Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE sasar sekolah sifar karbon jelang 2030; pasang panel suria di bumbung bangunan sekolah

Sekolah Rendah Elias Park, Sekolah Mee Toh, Sekolah Menengah Commonwealth dan Tampines akan merintis program kelestarian baru MOE.

Anggaran Waktu Membaca:
MOE sasar sekolah sifar karbon jelang 2030; pasang panel suria di bumbung bangunan sekolah

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 04 Mar 2021 09:09PM Dikemas Kini : 04 Mar 2021 11:27PM

SINGAPURA: Memasang panel suria pada sekolah-sekolah secara bertahap-tahap sepanjang 10 tahun akan datang adalah satu cara Kementerian Pendidikan (MOE) merancang untuk menepati sasarannya bagi memastikan sekurang-kurangnya 20 peratus sekolah di sini mencapai paras sifar karbon menjelang 2030.

Sasaran itu pertama kali diumumkan pada Februari semasa melancarkan Pelan Hijau Singapura 2030. MOE juga sedang berusaha untuk mengurangkan dua pertiga pelepasan karbon bersih dari sektor sekolah menjelang 2030.

Semasa berucap dalam segmen bersama mengenai kemampanan semasa membahaskan peruntukan bagi Kementerian Pendidikan (MOE) pada Khamis (4 Mac), Menteri kementerian itu, Lawrence Wong berkata MOE akan mula merintis ciri-ciri kemampanan dan konsep berkaitan dengan kelestarian di empat sekolah - Sekolah Rendah Elias Park, Sekolah Mee Toh, Sekolah Menengah Commonwealth dan Sekolah Menengah Tampines.

KAMPUS MESRA ALAM

MOE juga akan terus mempertingkatkan prasarana sekolah dengan ciri-ciri mesra alam, dedah Encik Wong.

Dengan sekitar 130 sekolah yang buat masa ini di bawah program SolarNova dengan panel suria dipasang secara berperingkat di bumbung, MOE akan memperluaskannya untuk merangkumi sebahagian besar daripada baki sekolah dalam masa 10 tahun akan datang, umum beliau.

MOE juga akan memasang lampu LED secara bertahap-tahap sebagai sumber cahaya utama di dalam bilik darjah dan kipas angin yang lebih cekap menggunakan tenaga, tambahnya.

PENDEKATAN MENYELURUH

Matlamat MOE adalah untuk mengurangkan pelepasan karbon dari sekolah dengan ketara melalui Program Teraju Eko, tambah Encik Wong.

Program tersebut bertujuan untuk memupuk "tabiat kelestarian yang bertanggungjawab dan berhemah" dalam kalangan pelajar dan "memperkasakan mereka untuk membuat perubahan yang positif", katanya lagi.

Di bawah program itu, kemampanan alam sekitar akan "disepadukan secara menyeluruh" dalam sekolah-sekolah melalui 4C - kurikulum, kampus, budaya dan masyarakat.

Walaupun pendidikan sekitaran dan perubahan iklim sudah disepadukan dalam mata pelajaran seperti sains, geografi dan pendidikan sosial, Encik Wong bersetuju bahawa MOE boleh melakukan lebih banyak lagi untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran kemampanan dalam mata pelajaran sains dan ilmu kemanusiaan.

MOE akan membangunkan lebih banyak sumber pembelajaran yang akan menampilkan inisiatif-inisiatif kemampanan dalam persekitaran sekolah, yang akan membantu para pelajar untuk "menghubungkan pembelajaran mereka dengan pengalaman sebenar di sekolah", kata Menteri Pendidikan.

MENJADIKAN KEMAMPANAN SATU TABIAT

Tanggungjawab setiap hari untuk pelajar juga akan diperluas untuk merangkumi tabiat-tabiat kelestarian, tambah beliau lagi.

Amalan-amalan ini akan diperluaskan ke lebih banyak sekolah dan MOE akan merintis cara-cara untuk para pelajar melihat sendiri bagaimana tabiat harian mereka dapat membawa "kesan yang dapat dilihat" terhadap alam sekitar, tambahnya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan