Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mobiliti kerjaya semua pekerja jadi tumpuan MOM

Sedang cabaran-cabaran teknologi, politik dan demografi terus menjejas pekerjaan dan pengambilan pekerja, 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Apr 2019 08:04PM Dikemas Kini : 16 Apr 2019 10:23PM

SINGAPURA: Sedang cabaran-cabaran teknologi, politik dan demografi terus menjejas pekerjaan dan pengambilan pekerja, Pemerintah merancang untuk mempersiapkan semua pekerja mengharungi gangguan masa hadapan dengan memperbaiki mobiliti kerjaya mereka.

Demikian kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Selasa (16 Apr).

Berucap di seminar tahunan MOM, yang melakarkan agenda utama bagi tahun akan datang, Cik Teo berkata selain para pekerja mapan serta karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), mereka yang "bukan pekerja mapan, menganggur mahupun berisiko kehilangan pekerjaan" juga akan diberi perhatian di bawah inisiatif Suai-Maju.

Tahun lalu, inisiatif tersebut membantu 30,000 pemohon kerja dan 40 peratus dalam kalangan ketika itu masih lagi bekerja.

"Maka itu, kami sangat berminat untuk memahami apa yang dicari oleh golongan 40 peratus tersebut. Ia menjadi lebih jelas bahawa para pekerja mungkin berpuas hati dengan pekerjaan mereka sekarang tetapi mereka juga sedang mencari peluang untuk mendaki tangga kerjaya," kata Cik Teo.

Program-program sedia ada seperti mycareersfuture boleh membantu mereka berbuat demikian, kata beliau. Bagaimanapun, sesetengah orang mungkin memerlukan lebih banyak bantuan dari segi membina rangkaian, latihan kemahiran dan bimbingan untuk melakukan pekerjaan atau menceburi sektor baru.

Pemerintah juga mahu bekerjasama dengan para majikan untuk mengenal pasti bidang-bidang berpotensi yang mungkin akan mengalami gangguan pada masa hadapan dan campur tangan awal bagi mempersiapkan pekerja-pekerja mengharungi masa hadapan itu.

Sekarang ini, perkara itu dilakukan menerusi Program Penukaran Profesional (PCP) seperti yang dijalankan oleh bank-bank untuk mengasah semula kemahiran para kakitangan sektor perbankan.

Cik Teo menambah para majikan harus turut serta dalam usaha itu dan menyedari bahawa mereka juga memainkan peranan dalam memberikan setiap orang peluang bagi mobiliti kerjaya.

Mereka boleh menerima para pekerja yang mungkin tidak mempunyai kelayakan sesuai dari awal namun berbekalkan sikap yang betul, kata Cik Teo.

Beliau menambah lagi, para majikan juga boleh secara berterusan mengubah perniagaan mereka dan melabur dalam latihan. Akhir sekali, kata Cik Teo, majikan-majikan boleh mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada usaha para pekerja.

Dengan menimba kemahiran-kemahiran baru, para pekerja akan memperolehi lebih banyak peluang untuk mencuba pekerjaan baru dan industri bagi memastikan mereka kekal relevan sebelum berlaku sebarang pemberhentian pekerja. Menurut Cik Teo lagi, ini sama juga dengan mobiliti pendidikan.

"Jika pelajar sepatutnya mempunyai pelbagai laluan untuk maju semasa di bangku sekolah, lebih penting lagi bagi orang dewasa bekerja untuk mempunyai banyak laluan kerjaya yang memanfaatkan," kata Cik Teo.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan