-maktab untuk membuat keputusan."

Maktab-maktab tersebut sudah pun mula bekerjasama meskipun hanya akan digabungkan tahun depan.

Bagi Maktab Rendah Jurong Pioneer, kedua-dua maktab ini akan bekerjasama untuk menghasilkan uniform sementara buat tahun 2018 yang menyepadukan lambang kedua-dua maktab. Satu 'tembok warisan' juga dibina di premis Maktab Rendah Pioneer untuk memaparkan artifak-artifak utama dan memorabilia sekolah.

Bagi Maktab Rendah Anderson Serangoon pula, kakitangan dan pelajar dari kedua-dua maktab sudah bersatu sejak Ogos 2017 untuk menghasilkan konsep dan butiran program rumah terbuka mereka yang akan diadakan tahun ini. Hari Pembelajaran Kakitangan juga akan diadakan pada awal 2018, bagi menggalak hubungan lebih kukuh antara kakitangan kedua-dua maktab itu.  

Sumber : CNA/AQ/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan