Images
  • Singapore

MOE, MSF 'sangat prihatin' terhadap kenaikan jumlah kes belia bunuh diri

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) "sangat prihatin" tentang kenaikan pada jumlah belia yang bunuh diri tahun ini, menurut kedua-dua kementerian itu dalam satu kenyataan bersama.

"Ia bukan satu trend buat masa ini, tetapi kita harus memantau dengan teliti dan mengambil pelbagai langkah untuk menanganinya," kata jurucakap bagi kementerian-kementerian berkenaan dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp.

Jumlah kes bunuh diri di Singapura naik 10 peratus tahun lalu, dengan jumlah kes dalam kalangan remaja lelaki berusia antara 10 dengan 19 tahun mencatat paras rekod, menurut Samaritans of Singapore (SOS) pada minggu lalu.

Keseluruhannya 94 orang berusia antara 10 dengan 29 tahun bunuh diri tahun lalu, menurut SOS lagi.

Dalam kalangan lelaki berusia antara 10 dengan 19 tahun, terdapat 19 kes seumpama itu tahun lalu - yang tertinggi sejak ia mula direkodkan pada 1991. Jumlah itu juga dua kali ganda lebih tinggi berbanding tujuh kes yang dicatat pada 2017.

Terdapat 397 kes bunuh diri yang dilaporkan pada 2018, berbanding 361 kes pada tahun sebelumnya. Ini menyebabkan kadar bunuh diri bagi setiap 100,000 penduduk Singapura, naik kepada 8.36 kematian berbanding 7.74 pada 2017.

Akur bahawa sebab-sebab di sebalik kes bunuh diri adalah rumit, jurucakap dua kementerian itu berkata: "Objektifnya adalah untuk membina kebingkasan psikologi para belia, meningkatkan kesedaran tentang isu-isu kesihatan mental dan menjalankan pencegahan dalam situasi-situasi krisis di mana pertolongan mendesak diperlukan."

"CABARAN BARU DAN TEKANAN MASYARAKAT"

Isu-isu dalam sesebuah hubungan, tekanan akademik atau dari rakan-rakan dan ketidakpastian tentang masa depan antara faktor yang mungkin mendorong para remaja bunuh diri, kata pakar-pakar. Masalah kesihatan mental seperti cepat berasa cemas dan kemurungan boleh memburukkan lagi masalah.

Dr Ong Say How, seorang konsultan kanan dan Ketua Jabatan Pembangunan Psikiatri di Institut Kesihatan Mental (IMH) berkata para belia mungkin memikirkan tentang bunuh diri selepas berdepan dengan tekanan teruk dan masalah emosi dari insiden mudarat yang menimpa mereka.

Memandangkan mereka yang lebih muda "kurang tahu cara menyelesaikan masalah", beliau berpendapat bahawa ada dalam kalangan mereka akan memikirkan huraian-huraian radikal, termasuk bunuh diri.

"Para belia hari ini berdepan dengan cabaran-cabaran baru dan tekanan dari masyarakat berbanding masa-masa di mana kehidupan jauh lebih mudah.

Dr Adrian Wang, seorang konsultan psikiatri di Pusat Perubatan Gleneagles juga percaya tekanan akademik dan dari rakan-rakan memainkan peranan besar.

Beliau berkata: "Media sosial mungkin mengeruhkan lagi masalah seseorang yang sudahpun berasa tertekan. Saya mempunyai pesakit-pesakit muda yang memberitahu saya mereka berasa kesepian dan terpinggir kerana rakan-rakan mereka tidak lagi menyertakan mereka dalam kumpulan WhatsApp, atau tidak mengikuti mereka di Instagram.

"Para remaja melihat media sosial atau kehadiran digital sebagai satu lanjutan kepada personaliti mereka. Mereka perlu berasa diterima, tidak hanya dalam situasi-situasi nyata tetapi di wadah online juga."

Pakar dasar pendidikan Profesor Jason Tan berkata, perubahan pada landskap pendidikan baru-baru ini, seperti tidak menyenaraikan pelajar-pelajar paling cemerlang dalam peperiksaan nasional, adalah satu usaha baik untuk mengurangkan tekanan terhadap golongan belia.

Namun, beliau akur bahawa tekanan juga datang dari para majikan, ibu bapa dan masyarakat umum. "Saya rasa penting untuk menekankan bahawa sekolah hanyalah satu sfera yang mempengaruhi golongan muda." 

- CNA/AQ/aq

Top