Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE beri peringatan kepada guru-guru ekoran beberapa kes dera seksual pelajar

Kementerian Pendidikan (MOE) menekankan bahawa ia menghendaki guru-guru supaya berkelakuan sewajarnya berdasarkan kepercayaan yang diletakkan pada mereka apabila berinteraksi dengan para pelajar, ekoran siri kes penderaan seksual yang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
MOE beri peringatan kepada guru-guru ekoran beberapa kes dera seksual pelajar

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 13 Sep 2019 11:16AM Dikemas Kini : 13 Sep 2019 11:24AM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) menekankan bahawa ia menghendaki guru-guru supaya berkelakuan sewajarnya berdasarkan kepercayaan yang diletakkan pada mereka apabila berinteraksi dengan para pelajar, ekoran siri kes penderaan seksual yang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

"Kami terus meletakkan jangkaan tinggi pada semua pendidik sepanjang kerjaya mereka - dari masa mereka dilantik dan menjalani latihan guru," kata Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sekolah) merangkap Pengarah Sekolah-Sekolah MOE, Cik Liew Wei Li, semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Para pemimpin sekolah juga terus mendampingi para kakitangan mereka mengenai Kod Tatalaku Profesional bagi Para Pendidik".

Kementerian itu menekankan demikian selepas seorang guru lelaki berusia 35 tahun dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan pada 3 September, kerana mencium seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun sebanyak dua kali di mulutnya.

"Meskipun kami melakukan usaha terbaik dalam proses pemilihan, penapisan, latihan serta melaksanakan komitmen secara kolektif terhadap misi kami, mungkin wujud segelintir kambing hitam," kata Cik Liew.

"Semua kakitangan sudah diingatkan supaya berwaspada
dan segera melaporkan kes-kes salah laku yang mereka tahu."

MELAPORKAN TENTANG PENDERAAN

Cik Liew berkata sistem-sistem disediakan untuk para pelajar melaporkan tentang sebarang "pengalaman tidak selamat" kepada pihak pengurusan sekolah. Menurut beliau, para kaunselor sekolah juga sedia membantu mereka.

Para pelajar yang didera boleh merujuk kepada seorang dewasa yang dipercayai seperti ibu bapa atau seorang guru lain bagi mendapatkan bantuan ataupun menghentikan penderaan itu daripada berterusan, kata Laika Jumabhoy, Penolong Pengurus di Pusat Jagaan Penderaan Seksual (SACC) di Persatuan Wanita Bagi Tindakan dan Kajian (AWARE).

Cik Liew berkata para ibu bapa digalak supaya membangkitkan isu tersebut dan secara langsung memberikan maklum balas kepada para pemimpin sekolah ataupun pegawai MOE. Siasatan yang "menyeluruh dan bebas" kemudian akan dijalankan.

"Tindakan disiplin akan diambil sekiranya terdapat sebarang salah laku dan laporan polis akan dibuat jika siasatan mendedahkan bahawa ia melibatkan jenayah," tambahnya.

"Menerusi proses-proses sebeginilah kami dapat memastikan agar para pelajar selamat, di samping mengekalkan kewibawaan bidang tugas dan sistem kami."

Sungguhpun demikian, Cik Jumabhoy berkata adalah penting untuk golongan dewasa mempercayai kanak-kanak itu apabila mereka menyuarakan mengenai sebarang jenis penderaan.

Beliau menarik perhatian bahawa sesetengah orang dewasa sebaliknya tidak mempercayai mereka serta menghakimi atau menunjukkan sikap jengkel.

"Para ibu bapa atau penjaga mungkin sukar menerima bahawa anak mereka ialah mangsa penderaan seksual. Ada yang mungkin menyalahkan diri mereka kerana tidak berupaya melindungi kanak-kanak itu.

"Mereka juga mungkin tidak tahu apakah langkah yang harus diambil, dari segi praktikal dan emosi, untuk kanak-kanak tersebut," katanya.

"Maka itu, kami perlu meningkatkan pendidikan awam yang menggalak pemahaman yang jujur, berpengetahuan serta bersifat tidak menghakimi, terhadap hakikat keganasan seksual, terutama di sekolah-sekolah, institusi dan pertubuhan."

Ini lebih-lebih lagi memandangkan ramai mangsa enggan melaporkan mengenai insiden-insiden sedemikian apabila si pelaku orang yang mereka kenali, kata Cik Jumabhoy.

Berdasarkan pengalamannya di SACC, beliau berkata hampir tujuh daripada setiap 10 klien enggan melaporkan peristiwa yang dialami mereka kepada pihak berkuasa.

BAGAIMANA PARA PELAJAR BOLEH MELINDUNGI DIRI

Cik Jumabhoy berkata anak-kanak yang didera secara seksual boleh mengalami isu-isu jangka panjang melibatkan harga diri, keresahan, kemurungan, mencederakan diri sendiri serta cabaran dalam menjalin dan mengekalkan hubungan.

Menurut Cik Liew, para pelajar juga diajar mengenai cara-cara bagaimana untuk melindungi diri mereka.

Para pelajar darjah satu hingga tiga diajar bagaimana untuk membezakan antara "sentuhan yang sesuai dan kurang sesuai".

Para pelajar darjah empat hingga enam serta mereka di sekolah menengah pula diajar bagaimana untuk melindungi diri daripada gangguan seksual serta menetapkan batasan yang jelas dalam sebuah hubungan, katanya.

"Para pelajar kami juga mempelajari untuk menghormati orang lain dan bagaimana mereka juga harus dihormati," tambahnya.

Cik Liew turut menekankan bahawa MOE komited untuk memastikan agar sekolah-sekolahnya adalah "tempat yang selamat untuk para pelajar belajar dan berkembang".

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan