Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE rancang semak cara mengajar, ujian; sekolah akan sediakan pelbagai kemahiran, laluan pendidikan

Singapura "harus memupuk kepelbagaian" dan memperkukuh pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta kemahiran insani di sekolah, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Isnin (16 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Aug 2021 06:27PM Dikemas Kini : 16 Aug 2021 09:23PM

SINGAPURA: Singapura "harus memupuk kepelbagaian" dan memperkukuh pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta kemahiran insani di sekolah, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Isnin (16 Ogos).

Bercakap di sebuah forum bagi mendampingi pegawai perkhidmatan awam yang dianjurkan oleh Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dan Kolej Perkhidmatan Awam (CSC), Encik Chan berkata: "Kita harus memupuk kepelbagaian di sekolah kita. Di tengah-tengah dunia yang tidak menentu, kepelbagaian adalah kunci daya bingkas kita sebagai sebuah negara.

"Dalam dunia yang amat berdaya saing, kepelbagaian juga adalah kunci mengurangkan tekanan tidak sihat dalam mengejar takrifan kejayaan yang sama. Kami akan menyediakan pelajar kami dengan pelbagai laluan pendidikan dan sekolah, pelbagai kemahiran dan perspektif serta pengalaman."

Dalam dunia yang lebih kompleks, mungkin juga terdapat kecenderungan untuk meminta guru mengajar lebih banyak lagi, kata Encik Chan.

"Di tengah-tengah sekitaran yang lebih berdaya saing, mungkin juga ada permintaan bagi ujian yang lebih mencabar untuk membezakan seorang pelajar daripada pelajar yang lain. Namun, kita harus lebih berwaspada dan tidak keterlaluan," kata beliau.

"Lebih banyak mengajar dan menguji tidak bermakna (pelajar) akan belajar lebih banyak lagi. Kita perlu menyemak semula cara kita mengajar dan melakukan ujian.
Apa yang penting bukan berapa banyak yang mereka tahu tetapi berapa cepat mereka belajar dan sejauh mana mereka mampu menyesuaikan diri kepada sekitaran yang berubah-ubah."

Sekolah juga perlu memupuk budaya yang menggalak pelajar yang ingin meneroka dan membangunkan kekuatan mereka menjangkaui apa yang diuji di sekolah, tegas Encik Chan.

Singapura menyediakan sekolah-sekolah khusus yang membolehkan pelajar mendalami minat dan kekuatan mereka dalam bidang-bidang seperti sukan, kesenian atau matematik dan sains.

"Kita akan terus menyediakan pelbagai sekolah, masing-masing dengan bidang khusus sendiri untuk memenuhi keperluan pelajar kita yang pelbagai. Kita tidak harus sekali-kali menjadikan semua sekolah sama selain dalam bidang seperti celik huruf, angka dan nilai," tegas Encik Chan.

Terdapat juga pelajar yang lebih suka atau "lebih sesuai" menjalani laluan pendidikan amali, sambil menambah bahawa sekitar tujuh daripada 10 pelajar dalam sebuah kohort Darjah 1 melanjutkan pelajaran ke politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

"Kita harus terus memastikan bahawa pendidikan dan latihan mereka menyediakan asas yang baik bagi mereka kekal berdaya saing dalam pasaran kerja," kata Encik Chan sambil menambah bahawa Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohamad Maliki Osman sedang memimpin satu semakan ke atas laluan-laluan ITE dan politeknik.

"Dalam dunia yang dipacu oleh teknologi baru dan sains, kita perlu mengukuhkan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau STEM.

Sekolah-sekolah juga akan memupuk kemahiran insani untuk "bertahan", termasuk sifat ingin tahu dan yakin diri, kata Encik Chan.

Para pelajar juga harus dilengkapkan dengan "kesedaran tentang tujuan hidup mereka terhadap masyarakat secara amnya," kata Encik Chan.

"Hanya dengan itu, kami akan menjadi lebih rapat sebagai sebuah masyarakat dengan mengetahui bahawa semua orang mempunyai peluang untuk meningkatkan diri kerana semua orang mempunyai tanggungjawab membantu satu sama lain."

Usaha untuk beralih tumpuan daripada terlalu mementingkan gred akademik kepada "benar-benar mendakap" kepelbagaian juga bergantung kepada guru dan ibu bapa, kata Encik Chan.

Kementerian Pendidikan (MOE) juga harus meneroka peluang memberi guru lebih banyak pendedahan di luar ruang sekolah, tambahnya.

Ini termasuk menyokong mereka mengambil cuti sabatikal atau pendedahan pendek di sektor swasta atau awam untuk memperbaharui perspektif serta kemahiran mereka.

PELAJAR DARI LATAR BELAKANG KURANG BERNASIB BAIK

Para pelajar dari latar belakang kurang bernasib baik dan mudah terdedah risiko menjadi "kepentingan utama" MOE, kata Encik Chan.

Singapura harus mengamalkan "pendekatan kitaran hidup" untuk menyokong golongan pelajar tersebut di beberapa peringkat hidup mereka menjangkaui sekolah untuk "membawa perbezaan yang sebenarnya dan terjamin".

"Kita akan memperkukuhkan sokongan pembangunan kanak-kanak bermula daripada peringkat ibu mengandung hingga ke prasekolah. Kita juga akan mengerahkan sumber awam dan masyarakat untuk menyediakan lebih banyak sokongan di peringkat keluarga kerana masalah keluarga boleh membawa kesan besar terhadap kedatangan pelajar dan usaha mendampingi mereka di sekolah," kata Encik Chan.

Usaha rintis UPLIFT di empat bandar sudahpun membawa pembaikan dari segi kedatangan setiap lapan daripada 10 pelajar yang menyertainya, dedah beliau sambil menambah program itu akan diperkukuhkan lagi.

Selepas peringkat sekolah asas, MOE akan bekerjasama dengan institut-institut pendidikan tinggi dan masyarakat untuk membantu golongan pelajar itu "mencapai potensi pendidikan mereka" dan menyokong peralihan mereka ke alam pekerjaan selepas mereka lulus.

MOE juga akan terus memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak, dedah Encik Chan.

Menjelang 2025, setiap lapan daripada 10 kanak-kanak akan disediakan tempat di prasekolah yang disokong pemerintah, kata beliau.

Akur bahawa ibu bapa muda bimbang tentang kos pendidikan dan jagaan prasekolah yang lebih tinggi, Encik Chan berkata "matlamat jangka panjang" kementeriannya adalah untuk menjadikan pendidikan prasekolah dalam kemampuan ramai, seperti pendidikan sekolah rendah dengan jagaan lepas sekolah.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan