Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Model jagaan baru Hospital Alexandra dilancar

Pesakit warga senja yang menghidap pelbagai penyakit kronik yang dimasukkan ke Hospital Alexandra tidak perlu lagi risau tentang kesibukan bertemu ramai doktor berasingan dan berpindah dari satu wad ke satu wad. Ini kerana adanya satu model penjagaan yang baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Dec 2018 08:00PM Dikemas Kini : 14 Dec 2018 11:08PM

SINGAPURA: Pesakit warga senja yang menghidap pelbagai penyakit kronik yang dimasukkan ke Hospital Alexandra tidak perlu lagi risau tentang kesibukan bertemu ramai doktor berasingan dan berpindah dari satu wad ke satu wad. Ini kerana adanya satu model penjagaan yang baru.

Semasa melancarkan model perintis itu di satu sidang media di hospital tersebut hari ini (14 Dis), pengarah eksekutif bagi Transformasi Penjagaan Kesihatan di Kementerian Kesihatan (MOH) Prof Tan Chorh Chuan berkata model baru itu lebih disesuaikan bagi warga menua Singapura yang seringkali mempunyai beberapa kondisi kesihatan secara serentak.

PASUKAN SEHENTI BAGI PELBAGAI PENYAKIT

Menurut Prof Tan, warga senja seringkali mempunyai beberapa isu kesihatan yang perlu dipantau secara menyeluruh.

Model tersebut dikenali sebagi model hospital besar bersepadu dan diperkenalkan di Hospital Alexandra sejak Jun.

Di bawah model tersebut, misalnya seorang pesakit yang jatuh akibat mabuk kerana keadaan kencing manis tidak terkawal, bukan setakat dirawat untuk kejatuhan itu.

Sebaliknya, sebuah pasukan karyawan pelbagai disiplin terdiri daripada ahli farmasi, jururawat, karyawan kesihatan bersekutu, ahli terapi dan pakar pemakanan yang diterajui seorang doktor utama, juga akan meneliti keadaan sosialnya, cara penjagaan dirinya dan pelbagai jenis tingkah laku pesakit itu.

Pasukan ini, yang akan bertemu sekurang-kurangnya dua kali seminggu, dapat melakarkan pelan penjagaan menyeluruh bagi pesakit itu dari mula.

PERALIHAN LANCAR BUAT SISTEM LEBIH BERKESAN

Alexandra Hospital juga kini memansuhkan sistem pelbagai kepakaran di bawah model baru itu. Selain menawarkan penjagaan menyeluruh dari sejak dimasukkan hingga keluar, hospital itu juga mengadakan terapi dalam hospital.

Terapi lazimnya dilakukan di hospital masyarakat dan memerlukan seorang pesakit untuk keluar dari hospital akut dan kemudian dimasukkan semula, mengakibatkan penangguhan.

Meskipun sistem tersebut belum lagi dinilai keberkesanannya, terdapat pelbagai potensi tentang kelebihannya yang sudah ada menurut Prof Tan.

Pesakit tidak perlu dipindahkan dari satu wad ke satu wad untuk bertemu dengan pakar berlainan, atau dari hospital akut ke hospital masyarakat, kata Prof Tan. Ini antara cara sistem penjagaan kesihatan boleh dijadikan lebih berkesan tanpa mengorbankan apa-apa, tambah beliau.

PESAKIT KELUAR HOSPITAL LEBIH AWAL, SELAMAT

CEO Hospital Alexandra Dr Jason Phua menyifatkan model tersebut sebagai "perubahan besar".

"Jika kita mengambil pendekatan bermula sejak pesakit dimasukkan, kita dapat menyelesaikan isu-isu pemulihan dan sosial sejak hari pertama," kata beliau.

"Secara dasar, bukankah ini bermakna pesakit dapat keluar hospital dengan lebih selamat dan lebih awal?"

Sistem berkenaan dibangunkan berdasarkan maklum balas berhubung keperluan para penduduk Queenstown, yang kebanyakannya berusia lebih 65 tahun.

Encik Cheng Yam Kwang, 66 tahun, adalah antara 2,500 pesakit yang meraih manfaat sistem baru itu sejauh ini. Beliau dimasukkan ke Hospital Alexandra pada Jun tahun ini.

Encik Cheng memberitahu para wartawan bahawa beliau lebih sukakan model jagaan yang baru itu.

"Ini adalah lebih baik. Saya berjumpa dengan orang yang sama dan dapat berhubung dengan lebih jelas. Saya tidak perlu ulangi diri secara kerap. Mereka ibarat keluarga, rakan," kongsi Encik Cheng.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan