Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE semak semula pertandingan Sukan Sekolah Kebangsaan bagi pelajar sekolah rendah

Menteri Pendidikan (Sekolah) Ng Chee Meng mengumumkan hari ini (24 Jan) bahawa pertandingan sukan sekolah rendah peringkat kebangsaan akan dirombak bagi menghakis salah tanggap terhadap sukan dan meningkatkan peluang mengambil bahagian dalam sukan.

Anggaran Waktu Membaca:
MOE semak semula pertandingan Sukan Sekolah Kebangsaan bagi pelajar sekolah rendah

(Gambar: Koh Mui Fong/ TODAY).

Diterbitkan : 25 Jan 2018 11:45AM Dikemas Kini : 25 Jan 2018 11:48AM

SINGAPURA: Menteri Pendidikan (Sekolah) Ng Chee Meng mengumumkan hari ini (24 Jan) bahawa pertandingan sukan sekolah rendah peringkat kebangsaan akan dirombak bagi menghakis salah tanggap terhadap sukan dan meningkatkan peluang mengambil bahagian dalam sukan.

Pertandingan-pertandingan baru di bawah Divisyen Sukan Sekolah Rendah Kebangsaan dibuka kepada para pelajar yang berusia sembilan hingga 11 tahun akan dirintis atau diperkenalkan dalam masa tiga tahun akan datang.

Ini bagi membolehkan para pelajar untuk menimba pengalaman bertanding buat pertama kali dan pengalaman bersaing dalam sukan akan menajamkan lagi kemahiran asas mereka, di samping memberi peluang kepada mereka untuk menikmati keseronokan bertanding.

Encik Ng berkata demikian semasa berucap di perasmian Pertandingan Sukan Sekolah Kebangsaan yang diadakan di Hab Sukan Singapura.

Dalam kenyataannya pula, Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan bahawa langkah terbaru itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk 'mengukuhkan pembangunan holistik' para pelajar sekolah rendah.

Dari sudut akademik misalnya, perubahan-perubahan dilaksanakan ke atas sistem pemarkahan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) bagi mengurangkan penekanan terhadap gred.

Semakan itu akan diterajui oleh jawatankuasa-jawatankuasa yang bertanggungjawab ke atas 21 pertandingan sukan yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Sekolah Rendah Singapura (SPSSC). Ia juga akan melibatkan para pendidik, pegawai MOE serta wakil-wakil daripada Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA). Tiada garis waktu ditetapkan bagi semakan tersebut, yang mungkin akan diperluaskan untuk merangkumi pertandingan sukan peringkat sekolah menengah, kata pengerusi SPSSC Lee Hui Feng.

Jawatankuasa-jawatankuasa terlibat sudah menjalankan ujian dan percubaan serta mengadakan perbincangan kumpulan fokus dengan para pelajar, guru dan wakil daripada Institut Sukan Belia Kebangsaan dan Sports Singapore (SportsSG).

Sebagai permulaan yang turut membentuk sebahagian daripada semakan itu, sistem pertandingan tiga peringkat bagi sukan ragbi sudah diperkenalkan.

Di bawah struktur tradisional, sekolah-sekolah akan bersaing dalam format mengikut giliran yang ditetapkan oleh penganjur (round-robin), dengan dua sekolah teratas melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Dengan sistem baru itu, sekolah-sekolah yang tersingkir di pusingan 'round-robin' akan terus bersaing di 'peringkat kedua' pertandingan. Sekolah-sekolah yang mendahului kumpulan masing-masing akan melayakkan diri ke 'peringkat pertama'.

"Dengan ini, para pelajar, termasuk pemain simpanan berpeluang untuk terus bersaing, dengan lebih banyak peluang untuk meraih kejayaan, walaupun kecil sekalipun, bagi menggalak mereka untuk terus mencuba," kata Encik Ng.

Dalam responsnya kepada pertanyaan pihak media, MOE menegaskan bahawa dengan melaksanakan pertandingan dalam format sedemikian rupa, 'pasukan-pasukan akan dapat bersaing dengan para pemain yang mempunyai keupayaan dan kebolehan yang hampir sama'. Perubahan itu juga membolehkan pasukan-pasukan untuk bermain dalam lebih banyak perlawanan semasa Sukan Sekolah Kebangsaan.

Sejak diperkenalkan pada 1959, Sukan Sekolah Kebangsaan yang berlangsung dari Januari hingga Ogos, adalah acara sukan terbesar bagi belia yang dianjurkan setiap tahun, dengan lebih 400 kejuaraan dipertandingkan.

Tahun ini, sekitar 58,000 atlit remaja dari lebih 365 sekolah rendah dan menengah, maktab rendah dan institut pusat dijangka bertanding dalam 29 jenis sukan.

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan