Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE: Kepercayaan terhadap guru tidak boleh dipandang remeh

Integriti kerjaya perguruan dan kepercayaan terhadap para guru dalam semua bentuk interaksi mereka dengan para pelajar adalah "perkara serius" dan "tidak patut dipandang remeh sama sekali", menurut Kementerian Pendidikan (MOE).

Anggaran Waktu Membaca:
MOE: Kepercayaan terhadap guru tidak boleh dipandang remeh

Gambar fail bilik darjah di Singapura. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 13 Jun 2019 01:42PM Dikemas Kini : 13 Jun 2019 01:45PM

SINGAPURA: Integriti kerjaya perguruan dan kepercayaan terhadap para guru dalam semua bentuk interaksi mereka dengan para pelajar adalah "perkara serius" dan "tidak patut dipandang remeh sama sekali", menurut Kementerian Pendidikan (MOE).

MOE menyatakan demikian semasa menjawab pertanyaan Mediacorp berhubung komen-komen online mengenai seorang guru sekolah menengah yang didapati bersalah pada Isnin (10 Jun) kerana mengeksploitasi seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun secara seksual.

Wanita itu yang kini berusia 29 tahun dihukum penjara dua tahun sembilan bulan.

Guru berkenaan membuat remaja lelaki itu melakukan aksi-aksi seksual ke atas satu sama lain semasa menginap di sebuah hotel di Geylang antara 28 November hingga 2 Disember 2016.

Kes itu mencetuskan pelbagai komen di media sosial dan wadah-wadah online lain, dengan sesetengah pengguna menggambarkan remaja lelaki itu sebagai "bertuah" dan ada pula yang membuat spekulasi tentang wajah guru wanita tersebut.

"Saya akan menjadi bapa yang bangga jika ia berlaku pada anak lelaki saya," kata seorang pengguna dalam bahagian komen laman Facebook CNA.

Seorang lagi berkata: "Kita semua inginkan jenis guru sebegini bukan?"

Ada pengguna lelaman forum Hardware Zone yang bertanya: "Mengapa dia bukan guru saya?" sementara sebilangan pengguna forum itu melahirkan perasaan "cemburu" dan menyifatkan pelajar tersebut sebagai "lelaki bertuah".

Komen-komen sedemikian meningkatkan lagi keperluan untuk mempertingkatkan pendidikan awam, kata Pengarah Eksekutif AWARE Corrina Lim, sambil menambah, respons online sedemikian mungkin menghambat mangsa-mangsa lain daripada meminta pertolongan.

"Eksploitasi oleh orang yang berkuasa sangat berbahaya dan mesti dipandang serius tanpa mengira jantina pihak-pihak terbabit," ujar Cik Lim.

"Komen-komen bersifat berseloroh yang memperlekeh pengalaman mangsa boleh menyumbang kepada perasaan menyalahkan diri, kekeliruan dan khuatir dipandang serong, lantas menghambat mangsa-mangsa lain daripada membuat pendedahan demi meminta pertolongan."

Pandangan serupa dikongsi oleh pakar psikologi Institut Kesihatan Mental (IMH) Kenny Liew yang berkata penganiayaan oleh seseorang yang berkedudukan boleh menyebabkan pelbagai masalah emosi dan psikologi tanpa mengira jantina.

Mangsa penganiayaan mungkin menyisihkan diri daripada masyarakat dan mendapati sukar untuk percaya orang lain.

"Kepercayaan terhadap orang lain dan kesedaran tentang diri sendiri dibangun dan dipengaruhi oleh pengalaman masa muda.

"Apabila seseorang yang berkedudukan, yang sepatutnya menjaga dan melindungi mereka, sebaliknya menganiaya kita, ini menghapuskan kepercayaan terhadap orang lain," kata Encik Liew.

Encik Thomas Wong, Pengarah Divisyen Huraian dan Keupayaan Tenaga Manusia MOE berkata: "Ada sistem-sistem yang dilaksanakan bagi para pelajar untuk memaklumkan pihak pengurusan sekolah sekiranya mereka menghadapi situasi-situasi yang membuat mereka berasa tidak selamat".

Kementerian itu "tidak akan teragak-agak mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang gagal mematuhi piawaian tingkah laku dan disiplin, termasuk pemecatan," kata Encik Wong.

Pusat Jagaan Mangsa Serangan Seksual boleh dihubungi di talian 6779-0282 dan menerusi emel sacc [at] aware.org.sg dari Isnin hingga Jumaat, dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam. 

Sumber : CNA/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan