Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE akan semak cara 'menggabungkan' pembelajaran dalam bilik darjah dan digital

Kementerian Pendidikan (MOE) akan menyemak cara "menggabungkan" pembelajaran di dalam bilik darjah dan digital bagi "meraih manfaat yang terbaik dari kedua-duanya", kata Menteri Pendidikan Ong Ye Kung pada Selasa (2 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
MOE akan semak cara 'menggabungkan' pembelajaran dalam bilik darjah dan digital

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 02 Jun 2020 05:46PM Dikemas Kini : 02 Jun 2020 05:47PM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) akan menyemak cara "menggabungkan" pembelajaran di dalam bilik darjah dan digital bagi "meraih manfaat yang terbaik dari kedua-duanya", kata Menteri Pendidikan Ong Ye Kung pada Selasa (2 Jun).

Sekolah dibuka semula pada Selasa selepas tamat tempoh "pemutus rantaian jangkitan COVID-19" pada Isnin, dan Encik Ong berkata "banyak pengajaran ditimba" daripada pembelajaran di rumah selama sebulan.

"Kami faham sepenuhnya bahawa pembelajaran di rumah dan digital tidak dapat menggantikan sepenuhnya pembelajaran dalam bilik darjah. Namun setelah terpaksa melakukan demikian selama sebulan, kami mempelajari bagaimana untuk melakukannya dengan lebih baik, dan terdapat aspek kekuatan tertentu pada pembelajaran secara online yang sebenarnya tidak ada pada pembelajaran di dalam bilik darjah," kata Encik Ong kepada wartawan semasa lawatan ke Sekolah Rendah Xingnan.

Para pelajar dapat melakukan pembelajaran kendiri di luar bilik darjah, kata Encik Ong sambil menyifatkannya sebagai "kekuatan pada pembelajaran secara digital".

"Melangkah ke depan, MOE akan menyemak bagaimana kita dapat menggabungkan kedua-dua aspek ini.

"Saya rasa kita mahu melakukannya dalam masa terdekat ini, (kami mahu) menggabungkan kedua-duanya supaya kita dapat memanfaatkan yang terbaik dari kedua-dua dunia dalam sistem pendidikan yang moden," tambahnya.

Memandangkan sekolah mengadakan pembelajaran di rumah sepenuhnya "dalam masa yang singkat", masih terdapat "banyak aspek untuk diperbaiki", kata Encik Ong.

Respons daripada guru, ibu bapa dan pelajar "amat menggalakkan", katanya.

BELAJAR DARI KOREA SELATAN

Menjawab soalan berhubung langkah Korea Selatan mengenakan had pada kehadiran ke sekolah disebabkan oleh lonjakan dalam kes COVID-19 setelah sekolah dibuka semula pada 20 Mei, Encik Ong berkata bahawa "malang" sekali kejadian itu berlaku.

"Kami memantau apa yang dilakukan oleh negara-negara lain. Bagi kes Korea Selatan, malangnya, apabila mereka membuka semula negara itu, mereka melanjutkannya ke bar, kelab dan kebanyakan cawangan hiburan. Ini menyebabkan tercetusnya kelompok jangkitan besar yang tertentu," katanya.

Singapura membuka semula negara ini dalam tiga fasa setelah tamat tempoh pemutus jangkitan pada Isnin.

Sambil menambah bahawa kemunculan kelompok jangkitan di Korea Selatan adalah "peringatan baik" untuk membuka semula negara ini "secara bertahap-tahap", Encik Ong berkata ramai rakyat Singapura mempunyai tanggapan bahawa Fasa Pertama pembukaan semula "agak tegas".

"Kami bertindak lebih berwaspada, mengambil iktibar daripada Korea Selatan," kata Encik Ong.

Sekolah dan "kebanyakan tempat lain" di Singapura "mempunyai ruang cukup luas" untuk menampung langkah jarak selamat, tambahnya lagi.

"Amalan jarak selamat tidak dipatuhi hanya apabila orang ramai berkumpul di tempat-tempat tertentu pada waktu tertentu... jadi ia lebih mengenai proses berhubung hal ini yang kita akan secara beransur-ansur dalam beberapa minggu akan datang, terapkan pada pelajar," kata Encik Ong.

PELAJAR GHAIRAH PULANG SEMULA KE SEKOLAH

Murid Darjah 4 hingga 6 dan Menengah 1, 2, 4 dan 5 berada di sekolah pada Selasa, dan Encik Ong berkata kepulangan mereka dilakukan secara "teratur" dan "amat tenang". Tambahnya terdapat "rasa ghairah" dalam kalangan guru dan pelajar yang pulang semula ke sekolah.

"Pastinya akan ada masalah-masalah jangka pendek," kata Encik Ong sambil menambah pelajar sedang menyesuaikan diri kepada langkah jarak selamat.

Sebilangan ibu bapa pula berasa bimbang mengenai pembukaan semula sekolah, kata Encik Ong sambil menambah bahawa beliau menerima permintaan daripada ibu bapa supaya pembukaan sekolah ditunda sebulan dua lagi.

"Pertimbangan praktikal" diambil kira sebelum keputusan dibuat untuk membuka semula sekolah, katanya.

"Ramai ibu bapa kembali bertugas ke tempat kerja. Anda perlu menyediakan sekitaran selamat di sekolah supaya ibu bapa dapat pergi kerja dengan tenang, meninggalkan anak mereka di sekolah untuk belajar," katanya.

Dengan tempoh pemutus jangkitan sudah berakhir, lebih ramai orang ingin keluar rumah dan lebih baik untuk pelajar pergi ke sekolah untuk belajar dalam sekitaran yang selamat dan bukan keluar rumah dan bergaul dalam masyarakat, tambahnya.

Sambil menarik perhatian bahawa Singapura tidak mencatat sebarang kes jangkitan baru dalam masyarakat pada Isnin, Encik Ong menekankan bahawa jumlah kes jangkitan COVID-19 dijangka meningkat dalam Fasa 1.

"Jika kita tidak berasa selesa dengan pembukaan semula bertahap-tahap ini lebih-lebih lagi dengan tiada kes jangkitan dalam masyarakat, kadar jangkitan yang rendah setiap hari, apa lagi pada kemudian hari? Anda mungkin perlu berdepan dengan kemungkinan penutupan sekolah buat tempoh lebih lama dan kesannya akan menjadi agak ketara," katanya.

PSLE DAN PEPERIKSAAN NASIONAL

Berhubung kebimbangan ibu bapa mengenai Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan peperiksaan nasional lain, Encik Ong berkata beberapa topik pelajaran dikeluarkan daripada peperiksaan tahun ini.

"Saya rasa beban dan tekanan terhadap kanak-kanak dan pelajar akan berkurangan pada tahun ini. Dan sama ada jika anda merasakan kertas peperiksaan akan menjadi lebih sukar tahun ini atau pada tahun depan, orang ramai akan selalu membuat spekulasi," katanya.

"Lakukan yang terbaik. Barang diingat, PSLE hanyalah 'gerbang' pertama ke arah perjalanan jauh dalam pendidikan dan pembelajaran."

Beliau menggesa pelajar supaya tidak memberi tekanan kepada diri mereka, sambil menambah: "Anda masih mempunyai perjalanan jauh di hadapan anda dan teroka minat anda, belajar bagaimana untuk berkembang dan menjadi seorang individu yang lebih baik.

"Jangan biarkan satu peperiksaan dalam waktu singkat menentukan masa hadapan anda." 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan