Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE cari "imbangan" betul bagi Program Pembelajaran Amali di sekolah rendah

Program-program ALP direka oleh sekolah untuk membantu pelajar mengamalkan pembelajaran mereka dalam kehidupan seharian.

Anggaran Waktu Membaca:
MOE cari "imbangan" betul bagi Program Pembelajaran Amali di sekolah rendah

Encik Janil Puthucheary di konti radio 938Now. (Gambar: Facebook / 938Now)

Diterbitkan : 07 Mar 2018 09:42PM Dikemas Kini : 07 Mar 2018 09:46PM

SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Pendidikan, Dr Janil Puthucheary, memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) akan mengimbangi Program Pembelajaran Amali (ALP) diadakan di semua sekolah rendah Singapura menjelang tahun 2023.

Dr Puthucheary berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan pendengar siaran Talkback di stesen radio 938NOW pagi tadi (7 Mac).

Para pendengar bertanya sama ada ALP yang diperkenalkan kepada para pelajar akan "menambah" tugasan sedia ada.

Semua sekolah rendah akan melaksanakan ALP menjelang tahun 2023, seperti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan (Sekolah) Ng Chee Meng di Parlimen semasa membahaskan peruntukan Belanjawan bagi kementeriannya pada Isnin lalu (5 Mac).

Program-program ALP direka oleh sekolah untuk membantu pelajar mengamalkan pembelajaran mereka dalam kehidupan seharian. Sejak tahun 2017, lebih 80 daripada 191 sekolah rendah di Singapura melaksanakan ALP.

"Apabila saya berkata tambahan, maksud saya adalah tambahan kepada hasil yang kita mahukan," kata Dr Puthucheary.

"Maka, kandungan (pelajarannya) sama dari segi fakta, pengetahuan yang sama, sukatan pelajaran yang sama dan waktu pembelajaran yang sama dan kami tidak mengganggu cuti sekolah. Tidak. Sebaliknya kami memanfaatkan teknik, pengalaman dan peluang tambahan para pelajar supaya pengetahuan asas mereka diperhalusi menjadi kemahiran-kemahiran dan pengalaman tambahan," kata beliau.

"Kami amat teliti dengan idea ini, supaya apa yang kami perkenalkan dalam kurikulum perlu saling melengkapi. Jadi kami mesti mengimbanginya."

Encik Ng sebelum ini berkata tiada ujian atau peperiksaan bagi ALP dan ia ditekankan oleh Dr Puthucheary hari ini.

"Kami tidak berniat melaksanakan perubahan ini sepertimana peperiksaan atau penilaian," kata beliau. "Ini adalah satu lagi cara melengkapi pengetahuan dan kemahiran yang sama untuk menjadikan pembelajan lebih amali sekaligus menyeronokkan. Kami para pelajar seronok melakukannya."

"Maka, tidak. Ini bukanlah satu lagi pelajaran, di mana pelajar akan "diuji"."

PENDIDIKAN NASIONAL: TANGANI TOPIK SENSITIF

Dr Puthucheary juga menyentuh tentang Pendidikan Nasional (NE), yang juga disampaikan di Parlimen pada Isnin lalu (5 Mac).

Pada waktu itu beliau berkata pendekatan kepada NE di sekolah-sekolah akan disuntik kesegaran. Ini menyusuli semakan sepanjang setahun yang selesai pada bulan Oktober 2017.

Sekolah-sekolah digalak melakarkan usaha-usaha NE masing-masing dengan tiga teras baru. Salah satu daripadanya adalah untuk mengadakan perbincangan NE bagi mengetengahkan isu-isu kontemporari.

Dr Puthucheary hari ini berkata ini mungkin akan menimbulkan perbincangan topik-topik sensitif dalam bilik darjah. Sekalipun demikian, beliau menambah, ia bukanlah sesuatu yang buruk jika "dikendalikan dengan betul".

"Apa maksudnya? Ini bermakna para pelajar tidak semestinya perlu bersetuju dengan rakan-rakan yang berbeza pendapat dalam topik sensitif atau mungkin mereka tidak setuju dengan guru mereka. Namun setiap daripada mereka masih menghormati pandangan orang lain, masih boleh berbincang dan mencari cara yang baik untuk berhenti membincangkannya sekaligus mengekalkan sikap saling menghormati dan mempelajari sesuatu yang baru," kata beliau.

Dr Puthucheary berkata ia juga bergantung kepada cara perbincangan topik-topik tersebut dikendalikan dalam bilik darjah.

Semasa di Parlimen, beliau berkata "teras ketiga" berkisar pada sokongan buat para guru, sambil menambah mereka adalah tunjang pengalaman pendidikan.

"Itulah sebabnya kita mengadakan teras ketiga. Kita memerlukan pembangunan karyawan serta keyakinan terhadap pembangunan karyawan para guru," kata beliau.

"Sebenarnya, semua ini sudah wujud dalam kerjaya pendidikan. Ini adalah kemahiran dan bakat yang biasa bagi mereka."

Namun, sedang pendekatan NE diperluas, Dr Puthucheary menambah terdapat keperluan untuk para guru yang sebelum ini tidak pernah mengajar NE, menimba kemahiran tersebut supaya mereka mengetahui cara menangani topik-topik yang lebih sensitif.

Inilah sebabnya, kata beliau, teras ketiga diadakan untuk "menyelia pembangunan karyawan".

"Kami menyokong para karyawan pendidikan, supaya mereka boleh melakukannya." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan